"ILMU; DANA DI DUNIA DAN AKHIRAT"
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita mensyukuri nikmat Islam dan Iman yang telah kita kecapi selama ini dengan berusaha menambahkan ilmu dan amal serta ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah S.W.T dan memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah s.a.w serta berusaha melaksanakan segala sunnahnya, mudah-mudahan ianya akan memberikan manfaat kepada kita di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Apabila kita berusaha mencari dana di dunia ini sebelum ke akhirat, terlintas di fikiran kita untuk mencari segala keperluan yang berupa wang, harta dan kemewahan di dunia sebelum ajal menemui kita. Inilah perkara yang selalu difikirkan oleh sebahagian masyarakat kita sehinggalah kita lupa bahawa kehidupan ini sebenarnya hanya sementara untuk mencari bekalan menuju kehidupan yang hakiki di akhirat kelak.
Rasulullah s.a.w bersabda:
"Rebutlah lima perkara sebelum berlakunya lima perkara; masa mudamu sebelum tiba masa tuamu, masa sihatmu sebelum tiba masa sakitmu, masa kayamu sebelum tiba masa fakirmu, masa lapangmu sebelum tiba masa sibukmu dan masa hidupmu sebelum tiba kematianmu."
(Riwayat Al-Hakim)
Berdasarkan hadis di atas jelas menunjukkan bahawa sementara kita hidup di dunia, sewajarnya kita penuhkan diri kita dengan mencari dana berupa ilmu dan amal, bukannya mencari kemewahan dan kesenangan hidup semata-mata. Malah dengan ilmu ia menjadi pedoman hidup dan mendasari segala tindak tanduk dan amalan kita.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra' ayat 36:
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".
Ilmu dalam ertinya memahami sesuatu dengan hakikatnya. Dengan pengetahuan inilah manusia melakukan perbuatan amalnya. Jika manusia tidak memiliki ilmu dan amal, maka tiadalah dana baginya di dunia dan sia-sialah hidupnya serta mendapat kerugian di akhirat. Telah disebut dalam Matan Zubad:
"Dan bagi mereka yang beramal tanpa ilmu, amalannya akan ditolak, tidak diterima".
Saidina Ali Bin Abi Talib berkata, "Ilmu adalah pemimpin amal dan amal adalah pengikutnya." Demikian juga dengan sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang beramal tanpa ilmu maka adalah lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan" .
(Riwayat Abi Said)
Berdasarkan hujah-hujah tersebut jelaslah bahawa usaha menambah ilmu pengetahuan dan diiringi dengan amal adalah harta yang amat bernilai untuk memperoleh keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Setiap amalan akan mempunyai nilai jika berlandaskan ilmu pengetahuan, begitu juga dengan ilmu akan mempunyai nilai yang tinggi jika diiringi dengan amal. Keduanya tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia.
Pengertian amal dalam pandangan Islam adalah setiap amal soleh atau setiap perbuatan kebajikan yang diredhai oleh Allah SWT. Dengan demikian, amal menurut Islam tidak hanya terbatas pada ibadah, sebagaimana ilmu dalam Islam tidak hanya terbatas pada ilmu fikih dan hukum-hukum agama sahaja.
Ilmu ini mencakupi semua yang bermanfaat bagi manusia seperti meliputi ilmu agama, ilmu alam, ilmu sosial dan lain-lain. Ilmu-ilmu ini jika difahami dan dikembangkan dengan sebaiknya akan memberikan impak yang besar kepada peradaban dan kemajuan tamadun manusia. Misalnya, perkembangan sains dan teknologi akan memberikan kemajuan dan daya saing dalam kehidupan manusia.Demikian juga perkembangan ilmu-ilmu sosial akan memberikan penyelesaian terhadap masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat. Justeru, penghayatan ilmu dengan amalan merupakan satu perkara yang dituntut oleh Islam.
Menurut para ilmuan Islam, untuk menjadi orang bijaksana, terdapat dua hubungan ilmu dengan amal iaitu;
Pertama : Ilmu adalah pemimpin dan pembimbing amalan Perbuatan seseorang. Bertindak melakukan sesuatu tanpa didasari pengetahuan atau ilmu adalah umpama berjalan dalam kegelapan, tidak menuju ke arah tujuan yang sebenar.
Kedua : Sesungguhnya ilmu dan amal saling beriringan. Sesiapa yang berilmu maka dia hendaklah beramal, baik ilmu yang berkaitan dengan masalah ibadah mahupun ilmu-ilmu yang lain. Amal merupakan buah dari ilmu, jika ada orang yang mempunyai ilmu tapi tidak beramal maka seperti pohon yang tidak menghasilkan manfaat bagi penanamnya.
Dalam Matan Zubad juga ada dinyatakan:
"Seorang yang berilmu, tapi tidak beramal dengan ilmunya, maka dia akan diazab terlebih dahulu daripada penyembah berhala".
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Jika ilmu tidak diamalkan, maka akan memberikan kesan yang negatif dalam masyarakat. Penyakit sosial yang berlaku hari ini adalah hasil daripada kejahilan dan juga wujudnya golongan berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya. Oleh itu bagi memperbaiki dan memulihkan penyakit masyarakat yang ada bukan hanya sekadar mengajar di sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi sahaja, malah lebih penting lagi golongan berilmu hendaklah turun ke medan-medan dakwah memberi kaunseling, khidmat nasihat, bimbingan dan sebagainya secara sukarela bagi memastikan penyakit masyarakat seperti gejala sosial dan sebagainya dapat diubati. Ilmu pengetahuan juga adalah untuk disampaikan, bukan disembunyikan.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah 159:
"Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan sekalian makhluk".
Padahal, kaedah Islam menekankan bahawa ilmu sentiasa menyeru kepada amal perbuatan termasuk kerja-kerja amar ma'ruf dan nahi mungkar maka muncullah kemanisan iman hasil daripada jihad yang dipraktikkan. Namun jika tidak, maka ilmu akan tinggal ilmu di kitab-kitab, di perpustakaan dan hanya untuk kajian ilmiah semata-mata tanpa memberikan faedah yang lebih daripada itu. Jika demikian halnya tidak lebih nilai ilmu itu hanya teori sahaja namun praktikalnya kurang dan ini amat bertentangan dengan ajaran Islam itu sendiri.
Pertalian ilmu dengan amal tidak hanya dituntut kepada para pelajar agama dan para ilmuan sahaja bahkan juga dituntut kepada setiap orang, baik yang memiliki ilmu sedikit ataupun banyak. Namun, tentunya orang-orang yang berilmu memiliki tanggung jawab yang lebih besar dalam hal ini, kerana mereka memiliki kemampuan yang lebih. Allah SWT berfirman dalam surat Ash-Shaff, ayat 2-3:
"Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesutu yang kamu tidak melakukannya".
Jika kita hayati dengan mendalam ayat-ayat al-Qur'an, nescaya kita akan menemukan bahawa al-Qur'an senantiasa menggandengkan ilmu dengan amal. Oleh itu, hendaklah menjadi kewajipan orang yang menuntut ilmu itu beramal dengan ilmunya. Ia hendaklah bersungguh-sungguh menyampaikannya pula kepada segenap lapisan masyarakat dengan ikhlas dan rasa penuh tanggungjawab tanpa ada kepentingan tertentu yang hendak diraih.
Oleh yang demikian, berilah keutamaan kepada perkembangan ilmuan dan kepentingannya melalui langkah berikut;
Pertama : Berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan seperti fardhu ain yang mengandungi aqidah dan syariah sementara kita hidup di dunia.
Kedua : Memberi galakan kepada semua generasi termasuk ibubpa, anak-anak dan pemuda untuk memahami syariat Islam melalui ilmu pengetahuan. Dengan langkah itu kehidupan masyarakat Islam akan sentiasa dalam panduan dan landasan sebenar.
"Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka syurga Firdaus, sebagai tempat tinggal".
(Al-Kahfi : 107)
KHUTBAH KEDUA
Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.
Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Engkau bukakanlah hati umat Islam, khususnya di Negeri Selangor untuk melaksanakan ibadah zakat sebagaimana yang telah Engkau fardhukan di dalam Al-Quran. Berkatilah hidup orang-orang yang melaksanakan tuntutan berzakat, menyayangi fakir dan miskin, sucikanlah harta dan jiwa mereka agar mereka hidup dalam keredhaan-Mu. Kau lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.
Khutbah Jumaat Bacaan 2 Disember 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan