Mengambil berkat orang balik haji
AMBIL berkat orang balik haji." Benarkah para jemaah haji yang mula pulang ke tanah air ada membawa berkat? Berkat dari Tanah Suci Mekah al Mukaramah?
Bagaimanakah yang dikatakan mengambil berkat dari ahli keluarga, saudara mara dan handai taulan yang baru pulang dari haji itu?
Adakah dengan sekadar minum air zamzam sebagai buah tangan dari Tanah Suci itu dikatakan mengambil berkat? Adakah para jemaah haji yang baru pulang itu layak diambil berkat daripada mereka?
Pelbagai persoalan timbul dengan istilah mengambil berkat dari para jemaah yang pulang dari mengerjakan ibadat haji itu.
Namun, bagaimana sebenarnya kita atau Islam itu melihat fenomena mengambil berkat tersebut supaya tidak terjebak dengan sebarang fenomena yang boleh membawa kepada kesesatan dan khurafa?
Umumnya, berkat atau barakah adalah memohon restu Allah SWT agar dikurniakan kebaikan yang berkembang, kesejahteraan berpanjangan, kesihatan yang berkekalan sehinggalah berjaya dalam pekerjaan, soal jodoh dan sebagainya.
Barakah ini adalah dengan keizinan Allah. Jika seseorang itu memohon Allah agar memberkati rezekinya, maka jika Allah kehendaki, Dia akan memberi barakah kepada seseorang itu.
Permohonan berkat ada disebutkan dalam al Quran. Ini sebagaimana kata-kata Nabi Allah Isa a.s dalam firman Allah: Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada. (al-Maryam: 31).
Maka Allah adalah al-Mubaarik, pemberi restu atau barakah dan hamba-hamba-Nya adalah al-Mubaarak yang bermakna seseorang yang diberkati sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.
Sifat memberi barakah hanyalah milik Allah, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maha Suci Allah Yang Mencipta dan Mentadbirkan sekelian alam. (al-A'raaf: 54)
Barakah Allah adalah di mana-mana sahaja Dia letakkan di alam maya ini, firman-Nya yang bermaksud: Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang banyak faedahnya (keberkatannya). (Qaaf: 9)
Apatah lagi dari Tanah Suci Mekah dan Madinah di mana tidak semua umat Islam berpeluang dan mampu ke sana!
Bekas Pengurus Besar Kanan Haji, Lembaga Tabung Haji (LTH), Datuk Dr. Azmi Ahmad berkata, jemaah haji adalah tetamu Allah yang Allah pilih menjejakkan kaki di Tanah Suci Mekah dan Madinah, melihat rumah Allah, Baitullil Haram, bangunan tertua di dunia yang penuh dengan keberkatan dan menziarahi makam Rasulullah dan para sahabat.
Maka, katanya, apabila mereka pulang dengan haji yang mabrur, bermakna tiada balasan yang lain dijanjikan oleh Allah kecuali syurga.
"Apabila dijanjikan syurga bermakna para jemaah yang pulang ini adalah bakal penghuni syurga. Jadi, ambil berkat dan doa daripada bakal penghuni syurga adalah sangat digalakkan kerana pasti doa dari mereka akan dimakbulkan oleh Allah.
"Tetapi janganlah dek kerana hendak ambil berkat ini kita datang berbas-bas. Sanggup bertunggu tangga di lapangan terbang semata-mata untuk mendapatkan berkat daripada jemaah yang Allah janjikan sebagai penghuni syurga itu," katanya.
Sepanjang pengalaman bertugas selama 26 tahun di Tabung Haji beliau yakin setiap jemaah yang selamat pulang ke tanah air membawa pelbagai keberkatan dari Tanah Suci.
"Oleh kerana terlalu berkat, saya amat menggalakkan agar jemaah lelaki yang baru balik dari haji eloklah dilantik menjadi imam sekurang-kurangnya untuk 40 hari di masjid-masjid atau surau-surau.
"Ini kerana kita hendak mengambil berkat daripada doa mereka. Jadi kita mintalah yang balik haji ini doakan untuk jemaah masjid dan surau.
"Doakan agar anak-anak kita menjadi anak yang soleh, rumah tangga kita aman damai dan sebagainya. Insya-Allah dapatlah juga tempias-tempias berkat daripada orang yang balik haji ini," katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Namun menurut Dr. Azmi, umumnya masyarakat tidak boleh menghakimi haji seseorang itu mabrur atau tidak. Semua itu adalah dalam rahsia dan pengetahuan Allah.
"Sebab itu, jangan pula kita tidak pergi ziarah apabila mendengar kononnya haji seseorang itu ditolak.
"Walhal kita digalakkan menziarahi jemaah haji bagi pelbagai tujuan murni yang lain termasuk mengambil pengajaran dengan apa yang terjadi sepanjang di tanah suci," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan