Pertama, kaum yang sedang
bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah)
yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku
berulang-ulang. Jibrail memberitahu: “Itulah kaum yang berjihad fisabilillah
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.” Perintah jihad hanya akan dilaksanakan oleh mereka
yang menunaikan solat kerana keyakinan terhadap perintah Allah SWT datang
daripada solat yang dilaksanakan.
Keteguhan iman
Kedua, tempat berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: “Itulah bau
kubur Mashitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya
(termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh
oleh Firaun kerana tetap dan teguh beriman kepada Allah SWT.
Ketiga, sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali
dipecahkan, kepala mereka sembuh semula, lalu dipecahkan pula. Demikian
dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: “Itulah orang yang
berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Memang ada dalam kalangan kita
yang berasakan bahawa kewajipan solat adalah umpama satu bebanan dan gangguan
terhadap urusan seharian.”
Oleh sebab itulah mereka mendapat balasan sedemikian kerana mengabaikan
kewajipan ini.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Mohonlah pertolongan dengan sabar
dan bersolat kerana solat itu amat berat
untuk dikerjakan melainkan orang yang
khusyuk (benar-benar ikhlas dan beristiqamah).”
(Surah al Baqarah ayat 45)
Keempat, sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur)
dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan
bara api dan batu daripada neraka Jahanam. Kata Jibrail: “Itulah orang yang
tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
Solat sempurna jika tunai zakat
Zakat dan solat diumpamakan seperti isi dan kuku kerana kesempurnaan solat
mestilah dicernakan dengan menafkahkan harta ke jalan Allah SWT. Banyak ayat
yang mengaitkan antara solat dan zakat. Antaranya, firman Allah SWT bermaksud:
“Mereka yang menunaikan solat
dan menafkahkan harta mereka
(sedekah dan
zakat).”
(Surah al-Anfal ayat 3)
Kelima, golongan lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah dan busuk,
sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan
yang melakukan zina, sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri/suami.”
Kemungkaran ini adalah kesan daripada mengabaikan solat yang juga benteng
kepada kemaksiatan. Generasi yang mengabaikan solat dianggap musnah dan gagal
dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Kemudian
datanglah generasi
yang mengabaikan solat dan mereka
akan kekal binasa berada
dalam kesesatan.”
(Surah Maryam ayat 59)
Keenam, lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata
Jibrail: “Itulah orang yang makan riba.”
Darah yang menjadi simbolik kepada memakan hasil titik peluh orang lain dan
digambarkan penghinaan dengan lontaran batu. Darah adalah simbol kezaliman yang
dahsyat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap orang yang memakan
riba.
Firman Allah SWT bermaksud :
“Jika kamu tidak meninggalkan riba,
maka kamu
mengumumkan
peperangan terhadap
Allah SWT dan Rasulnya.”
(Surah al Baqarah ayat
279)
Ketujuh, lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya,
tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tidak dapat
menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
Kelapan, satu golongan yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan
gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka
kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan
mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang yang beriman,
kenapa kamu tidak
kotakan
apa yang kamu ucapkan?
Allah SWT sangat benci
kepada mereka yang tidak
mengotakan apa yang diucap.”
(Surah Ash Shaff ayat 2 dan 3)
Kesembilan, kaum yang mencakar muka dan dada dengan kuku tembaga mereka. Kata
Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan
maruah (mencela, menghinakan) orang.” Jabir dan Abu Sa’id menceritakan bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana
mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia
bertaubat, maka Allah SWT menerima taubatnya dan sesungguhnya seseorang yang
mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang
diumpat.”
(Hadis riwayat Ibn Abid Dunya)
Manusia sombong disisih
Kesepuluh, seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak
dapat masuk semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar
(takbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.” Sifat sombong atau takbur
juga sebenarnya menyebabkan seseorang itu akan disisihkan oleh Allah SWT di
dunia seperti firman-Nya yang bermaksud: “Nanti Aku palingkan daripada
ayat-ayat-Ku orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran.”
(Surah Al-A'raf
ayat 146)
Kesebelas, seorang perempuan dengan dulang yang penuh pelbagai perhiasan.
Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: “Itulah dunia. Jika Rasulullah
memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia
daripada akhirat.”
Ini menunjukkan bahawa kaum wanita berpotensi terhadap kecenderungan dunia
sehingga terkadang dapat merosakkan kaum lain dengan pelbagai propaganda. Orang
yang menunaikan solat akan menganggap dunia sebagai jambatan untuk ke akhirat.
Dia tidak akan kecewa jika tidak mendapat habuan dunia kerana matlamat hidupnya
adalah hari akhirat.
Kedua belas, seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail:
“Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.” Rasulullah SAW
menyimpulkan dalam dua kalimat iaitu: “Manusia paling baik ialah yang panjang
umurnya dan baik amalnya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan
buruk amalnya.”
Ketiga belas, seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua
dan menanti saat hari kiamat.”
Gegaran dan bencana pada hari ini adalah disebabkan keuzuran dunia yang tidak
disedari. Tanda dunia sudah tua dapat dirasakan dengan tanda kecil kiamat yang
digambarkan oleh Baginda SAW.
Sabda Baginda SAW:
“Antara masa aku dibangkitkan
dan hari kiamat amatlah
hampir.
Lalu baginda SAW mengisyaratkan
kedua-dua jari tengah dan telunjuk.”
Isyarat kedua-dua jari Baginda SAW menunjukkan betapa dekatnya kita dengan hari
kiamat.
Maka, solat akan mengingatkan kita pada hari akhirat dengan bermunajat dan
berdoa. Hasilnya, hati kita akan terus cenderung kepada kebaikan yang
menyelamatkan kita di akhirat. Orang yang takut kepada Pencipta-Nya dan
menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan
disampaikan oleh Rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat yang
difardukan.
Penulis ialah
Eksekutif Agama The New Straits Times
Press (M) Bhd
Sumber
Cuci Mata ..layan gambar masjid :)