Umat Islam diseru ganti sikap boros dengan amalan bersedekah




Amalan boros tidak dapat dielakkan setiap kali menjelang Ramadan. Boros dalam aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan berbuka puasa, sama ada ketika membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan hingga tidak mampu dihabiskan.





Seperti biasa, ketika berbuka dapat disaksikan ramai yang menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai macam hidangan. Tidak keterlaluan jika dikatakan majlis berbuka sering dijadikan acara ‘membalas dendam.’






Akibat makan terlalu banyak ketika berbuka, apabila hendak melaksanakan ibadah, mata mulai berat akhirnya menggagalkan mereka melaksanakan ibadah sunat yang amat dituntut pada Ramadan ini.







Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.







Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman, sekali gus akan berbaki atau lebihan makanan dibuang.







Untuk bersederhana ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa atau membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kita perlu berusaha mengehad dan mengawal kemahuan diri yang tidak terhad terlebih dulu.






Caranya ialah dengan berusaha menghapuskan nafsu jahat seperti nafsu ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik (mahmudah), seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah.







Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup.







Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan.







Kedua, sentiasa mengingati dan mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa atau menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kedaifan.







Mereka juga ingin menjamah makanan yang lazat dan pakaian baru seperti orang lain.







Namun, kedaifan mereka membuatkan mereka berbuka dan beraya dengan makan dan pakai apa saja yang ada. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.







Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan berwawasan.







Allah SWT berfirman bermaksud:





“Dan berikanlah

kepada keluarga yang dekat akan haknya,

kepada orang Muslim

dan orang yang dalam perjalanan;

dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu)

secara membazir (boros).”

(Surah al-Isra’, ayat 26)







Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji.