Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:



“Semua amalan anak Adam
digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda
serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda,
Allah Azza Wajalla berkata:
Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan
Aku sendiri yang membalasnya,
mereka meninggalkan syahwat dan makanannya
kerana-Ku.
Bagi orang yang berpuasa
akan mendapat dua kegembiraan;
kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan
semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk
(dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa
lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”



(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)








Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama yang mana sesiapa mengingkari puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syar’ie, hendaklah ia dihukum.




Didik jadi tegas, disiplin, sabar



Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar berhadapan sebarang godaan sepanjang Ramadan.





Ramadan dikenali sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang yang beriman memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT, bahkan di bulan ini semua aktiviti harus di sisi syarak dikira sebagai suatu ibadah kepada Allah SWT.






Nilai sepuluh kebajikan





Puasa dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa pada Ramadan dan diiringi puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun.





Ramadan bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-soleh. Kita hendaklah berusaha supaya tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan, bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT.