Ramadan
transformasi sifat mahmudah
Pertingkat muhasabah diri hapus virus mazmumah
Selang beberapa hari lagi Ramadan penuh berkat dan ganjaran pahala bakal menjelma. Malah, setiap kali menjelang bulan mulia ini, biasanya suri rumah paling sibuk bersiap mengenai menu yang sesuai dan menyelerakan untuk juadah berbuka serta bersahur.
“Bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran
sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan
mengenai petunjuk dan beza antara
yang benar dan yang salah” -
Surah al-Baqarah, ayat 185
Harapan kita segala kecacatan amalan Ramadan lalu dapat ditebus kembali pada tahun ini.
Mari kita bermuhasabah diri.
Pertama, apakah kita hanya berpuasa zahir semata-mata dengan meninggalkan soal makan minum sedangkan perangai lama seperti mengumpat, berhasad dengki dan sebagainya masih terlekat di hati.
Jika demikian, maka kita perlu imbas semula hati pada Ramadan tahun ini supaya virus mazmumah dapat dinyahkan dari dalam diri.
Tidak guna berpuasa selama 13 jam menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mampu menahan lidah daripada berkata yang keji, hati penuh berkarat kerana iri hati kepada insan lain dan tabiat menabur fitnah masih menebal.
Kita mesti berusaha membuang apa saja toksid penyakit hati jauh dari sanubari supaya amalan berpuasa tahun ini mendapat ‘Gred A’ daripada Allah. Jadikan ia seumpama mesin basuh mencuci segala kotoran melekat di jiwa, seterusnya menghasilkan jiwa dan hati yang jernih tanpa debu dosa.
Kedua, Ramadan sinonim dengan amalan bertadarus al-Quran dan kehadiran Ramadan seolah-olah menjadi satu magnet yang menarik kita untuk turut serta menggiatkan aktiviti membaca al-Quran.
Namun, janganlah kerana amalan itu terhenti sekitar Ramadan saja dan selepas itu semangat untuk memegang kitab al-Quran mulai kendur.
Ramadan dan al-Quran ibarat dua sahabat karib saling mencintai antara satu sama lain kerana kitab suci itu diturunkan pada bulan mulia ini. Janggal dan tidak lengkap pakej puasa Ramadan kita seandainya amalan membaca al-Quran tidak diamalkan.
Ketiga, jika sebelum ini kita tidak pernah atau hanya sesekali saja, maka tahun ini sewajarnya kita berazam mengubah tabiat malas bersolat malam dengan melakukan transformasi hati supaya rajin dan bersemangat menunaikannya.
Mualla bin Fadhil ada memberitahu, orang soleh terdahulu membahagikan 12 bulan kepada dua bahagian. Enam bulan pertama mereka memohon kepada Allah supaya dapat bertemu Ramadan dan melaksanakan ibadat dalam bulan demikian dengan aktif.
Pada enam bulan kedua, mereka memohon kepada Allah supaya puasa dan semua ibadat dilakukan sepanjang Ramadan diterima Allah.
Demikianlah kasih dan cinta orang soleh pada zaman dulu. Jadi, berusahalah menjinakkan hati kita, anak isteri supaya membiasakan amalan mendirikan solat malam sebagai menyahut seruan Allah yang menjanjikan pulangan pahala besar.
Keempat, seharusnya puasa di bulan Ramadan menjadikan kita seorang insan yang tidak bakhil sebaliknya sentiasa teruja untuk menghulurkan sedekah dan bantuan kepada orang lain.
Jadikanlah Ramadan ini akademi yang mengasuh dan mendidik hati dengan sifat mahmudah serta amalan soleh sekali gus memadamkan virus mazmumah yang sentiasa bersarang dalam jiwa selama ini.
Penulis Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Mekanikal,
Politeknik Muadzam Shah,
Pahang
"Allahuma Bariklana Fi Rajaba Wa Sya'bana Wa Balighna Ramadhan."
Semoga madrasah Ramadhan....
memberi kita kekuatan melenturkan nafsu
yang sentiasa membawa kita ke jurang neraka,
dan mendekatkan kita kepada syurga ALLAH SWT..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan