:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Jumaat, 30 Mac 2012

Pilih teman bawa kita ke arah kebaikan




Pilih teman

bawa kita ke arah kebaikan



MELIHAT gelagat remaja dewasa kini amat membimbangkan. Memang bukan semua bermasalah namun ramai remaja yang nampak tidak kena.

Terdapat beberapa faktor yang membuatkan kita rosak, antaranya teman dan salah memilih sahabat.

Marilah sama-sama kita memberi perhatian serius terhadap pemilihan sahabat.

Carilah teman baik yang dapat membantu. Teman paling baik juga ialah apabila kita melihat wajahnya, kita akan teringat kepada Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya kita akan mengingati mati.


“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya” (Hadis riwayat al-Hakim).



Allah s.w.t mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, mereka tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari daripada berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang.

Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, mereka dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri sebagai seorang manusia normal.

Itulah antara hikmah kenapa Allah mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya.”

Dalam Islam faktor memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia, kerana sahabat berperanan dalam membentuk personaliti individu.

Ada sahabat yang sanggup bersusah-payah dan berkongsi suka duka bersama kita dan tidak kurang juga sahabat yang nampak muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan saja.

Pendek kata, sahabat boleh menentukan corak hidup seseorang. Justeru, jika salah pilih sahabat pasti kita akan merana dan menerima padahnya.

Selari dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Seseorang itu adalah mengikut agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang menjadi temannya” (Hadis riwayat Abu Daud).

Bak kata pepatah Arab, “Bersahabat dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya, manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan baju kita.”

Apakah ciri-ciri seorang sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:


  • Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu.


  • Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu.


  • Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu.


  • Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik.


  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu.


  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya.


  • Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya.


  • Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu.


  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu.


  • Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu.


  • Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu.


  • Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.


  • Dia membantu kamu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat


  • Dia mendorong kamu mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

    Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ibu bapa berhati-hatilah jika memilih sahabat kerana sahabat kita boleh bahagia dan sahabat juga mampu menjahanamkan kita.

    Berhati-hatilah atau tinggalkan saja sahabat seperti di bawah:


  • Sahabat yang tamak iaitu hanya memberi sedikit dan meminta yang banyak dan mereka hanya mementingkan diri sendiri.


  • Sahabat hipokrit iaitu menyatakan bersahabat berkenaan dengan hal lampau, atau hal mendatang. Dia berusaha mendapatkan simpati dengan kata-kata kosong. Jika ada kesempatan membantu, dia tidak sanggup.


  • Sahabat pengampu. Mereka setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah.

    Yang parahnya, dia setuju dengan hal yang dia tidak berani menjelaskan kebenaran. Di depan dia memuji dan apabila di belakang dia merendahkan diri atau mengkhianati amanah kamu.


  • Sahabat yang boros dan suka berhibur. Golongan itu menjadi kawan jika kamu suka berpesta, berkeliaran dan ‘melepak’ pada waktu yang tidak sepatutnya.





  • Sumber


    Petikan khutbah Jumaat dari JAKIM







    Khutbah Jumaat:


    Manusia berhati syaitan gugat keamanan


    LAPORAN media saban hari memaparkan pembunuhan insan tidak berdosa.
    Godaan syaitan dalam bentuk lisan, perbuatan bawa kemusnahan ummah



    DALAM menghadapi kehidupan serba mewah dan canggih ini, ramai manusia tidak mampu membezakan garis pemisah antara kebenaran dan kebatilan. Bagi mereka yang tidak mendapat cahaya hidayah, mereka menganggap kebenaran itu bagaikan ranjau berduri, sebaliknya kesesatan atau kekeliruan bagaikan taman indah dipenuhi bunga berwarna warni.


    Alangkah sesatnya mereka ini, ruginya kehidupan mereka kerana dipengaruhi musuh Allah SWT iaitu syaitan laknatullah. Ingatlah bahawa dalam sejarah kewujudan dunia, didapati syaitan atau iblis adalah makhluk pertama berada dalam kesesatan dan kemungkaran serta berjanji untuk menyesatkan seluruh umat manusia di muka bumi ini.
    Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang bertindak mengikut hawa nafsu. Mereka ini tidak mendapat petunjuk Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah penderhakaan kepada Allah SWT.
    Firman Allah SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: “Syaitan menguasai mereka, sehingga mereka lupa mengingati Allah; mereka itulah puak syaitan. Ketahuilah! Bahawa puak syaitan itu orang yang rugi.”

    Menurut ulama, syaitan adalah golongan kafir daripada jin. Bapa mereka ialah Iblis. Syaitan adalah musuh utama manusia dan syaitanlah yang mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Syaitan sentiasa berusaha supaya manusia tidak dapat memasuki syurga dan menjauhkan diri daripada jalan ke arahnya.

    Walaupun demikian sifat syaitan, masih ada manusia yang termakan pujukan syaitan dan meninggalkan syariat Allah SWT serta petunjuk Nabi.

    Antara amalan syaitan ialah melakukan kezaliman dan pengkhianatan kepada umat manusia, melakukan tipu daya supaya manusia berbuat kejahatan dan mengajak ke arah keburukan serta perbuatan keji. Syaitan akan meninggalkan dan membiarkan manusia pada saat genting apabila manusia terjebak mengikut telunjuknya.
    Manusia yang berhati syaitan atau saudara syaitan adalah mereka yang bertindak mengikut hawa nafsu. Mereka ini tidak mendapat petunjuk Allah SWT sedikit pun. Di dalam hatinya terdapat sifat tercela seperti tamak, hasad dengki, iri hati, zalim, melakukan kemaksiatan malah mendorong ke arah penderhakaan kepada Allah SWT.

    Saidina Ali ra berkata: “Yang paling aku takutkan menimpa kamu adalah panjang angan-angan dan mengikuti hawa nafsu. Panjang angan-angan dapat melupakan kehidupan akhirat, sedangkan mengikuti hawa nafsu dapat menghalang-halang kebenaran.”

    Mereka yang dikuasai syaitan, sebenarnya hati mereka dikuasai kebatilan dan menyangka bahawa syaitan adalah teman karibnya sehingga menjadi pengikut syaitan, maka ingatlah bahawa musuh Allah SWT ini sentiasa mengintai sasarannya dan menunggu mangsanya untuk dijerumuskan ke dalam jurang yang dalam.

    Syaitan menggunakan dua cara untuk mewujudkan pintu godaan ini iaitu lisan dan perbuatan. Cara lisan lebih hebat daripada perbuatan kerana di situlah terhimpun segala pujuk rayu dalam jiwa. Lisan juga berbahaya kepada tubuh manusia kerananya juga akan membawa hidup penuh sengsara di dalam neraka.

    Sayidina Muadz pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga dan menjauhkan daripada api neraka. Maka Rasulullah SAW memegang lidahnya sendiri lalu bersabda bermaksud: “Jagalah lisanmu, kecuali untuk berkata baik, sebab dengan demikian itu engkau dapat mengalahkan godaan syaitan”. (Riwayat at-Thabrani)

    Bagi menghindari syaitan menguasai diri kita, maka antaranya hendaklah kita sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah SWT dengan memohon perlindungan daripada-Nya, sentiasa membaca ayat suci al-Quran, mencegah diri daripada berbicara berlebihan, memelihara mata, telinga, hati dan segala anggota, membuang amalan syaitan seperti ketawa berlebihan, berjalan pada waktu senja dan terakhirnya yang mesti lakukan ialah jihad melawan segala bentuk tipu daya syaitan.

    Dalam kehidupan hari ini ramai manusia yang berhati syaitan. Apabila syaitan menguasai diri manusia, mereka tidak merasa takut melakukan apa saja termasuklah perbuatan di luar batas kemanusiaan.

    Lihatlah apa yang berlaku pada masa kini seperti pembunuhan kanak-kanak tidak berdosa yang bukan setakat dibunuh tetapi didera, diseksa dengan begitu kejam serta dibakar. Malah pada hari ini juga ada orang tua menjadi mangsa kepada saudara mara sendiri seperti dibiarkan terabai dan diperlakukan dengan begitu kejam.

    Kita juga menyaksikan bagaimana rakusnya nafsu manusia yang dikuasai syaitan seperti kes sumbang mahram, bapa merogol anak sendiri, kes isteri curang sehingga bersekedudukan, kes pembuangan bayi yang tiada kesudahannya.

    Perbuatan ini berlaku kerana diri dan hati manusia yang bertindak kejam itu sebenarnya dikuasai syaitan laknatullah. Ingatlah, kejadian yang berlaku masa kini seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak, kes jenayah, pembunuhan, penindasan sesama manusia, membunuh diri dan melakukan kejahatan, kezaliman ke atas makhluk Allah adalah perbuatan dipengaruhi syaitan.

    Mereka yang menjadikan nafsu dan syaitan sebagai petunjuk kehidupan akan menemui kegagalan akhirnya. Mereka sentiasa resah kerana diburu rasa bersalah, bukan saja kepada Allah SWT tetapi juga kepada diri sendiri.

    Golongan ini tidak akan diberi petunjuk oleh Allah SWT dan di akhirat kelak akan di azab dengan api neraka yang amat pedih. Justeru, marilah kita kembali ke jalan benar dengan melakukan amal salih, menutup segala pintu syaitan dan kemungkaran serta mengingati akhirat agar kita sedar hakikat kehidupan ini.

    Renungilah firman Allah SWT dalam surah al- Hadid ayat 21 bermaksud: “Berlumbalah kamu untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; itulah kurniaan Allah; diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki; dan Allah mempunyai kurnia yang besar”.





    Petikan khutbah Jumaat dari JAKIM







    Ahad, 25 Mac 2012

    Cakap banyak, mulut celupar tanda akhlak buruk


    Persoalan Agama:

    Cakap banyak, mulut celupar

    tanda akhlak buruk


    Bersama Ustaz Zahazan



    SAYA ada beberapa soalan mengenai sikap seorang rakan saya yang mempunyai perangai menyakitkan hati. Kalau ditegur, dia kata memang begitu perangainya. Bolehkah seseorang yang mempunyai akhlak buruk berubah menjadi baik. Bagaimanakah yang dikatakan akhlak baik yang dikehendaki agama.




    RASHID,
    Klang, Selangor DE.









    RASULULLAH SAW bersabda bermaksud:




    “Perbaikilah akhlak (budi pekerti) kamu sekalian.”

    Imam Ghazali menyebut dalam Ihya’ ulumiddin: “Bagaimana kita boleh menolak

    perubahan akhlak dan kelakuan pada manusia. Perubahan juga boleh berlaku pada

    binatang. Bukankah burung helang yang asal sifatnya liar itu boleh dijinakkan? Begitu

    juga dengan kuda yang degil dan menentang sifatnya, dapat dijinakkan menjadi patuh

    serta menurut. Semua itu adalah perubahan dalam akhlak dan sikap.”






    Orang yang menyatakan

    akhlak atau sikap tidak mungkin boleh berubah,

    maka kita tanya kepadanya:


    “Sekiranya akhlak dan kelakuan itu tidak mungkin

    untuk berubah, maka sudah tentulah tidak ada gunanya peringatan

    yang kita dituntut untuk menyampaikannya,

    atau nasihat-menasihati antara satu sama lain,

    ataupun pendidikan.”







    Hakikat budi pekerti itu

    adalah perilaku (hal dan keadaan)

    yang meresap dalam jiwa seseorang.

    Perilaku inilah yang menerbitkan perbuatan

    dengan perasaan senang dan mudah,

    tanpa perlu lagi kepada pemikiran dan pertimbangan.







    Jika yang terbit daripada perilaku itu

    perbuatan elok dan terpuji menurut ukuran akal mahupun syarak,

    maka perilaku ini dinamakan budi pekerti yang baik.

    Sebaliknya, jika yang terbit adalah perbuatan jahat,

    maka perilaku yang menjadi sebab terbitnya

    segala perbuatan jahat itu dinamakan budi pekerti yang jahat.






    Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis bermaksud:


    “Sesungguhnya

    orang yang terdekat kepadaku

    di hari kiamat ialah yang terbaik akhlaknya.”







    Sudah sepatutnya orang yang beriman

    dengan Rasulullah SAW bersemangat untuk menghiasi dirinya

    dengan semua bentuk akhlak mulia.

    Sehingga Rasulullah SAW mencintainya dan dekat dengannya

    di akhirat kerana sikap dan kelakuannya mengikut apa yang

    Baginda perintah.


    Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:




    “Sesungguhnya

    yang paling aku cintai

    di antara sekalian kamu

    dan paling dekat kedudukannya kepadaku

    di akhirat adalah mereka yang terbaik akhlaknya.

    Dan yang terburuk di antara kamu sekalian bagiku

    dan terjauh dariku di akhirat iaitu

    mereka yang terburuk akhlaknya.

    Mereka itulah

    ‘Tsarsarun’,

    ‘Mutafaihiqun’

    dan

    ‘Mutasyaddiqun’.”







    Maksud Tsarsarun ialah orang yang banyak cakap,

    mutafaihiqun ialah orang yang sombong

    dan mutasyaddiqun ialah mereka yang cakap tanpa berhati-hati.





    Justeru, sesiapa yang ingin dicintai Rasulullah SAW

    dan ingin dekat dengannya di akhirat, hendaklah ia

    memperbaiki perangainya dan bersungguh-sungguh

    hingga tercapai cita-citanya.







    Sabtu, 24 Mac 2012

    Wudhuk zahir dan batin




    Wudhuk zahir dan batin





    Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf,
    sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir
    kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada
    orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki
    dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.





    Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid
    bernama Hatim Al-Assam dan bertanya,



    "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"




    Hatim berkata,


    "Apabila masuk waktu solat, aku berwudhuk zahir dan batin."




    Isam bertanya,


    "Bagaimana wudhuk zahir dan batin itu? "


    Hatim berkata,




    "Wudhuk zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh
    semua anggota wudhuk dengan air".
    Sementara wudhuk batin ialah
    membasuh anggota dengan tujuh perkara :-






    * Bertaubat



    * Menyesali dosa yang telah dilakukan



    * Tidak tergila-gilakan dunia



    * Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya')



    * Tinggalkan sifat berbangga



    * Tinggalkan sifat khianat dan menipu



    * Meninggalkan sifat dengki."





    Seterusnya Hatim berkata,



    "Kemudian aku pergi ke masjid,
    aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.
    Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan:





    1. Aku sedang berhadapan dengan Allah,



    2. Syurga di sebelah kananku,




    3. Neraka di sebelah kiriku,




    4. Malaikat Maut berada di belakangku, dan




    5. Aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian
    'Siratalmustaqim' dan menganggap bahawa solatku kali ini
    adalah solat terakhir bagiku, kemudian
    aku berniat dan bertakbir dengan baik."





    "Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham !
    Maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk,
    aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku
    memberi salam dengan ikhlas.
    Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."





    Apabila Isam mendengar,
    menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya
    yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.






    :)



    Jumaat, 23 Mac 2012

    Pepatah Arab









    Pepatah Arab ada mengatakan,
    " Apabila kita tidak punya apa-apa, kita tidak dapat memberi."





    Dalam lain perkataan,
    kita hanya dapat memberi apabila kita memiliki sesuatu
    yang dapat disumbangkan. Apabila kita mempunyai wang ringgit,
    kita dapat memberi wang kepada orang.
    Apabila kita mempunyai harta benda,
    kita dapat memberikan harta itu kepada orang lain.





    Apabila kita miskin,
    apakah yang dapat kita berikan kepada orang lain?
    Kita tentu tahu orang yang dapat memberi bantuan
    hanyalah orang yang kaya, iaitu orang yang mempunyai
    harta yang lebih daripada keperluannya.
    Kadang-kadang harta itu dihulurkan
    sebagai derma, hadiah, bantuan ataupun zakat.



    Selain kaya harta, kaya juga dinamakan
    Nabi Muhammad sebagai kaya jiwa.




    Baginda bersabda,



    " Bukanlah kaya itu

    kerana banyak harta,

    orang yang kaya itu ialah

    orang yang kaya jiwanya."




    Orang yang banyak harta tapi miskin jiwa
    adalah orang yang miskin. Sebab itulah
    orang yang miskin jiwanya bersifat kedekut.
    Miskin jiwa bermakna orang itu bakhil atau kedekut.


    Kaya jiwa adalah kaya sebenar.
    Orang yang miskin harta tapi kaya jiwa masih dapat
    membahagiakan orang.
    Suka tolong-menolong dan bantu-membantu sekadar mampu.


    Saidina Ali pernah ditanya hal keadaan dirinya
    yang sering difitnah oleh musuh-musuhnya.
    Para sahabat Saidina Ali memintanya membalas kata-kata tersebut
    dengan melemparkan semula kata-kata buruk kepada musuh-musuhnya.


    Jawab Saidina Ali,

    " Aku hanya dapat memberikan apa yang ada pada diriku."


    Maknanya, Saidina Ali hanya mempunyai sifat-sifat mulia.
    Saidina Ali tidak mempunyai sifat-sifat buruk
    seperti musuh-musuhnya. Kerana itu,
    apa yang terbit daripada dirinya ialah
    kata-kata mulia dan baik .




    Eloklah kita merenung diri.
    Apabila kita kaya harta,
    apakah kita juga kaya jiwa.
    Bolehkah kita memberi
    emas, intan dan permata jiwa kepada orang lain
    supaya nampak kita orang kaya?
    Apabila kita miskin jiwa,
    yang kita berikan
    hanyalah keburukan dan timbunan
    sampah sarap kejiwaan.












    Keupayaan polis pertahan keamanan negara amat dihargai





    Khutbah Jumaat:


    Keupayaan polis

    pertahan keamanan negara amat dihargai


    SEMPENA Hari Ulang Tahun Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke-205
    pada 25 Mac ini, mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk
    'Benteng Keamanan'.





    Perubahan suasana politik dunia global masa kini dan tekanan
    serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia
    menuntut kita menguasai kekuatan ketenteraan,
    kepolisan dan keupayaan mempertahankan negara.



    Oleh itu sebagai sebuah negara berdaulat,
    perlulah diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang
    untuk menyemai rasa tanggungjawab membela kemuliaan
    maruah diri, bangsa dan negara.



    Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:


    “Dan hendaklah kamu

    bertolong-tolongan untuk membuat

    kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu

    bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)

    dan pencerobohan serta bertakwalah kepada Allah

    kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya

    (bagi sesiapa Yang melanggar perintah-Nya).”



    Sejak 1807 hingga sekarang kita mempunyai pasukan polis
    yang berkemampuan menjaga keselamatan agama, rakyat dan negara
    daripada segala ancaman musuh yang boleh menggugat kedaulatan negara.





    Sebagai orang Islam, kita berbangga kerana mengetahui
    institusi penting itu sudah wujud sejak zaman Khulafa’ ar-Rashidin lagi.
    Saidina Umar al-Khattab umpamanya, menjalankan penyusunan
    pentadbiran bagi memastikan kelicinan jentera pemerintahannya
    dan antara perkara yang dilakukannya ialah mewujudkan
    sebuah pasukan bagi menjaga keamanan orang awam.





    Saidina Umar sendiri turut serta menjalankan tugas berkenaan
    apabila menjalankan rondaan pada waktu malam untuk
    melihat keadaan rakyatnya dan menjaga
    keselamatan dan kebajikan mereka.





    Pada zaman kerajaan Umayyah dan Abbasiah,
    wujud jawatan ketua polis iaitu Sahib al-Shurtah.
    Di Andalusia pula digelar Sahib-al-Madinah,
    dengan pasukan polisnya
    Shurtah al-Kubra dan Shurtah al-Sughra.




    Ketika zaman Kerajaan Melayu Melaka,
    Temenggung menjalankan tugas sebagai ketua polis
    dengan dibantu oleh hulu balang. Mimbar ingin menegaskan
    bahawa tugas dan tanggungjawab mempertahankan agama dan negara
    amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.





    Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 95 bermaksud:


    “Tidaklah sama keadaan orang yang duduk

    (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman

    selain daripada orang yang keuzuran dengan orang

    yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya.
    "




    Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda
    dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk
    dengan kelebihan satu darjat.





    Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan
    dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah
    akan orang yang berjuang atas orang yang tinggal duduk
    (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur)
    dengan pahala yang amat besar.”





    Betapa pentingnya fungsi
    pasukan keselamatan di dalam Islam
    tidak dapat dinafikan, terutama apabila kita melihat
    kepada Maqassid syariah, iaitu memelihara agama, akal, keturunan,
    nyawa dan harta benda. Anggota keselamatan kita pada waktu ini
    sedikit sebanyak membantu umat Islam untuk mencapai
    kelima-lima matlamat itu.





    Pada masa yang sama, haruslah diingatkan bahawa
    kita perlu sentiasa memelihara hubungan kita dengan Allah SWT,
    iaitu Hablun min Allah,
    dan hubungan kita dengan manusia,
    iaitu Hablun min al-nas.





    Maka, bagi memastikan kedua-dua bentuk hubungan itu
    terpelihara dan dapat dilaksanakan dengan baik,
    keamanan dan kedamaian adalah diperlukan.
    Di sinilah peranan yang dimainkan oleh mereka.





    Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


    “Apabila orang ramai melihat seorang zalim,

    tetapi tidak merubah kemungkaran yang dilakukannya,

    hampir-hampir Allah SWT menimpakan mereka

    dengan balasan dari sisinya.”


    (Riwayat al-Tirmizi)





    Sebagai umat Islam yang beriman,
    kita disaran oleh Rasulullah SAW agar tidak berdiam diri
    apabila kemungkaran berlaku. Sesuatu perlu dilakukan
    untuk mencegah kemungkaran tersebut daripada terus merebak
    dan mengganggu ketenteraman kita, keluarga dan masyarakat.





    Dengan kuasa yang diberikan oleh undang-undang negara
    melalui Akta Polis 1967, pastinya masyarakat melalui pasukan polis
    yang bertugas sepanjang masa, akan dapat mencegah dan menghentikan
    kemungkaran dengan lebih berkesan.





    Namun demikian, itu tidak bermaksud kita boleh
    menyerahkan tugas berkenaan secara bulat-bulat
    kepada pasukan keselamatan semata-mata.
    Tanggungjawab mencegah kemungkaran masih berada
    di bahu kita dan kita perlu memberikan kerjasama
    dan bantuan yang sewajarnya.





    Berdasarkan Firman Allah SWT di dalam Surah al-Maidah, ayat 2 yang bermaksud:


    “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan

    untuk membuat kebajikan dan bertakwa,

    dan janganlah kamu bertolong-tolongan

    pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan serta

    bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya

    Allah maha berat azab seksa-Nya

    (bagi sesiapa Yang melanggar perintah-Nya).”





    Mengakhiri khutbah, mimbar ingin berpesan kepada semua
    anggota keselamatan dan umat Islam sekalian, sempena sambutan
    Hari Ulang Tahun PDRM ini, agar berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat
    dengan amanah mengikut ajaran Islam.










    Sumber JAKIM





    Jumaat, 16 Mac 2012

    Saidina Umar R.A





    Kata-kata Hikmat Saidina Umar R.A





    • Kebajikan yang ringan adalah menunjukkan muka berseri-seri menunjukkan kata-kata lemah lembut.









    • Barangsiapa menempatkan dirinya di tempat yg menimbulkan persangkaan maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk padanya.





    • Tidak ada ertinya Islam tanpa jemaah dan tidak ada ertinya jemaah tanpa pemimpin dan tidak ada ertinya pemimpin tanpa ketaatan.






    • Aku tidak pedulikan atas keadaan susah atau senangku kerana aku tidak tahu manakah diantara keduanya yang lebih baik dariku.






    • Kalau kita bermewah-mewah di dunia akan kurang ganjarannya di akhirat.






    • Apabila engkau melihat orang yang berilmu mencintai dunia, maka curigailah ia mengenai agamanya, kerana orang yang mencintai sesuatu ia akan menyibukkan diri dengan apa yang dicintainya itu.





    Kehidupan lebih bernilai jika pandai urus masa




    Kehidupan lebih bernilai

    jika pandai urus masa

    Oleh

    Wan Marzuki Wan Ramli



    BIJAK pandai ada menyatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui bahawa emas adalah sesuatu yang begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan juga membanggakan diri.









    Melihat pada mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar dan usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya sama sekali tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit, kerana masa tidak boleh ditukar ganti atau boleh dibeli dan dikembali jika ia sudah berlalu.









    Hukama’ pula mengibaratkan masa sebagai pedang. Sekiranya kita manusia tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita, yakni kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara bermanfaat.
    Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa sudah tentu memainkan peranan penting kerana setiap saat yang dilalui, akan ada tugasan dan urusan yang harus diselesaikan mengikut kerjaya masing-masing.









    Majikan umpamanya akan menilai keberkesanan tugasan pekerjanya dengan memperuntukkan tempoh dan waktu tertentu untuk mereka menyiapkan sebarang tugasan, apabila ia dapat disiapkan pada masa dan tempoh seperti yang telah ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati betapa pentingnya mengikut ketetapan masa.









    Islam mengajar manusia cara dan kaedah menjaga dan mengurus masa dengan baik dan berkesan mengikut kehendak syariat. Di antara kaedahnya ialah:









    * Membuat perancangan teliti - Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu sama ada masa harian, mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya. Justeru itu, penjadualan adalah sesuatu yang mustahak.









    Jadual hendaklah disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran masa. Tempoh penyiapan masa sesuatu kerja hendaklah ditetapkan tempoh tertentu bagi menentukan proses penyiapannya, untuk mengelakkan ia menjadi kerja tertangguh dan tidak sistematik.










    Nabi Allah Ibrahim sendiri umpamanya menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian sebagaimana berikut:


    • Waktu untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah.

    • Waktu untuk bermuhasabah mengenai diri sendiri.

    • Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah.

    • Waktu untuk keperluan hidupnya seperti makan dan minum.








    * Sentiasa menepati masa – Sebagai umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara, maka hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa sebagaimana ditetapkan untuk mengelak daripada timbulnya hal negatif yang lain akibat daripada kecuaian kita mematuhi ketepatan masa. Sebuah kata-kata hikmat menyatakan: ‘Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok’.










    * Jangan membazir masa – Orang yang benar-benar menghargai masa sentiasa memenuhi masa hidupnya dengan melakukan perkara bermanfaat untuk dirinya dan orang lain dengan mengelakkan diri daripada terbabit dengan pekerjaan makruh, apatah lagi yang haram dan maksiat.










    * Menjaga kualiti masa – Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza-beza mengikut keupayaan, persepsi dan kemampuannya mengisi masa dalam kehidupan seharian. Namun begitu Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin.










    Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud:









    ‘Rebutlah

    lima perkara sebelum

    datang lima perkara,


    iaitu masa sihatmu sebelum sakit,

    masa lapangmu sebelum sibuk,

    masa mudamu sebelum tua,

    masa senangmu sebelum susah

    dan

    masa hidupmu sebelum mati.’










    * Berlumba-lumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Berdasarkan hadis di atas juga maka manusia amat dituntut untuk menghasilkan sesuatu bermutu apabila sudah nekad melakukan sesuatu tugasan pada masa hidup, senang, sihat dan dalam usia muda dengan tenaga yang masih kuat, maka berusahalah untuk menghasilkan sesuatu natijah atau hasil yang benar-benar mampu untuk dibangga oleh orang lain.










    Firman Allah dalam surah al-Maidah bermaksud:







    ‘Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.’







    Rasulullah SAW pula bersabda:








    ‘Sesungguhnya

    Allah kasih kepada seseorang

    di antara kamu apabila bekerja

    sentiasa meningkatkan mutu kerjayanya.’












    * Beristiqamah dalam melakukan kerja – Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan untuk melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri atau dengan arahan dan menganggap apa yang sedang dilakukan itu adalah ibadat kepada Allah Taala.









    Firman Allah dalam surah al-Syirhi bermaksud:







    “Maka apabila kamu selesai (daripada sesuatu urusan),

    kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) lain.

    Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaknya kamu berharap.”










    * Martabat manusia dinilai dengan masa – sabda Rasulullah SAW:








    “Sebaik-baik manusia

    yang panjang umurnya

    dan

    baik pula pekerjaannya,

    manakala sejahat-jahat manusia ialah

    yang panjang umurnya

    tetapi

    buruk pula amalannya”.









    Lupa mati, sibuk kejar tuntutan dunia




    Khutbah Jumaat:



    Lupa mati, sibuk kejar tuntutan dunia




    Alam barzakh beri kerehatan

    bagi golongan beramal salilh, takwa








    SEBAGAI orang Islam yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, kita mempercayai bahawa kehidupan, kematian dan kehidupan selepas mati adalah peringkat kewujudan yang wajib dilalui manusia. Dalam peringkat kehidupan kita di dunia, jarang umur manusia melebihi 100 tahun, tetapi puratanya mencapai umur antara 60 hingga 80 tahun.
    Umur pendek atau panjang tidak menjadi persoalan kerana akhirnya manusia pasti mati.









    Bagaimana sihat seseorang, bagaimana megah kuasa dan kaya, namun manusia pasti mati dan meninggalkan dunia fana ini. Malah Nabi dan Rasul iaitu manusia yang paling dekat dengan Tuhan, bahkan manusia menjadi kekasih Allah SWT pun tidak dapat lari daripada kematian, menghadapi alam barzakh dan hari penghakiman di padang Mahsyar.











    Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 78 bermaksud:









    “Di mana saja kamu berada,

    pasti mati mendatangi kamu,

    sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai

    atau benteng yang paling kuat”.









    Setiap manusia pasti mati kerana mati bermakna manusia kembali kepada asal kejadiannya. Ia berasal daripada tanah, maka pastilah ia akan kembali menjadi tanah agar menjadi peringatan kepada manusia. Persoalan mati adalah satu kejadian paling hebat dan tidak dapat dielakkan.









    Apabila seseorang manusia itu mati, ia dikatakan kiamat kecil kerana jasadnya menjadi hancur lebur kembali menjadi tanah dan rohnya keluar daripada badan manusia. Roh menyebabkan kita hidup, boleh mendengar, melihat, berakal, merasai dan berfikir.










    Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah oleh Abu Bakr al-Razi, Barzakh bermaksud ‘dinding penghalang antara dua benda’. Berdasarkan iktikad al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada dalam satu alam yang dinamakan alam Barzakh.










    Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat sebelum dihimpunkan di padang Mahsyar mulai waktu mati sehingga dibangkitkan. Alam Barzakh juga tempat permulaan manusia dihukum segala amalannya di dunia.









    Sebagaimana kesukaran manusia menghadapi keperitan saat nazak kematian, maka jenazah juga sekali lagi menghadapi kesukaran seksaan kubur di alam barzakh. Sebaik saja ahli keluarga dan sahabat handai selesai mengebumikan dan dalam perjalanan pulang ke rumah maka dalam suasana yang gelap gelita dua malaikat iaitu Munkar dan Nakir datang menghampiri dan mendudukkan jenazah.










    Bagi jenazah yang beriman dan berbekalkan amal salih serta ketakwaan yang unggul maka alam barzakh adalah satu kerehatan yang damai. Tetapi bagi jenazah yang ingkar, sarat dengan beban dosa kerana melanggar perintah Allah SWT, maka alam barzakh adalah episod ngeri yang dipenuhi gelombang azab sengsara hingga datangnya hari kiamat. Mereka berkeadaan seperti orang yang lemas dalam air yang meraung meminta pertolongan.











    Rasulullah SAW bersabda bermaksud:










    “Sesungguhnya

    kubur itu ialah penginapan pertama

    antara penginapan akhirat,

    maka sekiranya seseorang itu

    terlepas daripada seksaannya,

    maka apa yang akan datang kemudiannya

    lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu

    tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya),

    maka yang datang sesudahnya lebih sukar (keras).”





    (Riwayat al-Tirmizi).










    Sahabat Nabi bernama Ubaid bin Umair al-Laitsi pernah berkata,









    “Setiap mayat yang hendak meninggal,

    pasti liang lahad di mana mayat itu di kubur memanggilnya,

    “Akulah rumah yang gelap gelita, sunyi dan sendiri.

    Jika waktu hidupmu kau taat kepada Allah SWT

    maka aku hari ini akan menjadi rahmat bagimu.

    Jika kau derhaka, maka hari ini aku akan

    menjadi seksa bagimu.

    Sesiapa memasukinya dengan taat,

    akan keluar dengan bahagia.

    Dan sesiapa masuk dengan derhaka,

    dia akan keluar dengan penuh penyesalan.”










    Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang akan berakhir di alam kubur. Seorang ulama al-Rifa’i pernah berkata:









    “Setiap orang yang takut

    pada sesuatu pasti akan menghindarinya,

    kecuali alam kubur.

    Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya


    melainkan dia akan datang kepadanya.


    Dia selalu menunggumu tanpa jemu,

    dan apabila engkau masuk ke dalamnya,

    engkau tidak akan kembali buat selama-lamanya.
    "









    Renungilah nasib saudaramu yang kini dikuburkan, dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya tertanggal, dulu lidahnya fasih bertutur, kini cacing tanah memakan mulutnya. Dulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”










    Khalifah Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang rakannya di dalam satu majlis,









    “Wahai fulan,

    engkau melepasi satu malam,

    adakah pernah kau terfikir

    mengenai alam kubur dan penghuninya?

    Sekiranya kau tahu keadaan

    sebenarnya dalam kubur,

    pasti kau tak akan berani mendekatinya.”










    Ketika Khalifah Umar mengiringi jenazah sahabatnya lalu kubur memanggilnya dan bertanya,










    “Wahai Umar bin Abdul Aziz,

    mahukah aku ceritakan kepadamu

    apakah yang akan aku lakukan

    terhadap jenazah yang kau cintai ini?

    Ya jawab Umar.


    Kubur itu menjawab:

    “Aku akan bakar kain kapannya,

    aku robek badannya,

    aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.

    Mahukah engkau tahu

    apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya?”

    Tentu jawab Umar.

    “Aku cabut satu persatu

    dari telapak hingga ke tangan,

    dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu.

    Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya,

    peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis.

    Dari betis menuju ke telapak kakinya.”


    Khalifah Umar menangis dan berkata:

    “Ketahuilah sahabatku,

    umur dunia hanya sedikit.


    Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan.

    Yang muda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati.


    Celakalah mereka yang tertipu olehnya.

    Celakalah aku dan bagaimana keadaanku

    ketika bertemu malaikat maut,

    saat rohku meninggalkan dunia?

    Keputusan apakah yang diturunkan oleh Tuhanku.”










    Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian bahawa pada akhir zaman ini, semakin kurang atau amat sedikit daripada kalangan manusia yang bercakap soal kematian, alam Barzakh dan Mahsyar, kerana manusia sedang sibuk dengan pembangunan kerjaya, kemewahan dan kelazatan kehidupan dunia serta hiburan. Akhirnya mereka terkejut besar apabila malaikat Izrail datang dan mencabut nyawanya.







    Khutbah Jumaat ini dipetik daripada laman web

    Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)









    Khamis, 15 Mac 2012

    Mutiara Hadis





    Dari Umar Ibnul-
    Khattab r.a, katanya :
    Sedang kami duduk di dalam majlis bersama Rasulullah SAW
    pada suatu hari, tiba-tiba mucul di dalam majlis itu seorang laki-laki
    yang berpakaian serba putih, berrambut terlalu hitam,
    tiada kesan bahawa ia seorang musafir,
    dan tiada antara kami yang mengenalinya, lalu duduk ia bersama
    Rasulullah SAW, dan ditemukan kedua lututnya
    dengan kedua lutut Rasulullah SAW
    serta diletakkan kedua tapak tangannya ke atas
    kedua paha Rasulullah SAW, lalu berkata :






    Si pemuda : Khabarkan aku tentang Islam ?




    Rasulullah
    : Islam, iaitu hendaklah mengucap syahadat - bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Ta'ala dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, dan hendaklah bersembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berdaya ke sana.




    Si pemuda
    : Benar katamu.




    ( Berkata Umar r.a : Kami merasa hairan kepada tingkah laku s ipemuda itu, dia yang bertanya dan dia pula yang mengiyakannya )




    Si pemuda
    : Khabarkanlah kepadaku tentang Iman ?




    Rasulullah
    : Hendaklah engkau beriman kepada Allah, Malaikat-MalaikatNya, Kitab-KitabNya, Rasul-RasulNya, Hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baikNya atau yang burukNya.




    Si pemuda
    : Benar katamu ! Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan ?




    Rasulullah
    : Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau.




    Si pemuda
    : Khabarkan padaku tentang hari kiamat ?.





    Rasulullah
    : Tiadalah orang yang ditanya itu lebih mengetahui dari orang yang bertanya.




    Si pemuda
    : Khabarkan padaku tentang tanda-tandanya ?




    Rasulullah
    : Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri ; Apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam, tidak berpakaian, pengembala kambing ( berbangga ) membina bangunan yang tinggi-tinggi.
    ( Kemudian beredar keluar sipemuda itu dari majlis tersebut ) :





    Rasulullah
    : Tahukan anda wahai Umar siapakah pemuda yang menyoal kau tadi ?




    Umar Al-Khattab
    : Allah dan RasulNya jua yang mengetahui.




    Rasulullah
    : Itulah Jibril a.s yang telah mendatangi aku untuk mengajarkan kamu pelajaran agama kamu.









    Hadis empat puluh adalah koleksi hadis-hadis

    yang disusun oleh Imam Nawawi di dalam kitab karangannya

    yang bernama
    Matan Arba'in.






    Terdapat sebanyak empat puluh dua buah hadis

    sabda junjungan Nabi Muhammad SAW

    yang membicarakan mengenai akidah dan tauhid di dalam Islam.







    Pentingnya karya Imam Nawawi ini

    sehingga Ibnu Hajar mengarang sebuah kitab

    bernama
    Fathul Mubin Li-Syarhil Arba'in

    yang mengupas dan mebincangkan hadis-hadis

    himpunan Imam Nawawi.











    Selasa, 13 Mac 2012

    Prasangka buruk makan diri




    Prasangka buruk makan diri







    HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka

    fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita.

    Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan

    dan pelbagai tindak-tanduk.



    Jika baik hati mereka,

    maka baiklah cakap mereka,

    baiklah layanan dan sangkaan mereka.

    Tetapi jika hati kotor,

    apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam

    yang bersarang di hati itu.




    Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang

    bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai

    kuasa melakukannya.




    Yang paling

    mengetahui apa yang ada

    dalam hati kita ialah Allah.

    Dialah yang menilai kebaikan kita,

    memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.






    Manusia

    memang suka bersangka-sangka.

    Apa lagi sangkaan yang buruk.

    Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.






    Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir.

    Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki

    akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata

    perempuan itu memakai susuk.






    Demikian juga

    apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai.

    Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong.






    Memang manusia punya hak untuk bersangka.

    Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung.

    Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni,

    disenangi dan mudah mendapat kawan.






    Jika sangkaan itu buruk,

    jiwa pastinya akan sengsara.

    Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik.

    Pendek kata semua tidak kena.






    Sebab

    semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir,

    sedangkan diri sendiri tidak difikirkan.

    Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan

    tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya

    manakala orang muda dengan kehangatannya.






    Jika kita hendak layan

    semua sangka buruk orang dan semua hati

    kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita.






    Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim

    dengan anaknya yang menaiki seekor keldai.

    Dalam perjalanan orang kata:




    “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.”



    Selepas itu,

    Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah.

    Orang kata juga:



    “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.”




    Kemudian mereka bertukar posisi lain pula,

    anak naik keldai manakala Luqman pula

    yang tarik dari bawah.






    Orang mengata juga,

    anak macam itu buat ayahnya macam hamba.

    Justeru, cara terbaik ialah

    merawat kembali penyakit buruk sangka.






    Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri.

    Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati

    daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah).






    Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita.

    Adakah kawan kita itu mendorong ke arah

    kebaikan atau keburukan?






    Jika kita

    dapat menewaskan nafsu jahat

    dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup

    pasti berpihak kepada diri kita.






    Proses berubah jadi baik mungkin

    tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal

    sudah bertekad dan ada kesungguhan,

    Allah pasti permudahkan jalannya.





    Ruang untuk perbaiki diri

    sentiasa ada dan terbuka.

    Justeru, tepuk dada tanya diri.

    Mahu berubah atau tidak?







    Beberapa cadangan diutarakan, antaranya:



  • Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif.



  • Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk.



  • Sucikan hati dengan banyakkan berzikir.


  • Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.




  • Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.






  • Sumber


    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...