Ramadan Mulia Pahala Diganda
Saya berpesan kepada pembaca dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Pada bulan Ramadhan yang suci ini, maka marilah kita mengambil peluang keemasan untuk membaiki dan meningkatkan prestasi diri agar dapat melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kita kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat.
Bulan yang penuh keberkatan ini merupakan masa gembira kepada orang yang beriman kerana setiap saat ada ganjaran pahala yang berganda-ganda melebihi yang biasa. Hari-hari dalam bulan Ramadhan adalah hari penuh ganjaran, malam-malamnya adalah malam yang paling berkat dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT.
Rasulullah SAW sendiri merasa gembira setiap kali kedatangan bulan ini dan kegembiraannya di sampaikan pula kepada para sahabat Baginda. Hadith Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Iman Ahmad bermaksud:
" Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan,
bulan yang penuh keberkatan.
Allah SWT telah memfardukan ke atas kamu puasanya.
Di dalam bulan Ramadhan di buka segala pintu syurga
dan di kunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan.
Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu
maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan. "
Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT sememangnya kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, Allah SWT telah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan sebagai bulan untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia. Justeru bulan yang mulia ini dilipat ganda ganjaran pahala khususnya bagi membersihkan segala dosa serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan
ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya
segala dosa yang terdahulu”
(Riwayat Bukhari)
Rasulullah SAW pernah berpidato ditengah-tengah
para sahabat di akhir bulan Sya’ban, di antara isi pidatonya:
" Wahai manusia,
sesungguhnya kamu akan di datangi
dengan satu bulan yang agung dan penuh berkat.
Di bulan itu
terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan.
Di bulan itu juga
Allah menjadikan puasa sebagai kewajipan
dan solat malam sebagai bentuk ibadah.
Barangsiapa berusaha mendekat diri kepada-Nya
dengan satu bentuk ibadah sunat,
maka pahalanya seperti melakukan ibadat fardu
di luar bulan ini dan barangsiapa
melakukan ibadat fardu dalam bulan ini,
maka pahalanya
digandakan 70 kali . "
Ia adalah bulan kesabaran dan pahala sabar adalah syurga, Ia adalah bulan kebersamaan, bulan di mana rezeki orang-orang yang beriman akan ditambah. Barangsiapa yang memberi makan untuk berbuka kepada orang lain, maka dosa-dosanya akan di ampuni dan dibebaskan dari api neraka.
Dan satu hadith Rasulullah SAW maksudnya:
“Setiap amalan
anak-anak Adam itu
dilipat-gandakan,
satu kebajikan dilipatgandakan
dengan 10 sehingga 700 kali ganda.
Allah berfirman:
Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk –Ku
.Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan,
kegembiraan ketika berbuka
dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya.
Dan bau mulut orang yang berpuasa
di hadapan Allah lebih harum
dari wangian misk.”
(Riwayat al-Bukhari)
Bagi memperolehi ganjaran pahala yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan maka jiwa kita hendaklah diasuh dan diasah untuk mendekati dengan Allah SWT serta bermujahadah melawan hawa nafsu. Pada bulan Ramadhan tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan oleh Allah SWT melalui latihan-latihan dan keistimewaan yang disediakan secara khusus antaranya ialah kewajipan ibadat puasa.
Ibadat Puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 183 maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Kamu diwajibkan berpuasa
sebagaimana diwajibkan atas orang
yang terdahulu daripada kamu,
supaya kamu bertakwa.”
Takwa adalah buah dan hasil yang diharapkan dari amalan puasa. Buah tersebut akan menjadi bekalan orang beriman dan menjadi perisai agar diri manusia tidak terjebak dalam jurang maksiat dan kejahatan. Bagi orang yang bertakwa kepada Allah SWT ia akan melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh. Dia tidak akan melihat, mendengar, mengucapkan dan melakukan perkara yang diharamkan. Dia hanya melakukan sesuatu yang dituntut dan diperbolehkan Allah SWT. Dia hanya berada di tempat yang mendatangkan keredhaan Allah SWT dan menjauhi tempat yang mendatangkan kemurkaan-Nya.
Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malah seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah yang lain dengan mengisi ruang-ruang yang ada seperti bersolat tarawih, bertadarus, bersedekah, membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT di dalam usaha mencari keredhaan-Nya. Ingatlah bahawa amalan wajib dan sunat di sepanjang bulan ini merupakan latih tubi insan kepada pembersihan hati, mendisiplin anggota badan, mengukuhkan akhlak dan mencegah penyakit.
Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan peluang ganjaran pahala yang di janjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadat kepada-Nya. Bulan impian ini merupakan anugerah Allah kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan perkara-perkara kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita tidak merasainya lagi.
Marilah sama-sama kita memenuhi masjid dan surau untuk melakukan ibadah terutamanya solat taraweh dan bertadarus al-Quran yang banyak keistimewaannya.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97 maksudnya:
“Sesiapa yang beramal salih,
dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman,
maka sungguh Kami akan menghidupkan dia
dengan kehidupan yang baik;
dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka,
dengan pahala yang lebih baik
dari apa yang mereka telah kerjakan.”
Sumber : JAKIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan