:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Rabu, 13 Januari 2010

Switzerland, menara dan umat Islam


Masjid terbesar di Geneva

Dunia digemparkan dengan undian 57 peratus rakyat Switzerland menyokong referendum mengharamkan pembinaan menara masjid, awal Disember lalu.

Profesor Hal Ehwal Antarabangsa dan Pengajian Islam di Universiti Georgetown Amerika Syarikat, John Espositoparti berkata, yang menganjurkan referendum itu sebenarnya enggan menerima realiti abad 21 bahawa masyarakat Muslim telah melalui proses integrasi dalam masyarakat Eropah dan Islam sekarang adalah agama bagi negara Eropah bahkan agama kedua terbesar di kebanyakan negara Eropah.

Menurut beliau yang juga Pengarah Prince Alwaleed Bin Talal Center for Muslim-Christian Understanding di universiti yang sama, kebanyakan pemimpin Islam dan Kristian di seluruh dunia, majoriti pimpinan politik Eropah dan pakar hak asasi manusia mengutuk pengharaman tersebut.

Malah, Vatican juga mengecam perbuatan tersebut atas dasar melanggar kebebasan beragama.

Isu ini menguatkan lagi naluri saya menziarahi bumi Switzerland bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang isu ini. Di samping itu, bertanya khabar dan membina jaringan persahabatan Islam bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) khususnya.

"Sebenarnya isu menara tidak memberikan kesan pun kepada masjid dan umat Islam", kata salah seorang umat Islam di Geneva kepada saya.

"Umat Islam akan terus beramal di masjid kerana menara tak penting, yang penting pengisian dalam masjid. Masjid zaman Nabi SAW pun hanya beratapkan pelepah tamar dan berlantaikan tanah", tambah beliau lagi.

"Betul tu! Walaupun begitu keadaan masjid zaman Nabi SAW, tetapi ia telah mengeluarkan gergasi-gergasi yang telah berjaya merubah dunia!" tambah saya pula bagi merancakkan perbualan.

Bagi saya, pengharaman menara ini amat memalukan imej Switzerland sebagai sebahagian negara yang digelar Enlightened Liberal Europe yang juga menempatkan ratusan pejabat pertubuhan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan lain-lain.

Dengan penggunaan tiga bahasa di Switzerland iaitu Perancis, Jerman dan Itali menggambarkan keliberalan negara tersebut. Ia sepatutnya menjadikan negara itu lebih terbuka dalam menerima Islam sebagai sebahagian agama penting untuk Switzerland dan yang paling penting membenarkan kebebasan beragama untuk umat Islam.

Isu pengharaman menara tidak penting tetapi yang penting maksud tersirat di sebalik pengharaman tersebut.

Sebab itulah Profesor Dr. Tariq Ramadhan yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini, mempersoalkan bahawa di Switzerland hanya ada empat menara masjid. Jadi mengapa inisiatif referendum ini harus dilancarkan?

Beliau menjelaskan isu menara ini dijadikan alasan permulaan menggerakkan kempen Islamofobia.

Katanya, pihak yang menggerakkan referendum tersebut gagal menyedari Islam sekarang sebagai agama untuk orang Eropah dan umat Islam sudah berjaya diintegrasikan dalam komuniti Eropah.

Namun dalam masa yang sama, Tariq turut menyalahkan umat Islam kerana gagal memainkan peranan proaktif dalam memperjuangkan isu hak asasi umat Islam Switzerland melalui pendekatan dialog, kerjasama dan tindakan berhemah dengan sebahagian masyarakat bukan Islam Switzerland.

Selain mendapatkan gambaran sebenarnya isu menara ini, saya turut mengunjungi masjid terbesar di Geneva di bawah kendalian Yayasan Kebudayaan Islam Geneva (www.mosque.ch).

Yayasan ini ditubuhkan pada tahun 1978 dan masjid boleh menampung seramai 1,500 jemaah dalam satu masa.

Selepas solat Jumaat bersama sebahagian umat Islam Geneva yang berjumlah hampir 40,000 dan 500,000 di seluruh Switzerland saya bertemu imam masjid iaitu Sheikh Rashid Farhat untuk memulakan perkenalan, membina jaringan dan bertukar-tukar kad.

Saya tidak sempat berbual lama dengan beliau kerana terlalu ramai jemaah yang berhajat berurusan dengan beliau. Apa yang mengagumkan saya ialah apabila masjid penuh sesak dengan jemaah yang berpusu-pusu ingin mendirikan solat Jumaat dan mendengar khutbah.

Saya sendiri terpaksa solat dalam keadaan rapat ketika solat Jumaat namun saya rasa seronok kerana sentuhan ukhuwah mengalir dalam tubuh saya sebagai tanda indahnya jalinan persaudaraan walaupun tidak mengenali antara satu sama lain.

Misi seterusnya di bumi yang terkenal dengan produk jam berjenama seperti Swatch, Tag Heuer, IWC, Raymond Weil dan Rolex adalah menjejaki Pusat Islam Geneva (www.cige.org) kendalian Dr. Hani Ramadhan iaitu abang Tariq.

Pusat Islam ini antara yang tertua di Switzerland dan diasaskan sekitar 1950-an oleh Sheikh Said Ramadhan yang juga bapa Hani dan Tariq.

Sheikh Said Ramadan juga merupakan anak kepada pengasas dan pemimpin gerakan Islam terkenal di Mesir Ikhwanul Muslim iaitu Imam Hasan al Banna.

Setelah puas berjalan dan mencari akhirnya saya menemuinya di 104, rue des Eaux-Vives 1207. Sebuah bangunan lama diapit oleh bangunan-bangunan besar. Namun ia tidak menenggelamkan fungsi sebenarnya untuk menyebarkan mesej ajaran Islam kepada masyarakat Switzerland.

Sekali lagi saya sempat bersolat jemaah di situ dan berbual dengan imam mudanya iaitu Sheikh Said. Apa yang menggembirakan saya ialah sebahagian besar jemaah solat di situ terdiri daripada generasi muda. Ini satu petanda baik untuk perkembangan umat Islam di sini.

Generasi muda inilah yang akan dan sedang menjadi sandaran untuk meneruskan perjuangan umat Islam di tengah-tengah bandar Geneva yang dianggap bandar paling tinggi kos sara hidup selain Moscow, London dan Tokyo.

Sesungguhnya perjuangan umat Islam Switzerland masih lagi jauh dan berliku. Mereka harus tabah dan berani kehadapan mempertahankan hak mereka secara konsisten.

Namun peranan kita selaku saudara seakidah adalah mengiringi perjuangan mereka dengan doa dalam setiap munajat kita seperti yang diajar oleh para alim ulama.

"Ya Allah ampunkan dosa umat Nabi Muhammad, ya Allah selamatkanlah umat Nabi Muhammad dan jadikanlah aku sebahagian daripada umat Muhammad SAW". Amin.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...