Wajah Siapakah Yang Dikau Cari....

Zikrullah Photobucket alinmalek

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Khamis, 15 Mac 2012

Mutiara Hadis





Dari Umar Ibnul-
Khattab r.a, katanya :
Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW
pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki
yang berpakaian serba putih, berrambut terlalu hitam,
tiada kesan bahawa ia seorang musafir,
dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama
Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya
dengan kedua lutut Rasulullah SAW
serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas
kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata :






Si pemuda : Khabarkan aku tentang Islam ?




Rasulullah
: Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana.




Si pemuda
: Benar katamu.




( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku s ipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya )




Si pemuda
: Khabarkanlah kepadaku tentang Iman ?




Rasulullah
: Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya.




Si pemuda
: Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ?




Rasulullah
: Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.




Si pemuda
: Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?.





Rasulullah
: Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya.




Si pemuda
: Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ?




Rasulullah
: Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.
( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) :





Rasulullah
: Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi ?




Umar Al-Khattab
: Allah dan RasulNya jua yang mengetahui.




Rasulullah
: Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.









Hadis empat puluh adalah koleksi hadis-hadis

yang disusun oleh Imam Nawawi di dalam kitab karangannya

yang bernama
Matan Arba'in.






Terdapat sebanyak empat puluh dua buah hadis

sabda junjungan Nabi Muhammad SAW

yang membicarakan mengenai akidah dan tauhid di dalam Islam.







Pentingnya karya Imam Nawawi ini

sehingga Ibnu Hajar mengarang sebuah kitab

bernama
Fathul Mubin Li-Syarhil Arba'in

yang mengupas dan mebincangkan hadis-hadis

himpunan Imam Nawawi.











Selasa, 13 Mac 2012

Prasangka buruk makan diri




Prasangka buruk makan diri







HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka

fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita.

Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan

dan pelbagai tindak-tanduk.



Jika baik hati mereka,

maka baiklah cakap mereka,

baiklah layanan dan sangkaan mereka.

Tetapi jika hati kotor,

apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam

yang bersarang di hati itu.




Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang

bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai

kuasa melakukannya.




Yang paling

mengetahui apa yang ada

dalam hati kita ialah Allah.

Dialah yang menilai kebaikan kita,

memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.






Manusia

memang suka bersangka-sangka.

Apa lagi sangkaan yang buruk.

Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.






Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir.

Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki

akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata

perempuan itu memakai susuk.






Demikian juga

apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai.

Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong.






Memang manusia punya hak untuk bersangka.

Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung.

Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni,

disenangi dan mudah mendapat kawan.






Jika sangkaan itu buruk,

jiwa pastinya akan sengsara.

Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik.

Pendek kata semua tidak kena.






Sebab

semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir,

sedangkan diri sendiri tidak difikirkan.

Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan

tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya

manakala orang muda dengan kehangatannya.






Jika kita hendak layan

semua sangka buruk orang dan semua hati

kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita.






Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim

dengan anaknya yang menaiki seekor keldai.

Dalam perjalanan orang kata:




“Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.”



Selepas itu,

Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah.

Orang kata juga:



“Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”




Kemudian mereka bertukar posisi lain pula,

anak naik keldai manakala Luqman pula

yang tarik dari bawah.






Orang mengata juga,

anak macam itu buat ayahnya macam hamba.

Justeru, cara terbaik ialah

merawat kembali penyakit buruk sangka.






Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri.

Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati

daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).






Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita.

Adakah kawan kita itu mendorong ke arah

kebaikan atau keburukan?






Jika kita

dapat menewaskan nafsu jahat

dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup

pasti berpihak kepada diri kita.






Proses berubah jadi baik mungkin

tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal

sudah bertekad dan ada kesungguhan,

Allah pasti permudahkan jalannya.





Ruang untuk perbaiki diri

sentiasa ada dan terbuka.

Justeru, tepuk dada tanya diri.

Mahu berubah atau tidak?







Beberapa cadangan diutarakan, antaranya:



  • Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif.



  • Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk.



  • Sucikan hati dengan banyakkan berzikir.


  • Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.




  • Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.






  • Sumber


    Cara mengetahui arah kiblat/masuk waktu solat








    1) Cara kita mengetahui arah kiblat dan waktu solat.


    2) Cara nelayan mengetahui arah kiblat bila arah perahunya berubah.






    Sabtu, 10 Mac 2012

    Menjana Pemikiran Pemuda



    Menjana Pemikiran Pemuda





    SEJAK zaman-berzaman, kegemilangan sesebuah tamadun adalah bergantung kepada kekuatan pemuda yang hidup pada zaman mereka.





    Pemuda digambarkan sebagai satu golongan yang bersemangat untuk merealisasikan apa yang terbuku dalam hati mereka dan merekalah golongan yang beridealisme tinggi.





    Adalah silap apabila wujud suara yang menghadang idealisme kerana kadang-kala idealisme harus dikembangkan untuk mewujudkan satu impian dan plan bertindak yang realistik dan sistemik.






    Perjuangan Rasulullah SAW yang tampak idealis didokong oleh golongan pemuda di saat golongan tua menolak baginda SAW. Pemuda berada di celah-celah kegilaan dan apabila mereka inginkan sesuatu, mereka akan lakukan dengan semangat 'kegilaan' yang ada pada diri mereka. Saya suka istilahkan kegilaan itu sebagai semangat 'ekstasi'.





    Ekstasi ialah satu saat kemuncak dalam hidup seseorang yang mana ketika itu ia akan berasa satu kekuatan yang entah dari mana muncul dalam diri mereka dan mendorong mereka untuk bertindak di luar kemampuan mereka. Ini digambarkan oleh Zaid bin Harithah yang hanya mengambil masa selama tujuh hari untuk mempelajari dan menguasai bahasa Yahudi. Imam Al-Syafie sendiri mempamerkan ekstasi beliau apabila mula menjadi guru kecil sewaktu berumur 10 tahun dan dilantik sebagai mufti muda ketika usianya mencecah 15 tahun.





    Ekstasi melahirkan satu perubahan, atau kita menyebutnya sebagai reformasi. Perubahan merupakan satu perkara yang tidak tetap, dan setiap zaman memerlukan perubahan.





    Hal ini digambarkan oleh seorang ulama yang memelihara anjing dan beliau telah dikritik oleh para pendokong mazhab anutan beliau. Beliau lantas menjawab: "Sekiranya guru kita berada dalam lingkungan kita pada masa sekarang, nescaya bukan sekadar anjing, bahkan singa pun boleh kita pelihara".





    Setiap manusia, bahkan negara dan bangsa memerlukan kepada perubahan. Bangsa yang tidak berani berubah adalah bangsa yang lemah dan dayus dalam berijtihad. Negara yang tidak berubah adalah negara yang kekal mundur dan tidak akan maju selamanya.






    Pemikiran lama akan ditenggelamkan oleh pemikiran baru.






    Albert Einstein berkata:





    "Masalah zaman kita tidak mampu untuk diselesaikan oleh pemikiran pada zaman kita". Perubahan menuntut kecekalan dan keberanian, bukannya jiwa-jiwa yang dayus dan lemah. Orang yang penakut akan kekal berada di tampuk yang lama kerana mereka sudah hidup dalam zon acuh tidak acuh, namun orang yang berani akan melakukan perubahan dari masa ke masa tanpa mengira cercaan dan gugatan terhadap mereka.





    Hanya pemuda dan kepemudaan mampu mendokong perubahan. Tatkala para malaikat tidak sabar untuk menghumbankan bukit-bukau ke atas penguni Thaif yang mencerca Rasulullah SAW, baginda lantas menghalang niat para malaikat. Pandangan baginda ternyata jauh dan analitikal: "Boleh jadi lahir daripada sulbi mereka, zuriat yang akan mengimani risalahku ini".





    Ya, generasi baru harus dibentuk mulai sekarang. Generasi yang tidak hanya melihat dengan pandangan singkat dan dekat, tetapi generasi berpandangan jauh dan meluas, seolah-seolah sayap matahari yang tidak hanya melimpah di satu tempat tetapi menerangi seluruh alam.





    Kita boleh perhatikan riak-riak perubahan yang sedang berlaku di Turkey. Sepanjang mereka berpayungkan sistem sekularisme, ekonomi mereka tidak berkembang dan mereka hidup dalam suasana yang kucar-kacir. Nama mereka tidak disebut-sebut sebagai sebuah negara yang maju setelah kejatuhan Turki Uthmaniah. Tetapi setelah wujudnya generasi baru yang membawa pemikiran dan budaya hidup yang menongkah arus, maka kita dapati gelombang perubahan berlaku dengan pesat.





    Malah, Turkey merupakan negara ke-6 termaju dalam Eropah dan negara ke-16 di dunia yang mempunyai kuasa ekonomi terbesar. Apa yang menarik juga Turkey merupakan negara dunia ke-13 yang paling menarik dan berdaya saing.





    Umat Islam harus memiliki jiwa kepemudaan yang tinggi. Jiwa kepemudaan tidak hanya dimiliki oleh pemuda, malah semua orang berhak untuk memiliki jiwa dan semangat kepemudaan ini. Jiwa yang sentiasa meronta-ronta untuk membuahkan pembaharuan dari semasa ke semasa supaya ummah tidak ketinggalan dan hanya mengikut dari belakang.





    Jiwa kepemudaan juga perlu supaya kita tidak hanya memasang angan-angan seperti Mat Jenin, atau hanya berperilaku seperti Luncai dengan labu-labunya. Cukuplah, kita sudah tidak tahan dan sanggup didendangkan dengan cerita-cerita yang melembapkan pemikiran kita seperti Pak Pandir, Lebai Malang, Awang Kecil, Sang Luncai sebagaimana negara Arab yang mempopularkan kisah Juha, Abu Nawas dan 1001 Malam, sedangkan Barat sudah meluaskan empayar penguasaan mereka hingga ke angkasa lepas.





    Orang kita melihat udara lalu terciptalah layang-layang sedangkan Barat mencipta kapal terbang. Orang kita melihat sungai untuk berenang, sedangkan Barat mencipta kapal. Malah saya ingin menambah lagi, orang kita melihat bulan untuk menentukan waktu Ramadhan dan Syawal, sedangkan Barat melihat bulan lalu dijelajahnya. Tepuk dada, tanyalah DIRI.






    SUMBER: iluvislam.com


    Jumaat, 9 Mac 2012

    Mengakui kesilapan akhlak mulia pancar keimanan



    Rendah diri mohon maaf

    tanda miliki kekayaan hati



    Oleh Amran Zakaria




    Mengakui kesilapan akhlak mulia pancar keimanan





    AMALAN dan kepercayaan pemimpin sentiasa berada
    dalam landasan betul adalah satu kesilapan diwarisi sejak zaman berzaman.
    Masyarakat bawahan diyakinkan bahawa orang yang banyak
    melakukan kesalahan ialah rakyat yang ditadbir,
    manakala golongan pentadbiran biasanya tidak disabitkan
    dengan sebarang kesilapan.








    Justeru, rakyat didorong memohon maaf
    atas apa juga kesilapan yang berlaku.
    Pada hari ini berlaku tuntutan sebaliknya.
    Kesediaan pemimpin mengakui kesilapan dan memohon maaf
    daripada rakyat mampu mempamerkan keperibadian
    yang mulia dan tinggi sahsiahnya.





    Firman Allah:




    "Terima kemaafan dan suruh

    dengan perkara yang baik

    serta berpaling (jangan dihiraukan)

    daripada orang yang jahil."



    (Surah al-‘Araf, ayat 199)






    Bukan mudah untuk manusia, terutama individu atau kumpulan
    melakukan tindakan seperti itu, walaupun pada pandangan
    kasarnya begitu mudah. Hanya mereka yang berbudi pekerti mulia
    saja mampu mempraktikkannya.









    Sebagai manusia, kita perlu menjauhkan diri daripada sifat riak, angkuh dan sombong semata-mata untuk menjaga imej, pangkat serta kedudukan. Individu yang bersifat mulia biasanya amat mudah memaafkan kesalahan orang lain.








    Rasulullah SAW bersabda bermaksud:






    “Ada tiga perkara

    apabila dilakukan akan dilindungi Allah

    dalam peliharaan-Nya, ditaburi rahmat-Nya

    dan dimasukkan ke dalam syurga iaitu

    apabila diberi ia berterima kasih,

    apabila berkuasa ia suka memaafkan

    dan apabila marah ia menahan diri.”


    (Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)








    Pada prinsipnya, manusia yang sedia meminta maaf
    dengan ikhlas dan secara terbuka walaupun menyedari kesalahan itu
    dilakukan orang lain dilihat memiliki akhlak yang mulia dan terpuji.
    Jika bukan kerana keimanan dan rasa tawaduk,
    sukar bagi manusia memohon maaf.







    Mereka yang sanggup memohon maaf ialah
    orang yang memiliki kekayaan hati, manakala mereka
    yang sukar memohon maaf dikatakan memiliki kemiskinan hati.







    Sebenarnya agak sukar untuk menggambarkan
    secara jelas maksud sebenar kekayaan dan kemiskinan hati.
    Seorang penyair Arab menulis mengenai gambaran itu.






    Katanya:





    “Kemiskinan sentiasa ada pada hati orang kaya

    dan kekayaan sentiasa ada pada hati orang miskin”.







    Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang mengetahui.








    Jiwa yang kaya ialah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri,
    sebaliknya memiliki sifat pemurah dan berlapang hati.
    Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri,
    memohon maaf dan memaafkan orang lain.








    Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa Abu Zar
    memanggil Bilal bin Rabbah dengan gelaran ‘wahai anak hitam’,
    satu ungkapan amat menghiris hati.
    Bilal apabila mendengar panggilan itu
    mendiamkan diri dan tidak membalas panggilan Abu Zar.









    Sebagai manusia biasa
    yang mempunyai emosi dan perasaan,
    Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah SAW
    untuk membuat aduan berkaitan perkara itu.
    Selepas mendengarnya, muka Baginda kelihatan berubah.
    Rasulullah SAW terus ke tempat Abu Zar berada tetapi hanya lalu saja
    dan terus ke masjid.








    Mengetahui bahawa Rasulullah
    marah padanya lalu
    Abu Zar memberi salam
    kepada Rasulullah SAW .
    Baginda Nabi kemudian menyebut:







    “Wahai Abu Zar, kamu menghina Bilal dan menghina asal-usulnya.
    Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal-usulnya ialah
    orang jahiliah sebelum masuk Islam dan sesungguhnya dalam diri kamu
    masih ada sisa jahiliah”.








    Abu Zar RA berasa terpukul dan sangat menyesal.
    Abu Zar menangis dan merayu kepada Rasulullah SAW
    dengan berkata:







    “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan mintalah Allah ampunkan dosaku...”.







    Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal lalu dipeluknya
    sambil memohon maaf kepadanya. Tidak cukup dengan itu,
    Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata:








    “Demi Allah wahai Bilal, aku tidak akan angkat pipiku
    dari atas tanah kecuali kamu pijak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu.
    Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.








    Bilal kemudian mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar
    lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkat dari tanah.
    Mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang.








    Pengajaran daripada kisah ini ialah,
    jangan sesekali kita menghina orang dalam apa bentuk
    sama ada perkataan ataupun perbuatan kerana emosi dan perasaan
    seseorang tidak boleh diperdagangkan dengan bayaran ganti rugi
    walaupun lumayan.








    Memohon maaf atas kesalahan juga satu manifestasi
    dan pancaran keimanan, kesucian hati dan ketinggian akhlak seseorang.
    Ia selaras akhlak dan sunnah Baginda Rasulullah SAW
    sebagai seorang yang paling pemaaf lagi mulia sifatnya.








    Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan,
    wajar kita meminta maaf dengan cepat.
    Akui kesalahan dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan itu.







    Bagi mereka yang melakukan kesalahan padanya,
    tidak salah merendah diri dan memaafkan kesalahannya.
    Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma.
    Hanya yang ikhlas saja akan diberi ganjaran.








    Kita wajar merenungi firman Allah yang bermaksud:







    “Terima kemaafan dan suruh

    dengan perkara yang baik serta berpaling

    (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil.”




    (Surah al-‘Araf, ayat 199)








    Justeru, sikap mudah rasa bersalah
    walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri Muslim.
    Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia
    terus dibelenggu pelbagai masalah, terutama perkara
    berkaitan kehidupan bermasyarakat.














    Isnin, 5 Mac 2012

    Fahami doa minta Allah tunjukkan jalan lurus








    Fahami doa

    minta Allah

    tunjukkan jalan lurus




    DOA

    kadang-kadang minta lain tapi buat lain

    malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta

    tapi kita sebut ‘aamiin’.






    Bila imam baca doa

    kita di belakang main sebut saja,

    aamiin tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca.






    Doa sebenarnya permintaan,

    kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham,

    barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta.





    Bila faham semasa berdoa

    sangat menolong kita mencarinya

    selepas berdoa dalam kehidupan seharian.







    Kalau main minta atau main angkat tangan saja

    sedangkan tak faham apa-apa

    boleh dianggap bermain-main dengan doa.







    Sudah puluhan tahun kita meminta

    perkara sama tapi tak dapat-dapat.

    Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan

    tapi kita sendiri yang hanya pandai minta

    tetapi tak pandai cari.






    Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan.

    Antara yang kita mesti minta setiap hari

    sebanyak 17 kali sehari semalam ialah

    ‘ihdinassiratal mustaqim’

    ataupun maksudnya

    ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’








    Besarnya doa ini,

    kita diwajibkan membacanya setiap kali

    di dalam sembahyang sebanyak

    17 kali sehari.







    Doa ini tidak didahulukan

    melainkan selepas kita memuji Allah dahulu

    bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya

    dan Dia adalah Tuhan yang

    Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.








    Besarnya juga doa ini

    ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar

    mengaku sebenar-benarnya hanya Allah,

    Tuhan yang kita sembah dan tempat

    kita meminta pertolongan.









    Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’.

    Tahukah kita apa jalan yang lurus itu?

    Kalau tak tahu kena belajarlah

    sebab jalan yang lurus itu sangat penting.








    Sesetengah remaja hanya tahu jalan betul,

    jumpa jalan betul terus merempit.


    Orang Palestin mati di jalan Allah kita mati jalan raya.









    Kalau kita perhatikan

    sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus,

    ‘ihdinassiratal mustaqim’ Allah mentafsirkan jalan lurus itu

    Tuhan terangkan jalan yang Allah sudah berikan nikmat-Nya

    kepada orang-orang yang terdahulu.







    Siapakah orang-orang ini?

    Mereka adalah rasul, nabi, sahabat-sahabat dan aulia’.

    Mereka kekasih Allah, Tuhan yang menganugerahkan

    nikmat besar kepada mereka.






    Nikmat pula ialah nikmat iman,

    Islam dan ihsan. Hanya dengan jalan iman,

    Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus,

    jalan yang sama dilalui oleh kekasih Allah

    iaitu rasul, nabi dan wali Allah.







    Mereka melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya.

    Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut

    jalan seperti mereka supaya kita benar-benar

    sampai kepada Allah.







    Jalan yang lurus itulah

    yang akan sampai kepada Allah.

    Selain itu,

    ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah.







    Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah,

    minta dijauhkan kita daripada dua jalan

    yang tidak sampai kepada Allah iaitu

    jalan orang yang Allah murkai

    dan jalan orang-orang yang sesat.







    Jalan orang yang Allah murkai

    adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan

    seperti Namrud dan Firaun.






    Mereka menolak Allah

    dan mereka adalah orang

    yang mendapat laknat Allah.







    Jalan orang yang sesat pula ialah

    seperti Yahudi dan Nasrani (kristian).


    Walaupun mereka percaya Tuhan,

    tetapi jalan yang mereka lalui bertentangan


    dengan kehendak Tuhan.








    Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan.

    Orang yang boleh sampai kepada Tuhan

    adalah orang yang mengikuti jalan lurus.






    Jalan itu

    ditempuh oleh rasul, nabi, sahabat,

    tabiin dan wali Allah sebelum ini.

    Maka,

    kita mengharapkan belas kasihan

    supaya Allah tunjukkan kita jalan


    yang sampai kepada-Nya.








    Dinyatakan tadi jalan itu

    adalah iman, Islam dan ihsan.

    Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan

    kepada kita jika kita mendapatkannya.






    Namun,

    ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati

    seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita.








    Barulah

    kita mendapat

    jalan yang lurus.






    Kalau sekadar

    slogan atau cakap-cakap saja,

    itu dikira belum dapat lagi.


    Cubalah muhasabah diri kita

    sejauh mana kita bersungguh-sungguh

    ketika berkomunikasi dengan Allah.

    Paling kurang ayat al-Fatihah

    yang kita baca seharian, antara faham,

    kehendak dan realiti

    biarlah selari

    seiring dan sejalan.







    Fahamilah, hayatilah,

    amalkanlah serta perjuangkanlah!









    Sumber



    Ahad, 26 Februari 2012

    Debat secara beradab, beretika elak dipengaruhi emosi






    Debat secara beradab,

    beretika elak dipengaruhi emosi




    Oleh Amran Zakaria





    ISU UNTUK berdebat dan cabar-mencabar semakin menjadi-jadi,
    terutama dalam usaha meraih populariti kumpulan mahupun peribadi.
    Cabaran untuk berdebat ini biasanya timbul apabila berdepan
    dengan pertembungan idea dan pendekatan dalam menangani sesuatu perkara.
    Dalam bahasa Arab disebut sebagai ikhtilaf.











    Pada asasnya istilah ini merujuk kepada perbezaan pendapat
    terhadap sesuatu perkara. Dalam erti kata lain
    setiap orang mengambil yang berbeza sama ada
    dalam perkataan mahupun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama.
    Oleh itu, setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf,
    sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan.














    Harus diakui manusia memang berbeza pandangan,
    pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu
    yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama,
    manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.










    Firman Allah yang bermaksud:










    “Serulah

    ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad

    dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat

    pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka

    dengan cara yang lebih baik.”


    (Surah al-Nahl, ayat 125).













    Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa
    setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas
    maka dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya
    dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.











    Risalah al-Mustarsyidin menggariskan 10 adab
    untuk berdebat iaitu tidak berada dalam keadaan marah,
    tidak cuba mencari masalah, tidak membanggakan diri,
    jangan menghukum, jangan ketawa, jangan menjadikan dakwaan sebagai dalil,
    apabila anda mendatangkan dalil, tujuan daripadanya adalah
    mencari kebenaran, apabila anda menggunakan akal,
    gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu,
    hendaklah anda menjadikan kebenaran berharga untuk umat Islam
    dan usah mencari kemenangan sebagai tujuan utama (dalam berdebat)
    dan yang akhir sekali janganlah anda berpaling kepada orang lain
    sewaktu pihak kedua sedang bercakap dengan anda.













    Ertinya,
    penjagaan akhlak dan kesopanan amat dititikberatkan
    seandainya berlaku perdebatan.










    Saidina Ali Abi Talib pernah berkata:










    “Petunjuk sebaik-baik pemimpin,

    akhlak yang baik sebaik-baik teman,

    akal sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan. "








    (Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).













    Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita
    daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran.
    Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu
    yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab
    maka tenanglah hati menghadapinya.














    Debat kalau berlaku mestilah
    secara beretika dan halus budi bahasanya.
    Setiap patah kata dalam ungkapannya
    dapat menjadi contoh mereka
    yang mencintai kebenaran.
    Tetapi sayang,
    sebahagian daripada pendebat sekarang
    menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka
    untuk mencari pengaruh dan kemenangan,
    sedangkan debat yang dicadangkan ialah
    untuk mencari jalan yang lurus.
    Oleh itu,
    berhujah untuk memburukkan lawan,
    pelbagai kata kasar dan nista dihambur keluar
    akan memburukkan keadaan.
    Dibimbangi keburukan demi keburukan orang didedah
    dan diaibkan melalui kata-kata.













    Ramai yang suka bertikam lidah
    apabila berlaku perselisihan pendapat.
    Kadangkala timbul keadaan menyerang,
    menentang dan saling mencela antara mereka.











    Rasulullah SAW bersabda:











    “Aku ialah

    pemimpin di sebuah tempat di syurga

    bagi orang yang meninggalkan perdebatan

    walaupun dia benar.”







    (Riwayat Abu Daud).














    Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata "












    " Seseorang

    yang menceritakan keburukan orang lain

    di hadapanmu,

    jadi

    dia akan menceritakan keburukanmu (juga)

    pada orang lain. "














    Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:












    “Barang siapa

    mampu menjaga apa

    yang ada antara dua janggut

    dan

    apa yang ada di antara dua kaki,

    maka

    aku jamin dia masuk syurga. "










    (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)













    Apabila seseorang memahami dan mengerti
    bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya
    akan dihisab dan dibalas maka dia akan tahu
    untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya
    dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.












    Termasuk dalam adab menjauhi perdebatan ialah
    berwaspada seandainya sesuatu perbincangan
    yang dimulakan dengan adab Islam akan berubah
    menjadi satu perdebatan yang dibina atas dasar keangkuhan.














    Oleh itu
    hendaklah sentiasa prihatin kepada tanda-tanda
    yang bakal mengubah satu perbincangan kepada perdebatan,
    seperti sikap berlemah lembut mula berubah kepada perkataan yang kesat,
    bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan gerak badan yang mengancam,
    manakala format perbincangan berubah
    daripada ilmiah kepada emosi.











    Cara penuturan seseorang
    memudahkan kita mengenali watak ahli pendebat.
    Bahasa yang terhambur keluar melalui lidah yang tidak bertulang
    amat membahayakan kerana tajamnya melebihi sembilu.














    Justeru,
    jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal
    dalam menuturkan kata-kata.
    Apalagi
    apabila akal gagal mengawal tutur katanya
    menyebabkan apa yang terkeluar itu
    menjadi zarah amarah dan nafsu semata-mata.












    Rasulullah SAW
    pernah mengumpamakan lidah itu
    sebagai kunci segala perkara,
    yakni perkara baik dan buruk.














    Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud:
















    “Mahukah engkau

    aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini?

    Aku (Muaz) menjawab:

    Mahu wahai Rasulullah SAW.

    Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata:

    Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik.

    Aku (Muaz) pun berkata pula:

    Wahai Rasulullah SAW,

    apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami?

    Lalu Baginda SAW menjawab:

    Moga-moga Allah memelihara engkau.

    Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia

    menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka,

    melainkan tutur katanya sendiri.”











    (Hadis riwayat al-Tirmizi).















    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...