Penghayatan Ramadan tidak konsisten
Sering kali masyarakat kita terlepas pandang beberapa perkara ketika Ramadan dan Syawal antaranya, lebih mementingkan bazar Ramadan daripada masjid. Jika dikumpulkan orang yang berada di bazar, rasanya tidak muat masjid, lebih ramai daripada solat Jumaat.
Itulah hakikatnya, manusia lebih mementingkan sesuatu yang dapat dilihat daripada pahala yang dijanjikan Allah. Lebih mementingkan ‘hendak berbuka apa hari ni?’ daripada ‘hendak beribadah apa hari ini?
Kualiti ibadat
Kualiti dan kuantiti ibadat berbeza antara separuh pertama Ramadan dengan separuh kedua Ramadan.
Pada awal Ramadan, semangat berkobar-kobar ingin melakukan bermacam ibadat kerana terkesan dengan kelebihan yang dijanjikan ketika Ramadan. Jika boleh, hendak memenuhkan setiap malam Ramadan dengan solat tarawih, solat tahajud, solat witir, bacaan al-Quran dan sebagainya. Terasa macam bersalah jika tertinggal walaupun satu rakaat solat tarawih atau solat tahajud. Namun, apabila masuk separuh kedua Ramadan, kelebihannya hanya tinggal kesan.
Semangatnya semakin hilang
Semakin Ramadan ingin berlalu, semakin bertambah urusan perlu diselesaikan. Semua ibadat semakin berkurang dan semangat yang berkobar-kobar semakin pudar dan luntur.
Lebih bergembira dengan datangnya Syawal daripada datangnya Ramadan. Ramadan diibaratkan bulan seksaan, Syawal dianggap bulan kegembiraan. Tiada penghayatan terhadap kelebihan Ramadan berbanding bulan lain.
Pentingkan sahur
Lebih mementingkan sahur daripada qiamullail dan solat Subuh. Kalau bangun sahur, hati gembira kerana dapat makan.
Tetapi qiamullail dan solat Subuh tidak menjadi keutamaan, yang penting, bersahur dan niat puasa. Tidak solat pun tidak mengapa, yang penting puasa. Begitu juga ketika berpuasa pada siang hari, sanggup menahan lapar sehingga keletihan dan tertidur tetapi solat dan amalan lain diabaikan.
Berjaga buat kuih
Sepuluh akhir Ramadan tidak ada masa untuk qiamullail tetapi boleh pula berjaga malam buat kuih, kek, lemang dan ketupat.
Tidak ada masa untuk tahajud yang hanya dua rakaat, tidak sampai pun 10 minit, baca al-Quran sehelai tidak sampai pun 15 minit. Duit berhabis untuk juadah berbuka, bersahur dan sambutan hari raya tetapi kedekut bersedekah.
Tukar serba baru
Sikap ini masih sukar dikikis. Apabila menjelang akhir Ramadan, hati terdetik hendak tukar semua baru. Tabung masjid dan surau tidak lagi diisi, kutipan untuk moreh tidak lagi dipedulikan. Ada baiknya duit raya disedekahkan lebih banyak kepada fakir miskin daripada diberikan kepada kanak-kanak. Dahulukan duit raya kepada yang lebih memerlukan seperti fakir miskin dan anak yatim. Buat pertimbangan yang betul untuk menghabiskan duit raya dengan cara dan tempat yang betul.
Solat tarawih berjemaah penuh masjid, tapi solat fardu berjemaah, hanya penuh dengan tiang masjid.
Tempat persinggahan
Cuba perhatikan sebelum dan selepas Ramadan, masjid hanya menjadi tempat persinggahan pada Ramadan dan kembali ditinggalkan selepasnya.
Rasulullah SAW amat memberatkan solat fardu lima waktu berjemaah sehingga beliau mengancam mahu membakar rumah yang penghuninya tidak solat fardu berjemaah.
Petikan: Buku Adab Ramadan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan