:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Sabtu, 21 Julai 2012

Zakat fitrah secebis bukti kedermawanan



KEWAJIPAN MENUNAIKAN ZAKAT


Firman Allah..

" Dan dirikanlah kamu

akan solat dan tunaikanlah zakat "

Al-Baqarah, ayat 43
...

Firman Allah..


" Ambillah

sebahagian daripada harta mereka

menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya

dapat membersihkan diri mereka

daripada dosa dan menyucikan mereka

dari akhlak yang buruk.."


At-Taubah, ayat 103
...





Zakat fitrah dan Ramadan




SAYA terfikir, kenapakah Islam mewajibkan zakat fitrah? Bukankah sudah ada zakat harta? Lagipun nilai zakat fitrah lebih kecil berbanding zakat harta. Di Selangor misalnya, pada tahun ini zakat fitrah hanya bernilai RM7. Maka, apalah sangat nilainya? Tidak cukupkah lagi kewajipan zakat harta kepada umat Islam? Harap ustaz dapat jelaskan mengenai zakat fitrah ini.

Terima kasih.




Jawapan



Terima kasih kerana mengajukan persoalan. Moga-moga Ramadan yang berkunjung ke ribaan kita pada tahun ini, memberikan natijah yang cukup positif demi mengembalikan kita kepada fitrah manusia yang sebenar, yakni muslim yang taat kepada Allah SWT, sama ada dalam keadaan susah mahu pun senang dan bersifat belas ihsan kepada mereka yang memerlukan. Semoga juga jawapan ini mampu menjelaskan berkenaan zakat fitrah di sisi kita.






Sesungguhnya, Ramadan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh kita, bahkan oleh Nabi Muhammad SAW demi melestarikan amal kebajikan. Ibnu Abbas r.a pernah memberitahu:





"Rasulullah SAW

adalah orang yang paling dermawan

dan lebih besar kedermawannya

pada bulan Ramadan."


(Riwayat Bukhari dan Muslim).





Zakat fitrah adalah secebis bukti kedermawanan kita. Seandainya jumlah zakat fitrah yang kecilpun ada orang yang masih berkira-kira dan bakhil menunaikannya bagaimana pula mereka mahu menunaikan zakat harta yang lebih besar nilainya?





Hakikatnya, di sisi Islam, sememangnya zakat itu terbahagi dua, iaitu zakat harta (mal) dan zakat fitrah. Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, kerana ia diwajibkan oleh Allah SWT bagi setiap individu Muslim tanpa mengira sama ada kecil, dewasa, lelaki, wanita, merdeka ataupun hamba. Selagi mana mereka dapat hidup pada dua masa, yakni Ramadan dan Syawal walaupun sebentar, maka wajiblah zakat fitrah ke atas mereka.





Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa:






"Rasulullah SAW


memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah


kepada anak kecil, orang dewasa,


orang merdeka dan hamba sahaya


daripada orang-orang yang kamu


sediakan makanan mereka (tanggunganmu)."


(Riwayat Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)






Di samping itu, uniknya zakat fitrah kerana ia hanya diwajibkan pada bulan Ramadan atau lebih tepat lagi pada Hari Raya Aidilfitri sahaja. Ia tiada pada bulan-bulan yang lain. Pada zaman dahulu, umat Islam memberikan zakat fitrahnya dalam bentuk makanan asasi kepada orang-orang fakir dan miskin, khususnya pada pagi hari raya. Namun, dek perubahan zaman, maka fuqaha mengharuskan ia ditukar kepada bentuk tunai demi memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihannya.






Maka, atas dasar itu, memberikan zakat fitrah paling afdal ialah pada pagi hari raya. Yakni sebelum solat sunat Aidilfitri didirikan sehingga ada yang melambatkan solat sunat berkenaan, demi memberikan kesempatan umat Islam menunaikan zakat fitrah.






Namun, tidaklah boleh dilewatkan sehingga gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) dan menurut sunah, eloklah dilakukan solat sunat Aidilfitri itu pada waktu matahari di sepenggalahan (kira-kira jam 8.30pagi - 9pagi) (Fiqh al-Manhaji al-Syafie, hal. 334).






Walau bagaimanapun, amalan zakat fitrah di Malaysia ia boleh ditunaikan sejak hari pertama Ramadan. Ia lebih sesuai, memandangkan kesibukan seseorang mungkin menyebabkan mereka tidak sempat menunaikannya atau paling bahaya terlupa menunaikannya sehingga menjadi berdosa.






Sebenarnya, zakat fitrah mempunyai maksud dan hikmah yang tersendiri. Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah.






Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu.






Akhirnya, Ramadan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan, dan itulah namanya zakat fitrah.






Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.






Ibnu Abbas menyatakan:






"Rasulullah SAW


telah mewajibkan zakat fitrah,


untuk membersihkan orang yang berpuasa


daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya


dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan


makanan kepada orang-orang miskin."


(Riwayat Abu Daud).






Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling bahu-membahu, khususnya memberikan rasa kegembiraan kepada mereka yang serba kekurangan di hari lebaran.







Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap Muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari (riwayat Bukhari dan Muslim).






Maka kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah dan santunnya kita sebagai seorang Muslim sejati, yang mengasihi sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama.




Wallahua'lam.






Rasulullah mengajar :


اَلْيَدُ الْعُلْيَ خَيْرٌ مِنْ يَدِ السُّفْلَى


“lebih baik tangan di atas (pemberi)

daripada tangan di bawah”



Sumber



Hadith Rasulullah S.A.W


" Bentenglah harta kamu dengan berzakat

dan ubati pesakit-pesakit kamu

dengan bersedekah serta hadapilah gelombang bala

dengan menangis dan mengadu kepada Allah "



(Riwayat Abu Daud, At-Tabarani dan Al-Baihaqi)

..........



Kewajipan mengeluarkan Zakat kepada pemerintah


Hadith Rasulullah S.A.W, diriwayatkan

oleh Sa'id ibn Mansur dari Suhail r.a katanya :



" Telah berkumpul padaku nafkah,

yang padanya ada zakat,

yakni telah sampai nisab zakat,

maka aku bertanya kepada Saad Ibn Umar,

Abu Said Al-Khudry, Abu Hurairah, kataku:

Apakah aku mengagihkannya sendiri

atau aku berikan kepada penguasa?

Semua mereka menyuruh aku memberikan

kepada penguasa. Seorang pun tidak akan ada

di antaranya yang menyuruh aku agih sendiri.."


~~~~~~~~~~~~~~

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~





Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...