:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Sabtu, 31 Disember 2011

Renung wasiat Hassan al-Banna untuk mula tahun







Renung wasiat

Hassan al-Banna untuk

mula tahun baru



SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.





Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai bila-bila.





Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011 kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih berjaya.






Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:









  • Segeralah tunaikan solat pada awal waktu iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda.

    Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.

    Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.









  • Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan.

    Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

    Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.









  • Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.

    Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!









  • Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!











  • Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa! Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya.

    Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.

    Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!









  • Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.










  • Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.

    Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.










  • Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.








  • Sukakah anda makan daging? Pasti anda suka! Tapi sukakah anda makan daging kawan anda yang sudah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang mengumpat.








  • Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.









  • Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua.








  • Salam kemesraan adalah untuk sejagat.








  • Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.


  • Maksimumkan faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan.






  • Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa saudaramu, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.









  • Selamat menyambut tahun baru 2012 !









  • Jumaat, 30 Disember 2011

    Azam baik tidak perlu tunggu tahun baru untuk diterap







    Azam baik

    tidak perlu tunggu tahun baru

    untuk diterap





    ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.




    Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.
    Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah.








    " Dan syaitan bermaksud menyesatkan

    manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. "



    - (Surah an-Nisa, Ayat 60)







    Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.





    Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.





    Firman Allah bermaksud:





    “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia



    dengan sesat yang sejauh-jauhnya.”



    – (Surah an-Nisa, ayat 60)






    Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain. Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.





    Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.





    Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).





    Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.






    Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah:





    “Demi masa!

    Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian,

    kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh

    serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran

    dan berpesan-pesan dengan sabar.”

    – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)




    Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.





    Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.





    Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.





    Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.





    Sabda Rasulullah yang bermaksud:



    “Sesungguhnya orang mukmin

    apabila melakukan dosa bererti ia

    membuat noda dengan sebuah titik hitam

    di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat,

    meninggalkan perbuatannya,

    dan memohon ampun kepada Allah,

    maka hatinya jernih kembali.

    Tetapi apabila ia menambah dosanya,

    maka bertambahlah titik hitam itu hingga

    menutupi seluruh hatinya.”



    – (Hadis Riwayat Ahmad)





















    Rabu, 28 Disember 2011

    BENCI kerana ALLAH









    Ketahuilah bahawa setiap seseorang yang mencintai orang lain kerana Allah swt, tentulah ia akan membencinya kerana Allah swt juga. Misalnya ialah apabila engkau mencintai seseorang dan sebab cinta tadi ialah kerana orang tersebut taat kepada Allah swt dan oleh sebab itu tentulah ia dicintai oleh Allah swt.









    Maka andaikata orang ini melakukan maksiat kepada Allah swt, sudah pastilah engkau akan membencinya, dan ia juga dibenci oleh Allah swt sebab kemaksiatan yang dilakukannya. Jadi, seseorang yang cinta mencintai kerana sesuatu sebab, tentunya akan benci membenci kerana sebab yang berlawanan.












    Menampakkan kebencian itu adakalanya dengan menahan lisan yakni tidak bercakap-cakap atau berbicara, ataupun dengan jalan tidak merapati hubungannya lagi, bahkan adakalanya dengan menjauhinya sama sekali. Mungkin juga dengan cara menyedikitkan atau mengurangkan perhatian kepadanya, atau menganggapnya ringan atau kurang berguna, malahan apabila dirasa perlu dengan cara berkeras kepadanya, baik dengan ucapan atau tindakan. Terpulanglah untuk memilih cara mana yang terbaik, sesuai dengan kecil atau besarnya tahap kefasikan atau kemaksiatan yang dilakukan oleh orang tadi.











    Namun demikian perlulah diingatkan bahawa setiap manusia kadang-kadang tergelincir, sehingga tanpa disedarinya melakukan sesuatu kesalahan. Sekiranya orang itu dianggapnya terkeliru dan telah menyesal akan kesalahannya, serta tidak mengekalkan kesalahannya itu, tentulah ia akan dapat mencari jalan untuk memperbaikinya. Dalam perkara yang demikian ini hendaklah ia menutup keburukannya.









    Sumber :

    Intipati Ihya' Ulumuddin

    Pengajaran Bagi Orang-Orang Mukmin

    Imam Al-Ghazali

    Oleh :

    Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasaimi Ad-Dimasqi

    CINTA kerana ALLAH











    CINTA yang hakiki yang didasarkan kerana Allah ialah apabila seseorang itu tidak mencintai orang lain kerana peribadi (zat) seseorang itu, tetapi semata-mata kerana kebaikan yang akan diperolehinya di akhirat kelak dari sahabatnya itu. Misalnya, seseorang yang mencintai gurunya sebab dengan guru itu ia memperolehi ilmu pengetahuan serta memperbaiki amalannya, dan tujuan utamanya ialah dengan ilmu pengetahuan dan amalan yang dilakukannya itu dapat memberi kebaikan kepadanya di akhirat nanti. Orang yang sedemikian inilah termasuk dalam golongan para pencinta yang bertujuan mencari keredhaan Allah swt.
















    Demikian pula seseorang yang mencintai muridnya, sebab kepada muridnya itulah ia dapat mencurahkan ilmu pengetahuannya dan dengan perantaraan murid itu pula ia memperolehi darjat atau tahap sebagai pengajar atau guru. Guru yang sebeginilah yang disebut mencintai orang lain untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.















    Bahkan seseorang yang suka menyedekahkan hartanya kerana Allah bukan untuk menunjuk-nunjuk dan riak, suka menjemput para tetamu lalu menjamu mereka dengan berbagai makanan yang lazat-lazat serta yang aneh masakannya yang dilakukan semata-mata kerana untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ia suka kepada tukang masak yang pandai kerana teliti dan baik cara masakannya, maka orang itupun termasuk dalam golongan pencinta untuk mencari keredhaan Allah swt.















    Selain itu, termasuk juga dalam golongan ini orang yang mencintai seseorang yang suka menyampaikan sedekah atau zakatnya kepada orang-orang yang berhak menerimanya. Ia mencintainya kerana Allah swt. Demikian pula seseorang yang mencintai pembantunya yang membantu dirinya untuk mencuci pakaian atau membersihkan lantai rumah atau memasak makanannya, kemudian dengan demikian itu ia dapat mencurahkan ilmu pengetahuan serta amal solehnya, dan maksudnya menggunakan pembantu untuk menjalankan tugas-tugas tadi adalah untuk terus menerus dapat beribadat, itu juga termasuk dalam golongan orang yang mencintai kerana Allah swt.

















    Sementara itu, seseorang yang mencintai orang yang memberi nafkah dari hartanya dan mencukupi pakaian, makanan serta tempat tinggalnya dan juga segala keperluan yang diperlukannya dalam kehidupan dunia, dan maksudnya ialah bahawa dengan demikian itu ia dapat memusatkan perhatian dan seluruh waktunya untuk menuntut ilmu pengetahuan atau melakukan amal soleh yang dapat mendekatkan dirinya kepada Allah swt, maka orang inipun termasuk dalam golongan mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.





















    Orang-orang salaf dahulu, sebahagian diantara mereka itu ada yang segala keperluannya ditanggung dan dicukupi oleh hartawan dan mereka yang berkemampuan. Maka kedua belah pihak tadi, baik yang memberi kegembiraaan atau yang diberi kegembiraan adalah termasuk di dalam mereka yang saling cinta mencintai untuk keredhaan Allah juga.
















    Apabila seseorang itu mengahwini seorang wanita yang solehah, yang dengan demikian itu dilakukan agar dirinya terhindar dan terjaga dari godaan syaitan dan dapat menjaga agamanya dan agar dapat dikurniakan oleh Allah swt seorang anak yang soleh atau seseorang yang mencintai isterinya kerana isterinya itulah yang merupakan perantara atau alat kepada pelaksanaan hukum-hukum Islam, maka kedua-dua golongan ini juga termasuk di dalam mereka-mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.
















    Juga seseorang yang dalam hatinya ada perasaan cinta kepada Allah dan dunia, seperti seseorang yang mencintai seorang guru yang mengajarnya ilmu pengetahuan, baik ilmu agama atau lainya, lalu ia memberikannya perbelanjaan, sehingga tidak lagi memikirkan keperluan dunia, umpamanya dengan menggembirakan hatinya dengan cara memberikan sebahagian hartanya, maka orang ini pun termasuk di dalam golongan mereka yang cinta mencintai kerana Allah swt.

















    Sememangnya, syarat mencintai Allah bukan dengan tidak mencintai harta dunia, sehingga dunia ditinggalkan terus, itu tidak benar, sebab isi doa yang diperintahkan oleh para Nabi s.a.w itu mencakupi antara kepentingan dunia dan akhirat sebagaimana yang tertera dalam ayat Al-Quran :














    وِمِنْهُم مَّن يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ













    201. Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka".




    ( Surah al-Baqarah : Ayat 201 )









    Juga dalam hadis disebutkan suatu doa :


    " Ya Allah, sesungguhnya saya memohon padaMu, suatu rahmat yang dengannya itu dapatlah saya memperolehi keutamaanMu di dunia dan di akhirat. "

    (Diriwayatkan oleh Tirmidzi)



    Demikianlah erti yang sebenarnya dalam persoalan mencintai Allah dan cinta mencintai keranaNya.



    Selanjutnya perlu kita maklum, bahawa apabila kecintaan kerana Allah sudah benar-benar kuat dalam jiwa seseorang, maka itulah yang akan menimbulkan perasaan menghargai, suka menolong dan dermawan, membelanjakan segala yang dimiliki, baik jiwa, harta dan ucapan yang berupa nasihat yang baik dan terpuji.






    Perbezaan setiap manusia dalam perkara kecintaan sebagaimana yang dihuraikan di atas itu adalah bergantung kepada kesedaran dan keinsafan mereka tentang erti kecintaan pada Allah swt itu sendiri. Kadang-kadang seseorang itu akan menerima suatu ujian dalam menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan keuntungan atau bahagian untuk dirinya sendiri, bahkan kadang-kadang ia memenanginya, sehingga untuk dirinya sendiri tidak ada bahagian yang diperolehinya. Adakalanya juga bahagian itu diperolehi oleh orang yang dicintai itu kesemuanya.






    Sementara itu, ada pula cinta yang dilakukan dengan cara meninggalkan sebahagian dari haknya dan hanya sebahagian sahaja yang diambilnya, umpamanya seseorang yang dengan rela hati memberikan sebahagian dari harta miliknya kepada kekasihnya, baik separuh, satu pertiga atau satu persepuluh. Dari kadar yang diberikannya itu, dapat dinilai betapa besarnya atau betapa tinggi nilai kecintaannya, sebab tidak dapat diketahui tahap kecintaannya itu melainkan dengan mengorbankan sesuatu yang dicintai.






    Seseorang yang sangat mendalam cintanya dan dengan sepenuh hati mencintai, pastilah tidak ada sesuatu benda yang masih dicintainya kecuali apa yang paling dicintainya tadi. Oleh sebab itu, tidak perlulah dirinya memiliki atau menahan apa-apa pun, asalkan yang dicintainya itu masih tetap dalam genggamannya.







    Contoh yang sedemikian ini ialah perbuatan yang dilaksanakan oleh Abu Bakar a.s Siddiq r.a. Ia telah menyerahkan seorang puterinya kepada Rasulullah saw yang sebenarnya ia adalah jantung hati dan penghiburnya. Bahkan seluruh hartanya diberikan untuk kepentingan agama.






    Oleh sebab itu, maka dapatlah diambil kesimpulan dari huraian di atas inii, bahawa seseorang yang mencintai seorang alim atau seorang ahli ibadat atau mencintai seseorang yang suka menuntut ilmu pengetahuan atau mengerjakan ibadat atau apa sahaja amalan kebaikan, maka orang tadi benar-benar dianggap mencintai kerana Allah swt dan untuk Allah swt semata-mata. Dalam perkara ini, tentulah ia memperolehi pahala dan kurniaan dari Allah swt menurut kadar yang setimpal atau tahap kekuatan cinta yang dibuktikan olehnya.







    Sumber :




    Intipati Ihya' Ulumuddin



    Pengajaran Bagi Orang-Orang Mukmin



    Imam Al-Ghazali





    Oleh :





    Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasaimi Ad-Dimasqi











    Isnin, 26 Disember 2011

    10 Muwasofat Tarbiah








    10 Muwasofat Tarbiah



    1) Aqidah Sejahtera


    Tidak menjampi kecuali dengan al-Quran yang ma’thur


    Tidak berhubung dengan jin

    Tidak meminta bantuan daripada orang yang meminta bantuan jin


    Tidak menenung nasib


    Tidak mendekati tukang tilik


    Tidak mengusap kubur


    Tidak meminta bantuan dari si mati


    Tidak bersumpah dengan selain Allah


    Tidak mempercayai adanya sial


    Mengikhlaskan amal kerana Allah


    Mengimani rukun-rukun iman

    Mensyukuri Allah swt ketika menerima nikmat


    Sentiasa sedar syaitan adalah musuh


    Menerima sepenuhnya dari Allah dan menolak sesuatu yang diturunkan selain Allah swt


    Click to view full size image


    2)Ibadah yang sahih


    Tidak menolak untuk azan


    Bersuci dengan sempurna

    Sangat menghargai solat berjemaah


    Sangat suka berjemaah di masjid


    Memperbaiki mutu solat


    Qiamullail seminggu sekali


    Menunaikan zakat


    Berpuasa wajib


    Berpuasa sunat sehari setiap bulan


    Ada niat untuk menunaikan haji


    Beriltizam dengan adab-adab tilawah


    Khusyuk ketka membaca al-Quran


    Menghafaz 1 juzuk dari al-Quran


    Berdoa pada waktu-waktu yang diutamakan


    Mengakhiri harinya dengan taubat dan istighfar


    Menjadikan setiap amalan mempunyai niat


    Menjauhi dosa-dosa besar


    Sentiasa membaca zikir pagi


    Sentiasa membaca zikir petang


    Mengingati Allah swt pada setiap situasi


    Menunaikan nazar


    Menyebarkan salam

    Menahan anggota dari perkara haram


    Beri’tikaf di bulan Ramadhan jika ada peluang


    Menggunakan sugi/siwak


    Sentiasa bersuci (berwuduk) sedaya mungkin





    3) Akhlak Yang Mantap



    Tidak takabur


    Mempunyai pendirian


    Tidak menipu

    Tidak mencaci

    Tidak mengadu domba

    Tidak mengumpat

    Tidak berdusta

    Tidak mengejek

    Tidak memperlekehkan sesuatu kumpulan

    Tidak berkawan dengann orang yang berkelakuan buruk

    Mengasihi orang yang lebih muda

    Menghormati orang yang lebih tua

    Menunaikan janji

    Menundukkan pandangan

    Menjaga rahsia

    Menutup dosa orang lain

    Cemburu terhadap isteri

    Mempunyai perasaan cemburu atas agamanya





    4) Mampu Bekerja


    Menjauhi pekerjaaan yang haram

    Menjauhi riba

    Menjauhi judi

    Menjauhi penipuan

    Menunaikan zakat

    Membuat simpanan walaupun sedikit

    Tidak menangguh-nagguhkan tugasan yang diamanahkan

    Memelihara harta awam

    Memelihara harta peribadi



    Click to view full size image



    5) Berpengetahuan luas


    Mampu membaca dan menulis dengan baik

    Membaca tafsir 1 juzuk dari al-Quran

    Memelihara hukum-hukum tilawah


    Menghafaz setengah dari hadith 40

    Menghafaz 20 hadith dari Riadhussalihin


    Mengkaji marhalah Makkah dan menguasai ciri-cirinya yang penting

    Mengenali sepuluh orang yang dijanjikan syurga

    Mengetahui hukum-hukum taharah/bersuci

    Mengetahui hukum-hukum solat

    Mengetahui hukum-hukum puasa

    Membaca sesuatu diluar bidangnya. 4 jam seminggu

    Memahirkan diri dengan wasilah-wasilah moden

    Sentiasa peka akan serangan Zionis terhadap Islam

    Mengetahui pertubuhan-pertubuhan yang menyeleweng

    Mengetahui aspek keburukan dari perancang keluarga

    Mendengar dengan baik

    Mampu memberikan pandangan

    Bersedia menerima tugas-tugas kolektif

    Tidak menerima syubahat yang dilemparkan ke atas kita







    6) Tubuh Yang Cergas



    Bersih tubuh badan


    Bersih pakaian

    Tempat tinggal yang bersih

    Beriltizam dengann sunnah (adab) makan dan minum

    Tidak berjaga malam berlebihan

    Iltizam dengann senaman 2 jam seminggu

    Bangun sebelum terbit fajar/subuh

    Mematuhi kaedah membaca dari aspek kesihatan

    Meninggalkan tabiat merokok

    Menjauhi tempat-tempat kotor

    Menjauhi tempat-tempat berpenyakit






    7) Mujahadah (Menguasai Diri)



    Menjauhi perkara-perkara haram


    Menjauhi tempat-tempat lalai yang diharamkan


    Meninggalkan tempat-tempat maksiat





    8)Teratur urusannya


    Penampilan yang elok


    Tidak mempunyai hubungan dengann pihak yang menentang Islam



    Quran_94~0.jpg




    9) Sangat Menghargai Masa


    Bangun awal


    Menggunakan masa tertentu untuk belajar



    Quran_574.jpg



    10) Bermanfaat Kepada Orang Lain



    Menunaikan hak ibu bapa

    Menyertai majlis-majlis kegembiraan

    Membantu orang-orang yang memerlukan

    Membimbing orang yang sesat

    Berkahwin dengann pasangan yang sesuai





    Dua_243.jpg



    Mencegah Kezaliman/ Keganasan








    Mencegah Kezaliman/ Keganasan



    Hadith :



    Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya::



    ” Janganlah salah seorang daripada kamu


    berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu


    dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun


    ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka


    tidak mempertahankannya.”



    Riwayat at-Tabrani







    Huraian



    i) Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan
    kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain
    atau mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain
    dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu
    terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana
    perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan
    kepada yang melakukannya.
    Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan
    peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.






    ii) Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh
    orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan
    berbanding dengan orang yang dizalimi.
    Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku
    sekiranya orang yang hendak dizalimi
    mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama.
    Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur
    dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan,
    kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.






    iii) Realiti masyarakat hari ini mengamalkan
    gaya hidup individualistik sehingga sanggup
    membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku
    di hadapan mata mereka sendiri.
    Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar
    berlaku kerana selaku anggota sesebuah
    masyarakat setiap individu mestilah bersikap
    saling mengambil berat, sayang-menyayangi
    dan belas-kasihan di antara satu sama lain.






    iv) Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya
    sangat mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T.
    Oleh itu perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan
    yang sangat merugikan kepada si pelakunya.
    Allah S.W.T boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut
    ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun.
    Malah di akhirat kelak orang-orang yang berlaku zalim
    akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan
    yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya.
    Sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan,
    maka keburukan orang-orang yang teraniaya
    akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.











    Ahad, 25 Disember 2011

    Setiap makhluk dicipta sesuai fitrah kejadian


    Persoalan Agama:

    Setiap makhluk dicipta sesuai fitrah kejadian



    Soalan:



    BENARKAH manusia makhluk paling sempurna dan mulia?

    Adakah ini bermakna makhluk lain tidak sempurna?





    RASHID,
    Seri Kembangan, Selangor.









    Jawapan:




    TIADA perselisihan dalam kalangan ulama berhubung kesempurnaan penciptaan manusia. Banyak dalil agama dapat dikemukakan untuk membuktikannya. Antaranya seperti dijelaskan dalam firman Allah bermaksud:







    “Sesungguhnya

    Kami menciptakan manusia

    dalam bentuk sebaik-baiknya.”

    (Surah at-Tin, ayat 4)





    Kesempurnaan manusia lahir apabila sempurnanya fizikal dan mental sehingga mampu melaksanakan fungsi sebagai khalifah. Allah SWT mencipta manusia dengan potensi demikian sehingga manusia adalah makhluk paling sempurna untuk tujuan ini, bahkan lebih sempurna daripada malaikat.






    Ayat ini berkaitan dengan kesempurnaan manusia dibandingkan dengan makhluk lain dan makna kesempurnaan. Tetapi jika kita lihat, ada juga ayat menyebut secara tegas mengenai kesempurnaan ciptaan Allah SWT seperti firman-Nya bermaksud:






    “(Allah) menciptakan

    segala sesuatu dengan sebaik-baiknya (sesempurna)

    penciptaan dan Dia memulai ciptaan manusia daripada tanah.”

    (Surah as-Sajdah, ayat 7)





    Kesempurnaan manusia dan makhluk lain ciptaan Allah hendaklah dilihat fungsi dan tujuan penciptaannya.






    Kesempurnaan manusia lahir apabila sempurnanya fizikal dan mental sehingga mampu melaksanakan fungsi sebagai khalifah. Allah SWT menciptakan manusia dengan potensi demikian sehingga manusia adalah makhluk paling sempurna untuk tujuan ini, bahkan lebih sempurna daripada malaikat. Iblis dicipta Allah untuk menggoda manusia adalah makhluk sempurna melebihi kesempurnaan manusia dan malaikat dalam hal menggoda dan merayu. Setiap makhluk dicipta sesuai dengan fitrah kejadian dalam bentuk sebaik-baiknya.






    Fitrah ialah unsur dan sistem Allah anugerahkan kepada setiap makhluk. Fitrah ialah apa diciptakan Allah dalam diri manusia. Ia adalah gabungan unsur tanah yang melahirkan jasmani manakala unsur rohani melahirkan akal dan jiwa.






    Kecenderungan kepada lawan jenis adalah fitrah manusia. Ingin memiliki keturunan dan cinta ialah fitrah manusia. Allah menciptakan manusia dengan beberapa gambaran fitrah di atas. Penciptaan (selain Adam, Hawa dan Isa) semuanya hingga kini berlaku melalui pertemuan sperma dan ovum.






    Perkara menarik ketika Allah mengkhabarkan penciptaan Adam, Dia menggunakan kalimah:





    “Aku menciptakan (khalaqtu)”.





    Tetapi ketika berbicara mengenai manusia, kalimah digunakan berbentuk pasif:




    “Diciptakan (khuliqa) atau Kami ciptakan (khalaqna).
    "






    Kata ‘Kami’ menunjuk kepada Tuhan biasa digunakan untuk memberitahu keterbabitan selain Tuhan dalam kerja dimaksudkan. Ini bererti ketika Allah menyatakan “Kami menciptakan manusia”, bermakna ada keterbabitan ibu dan bapa dalam proses kejadian itu.





    Keterbabitan ini tidak hanya memilih jodoh atau mempertemukan sperma dan ovum melainkan mencipta suasana psikologi serta memilih makanan tertentu bagi perkembangan janin.






    Dalam Islam dianjurkan mencipta suasana harmoni ketika mengadakan hubungan suami isteri seperti berdoa. Begitu juga ibu mengandung mesti makan makanan tertentu demi kesihatan janinnya.







    Dalam buku at-Thifl bayan al-Waratsah waat-Tarbiyah, Syaikh Taqiyuddin Falsafi mengemukakan riwayat keagamaan. Antaranya,







    “Berilah kurma kepada wanita


    pada bulan dia melahirkan kerana


    akan menjadikan anaknya berlapang dada


    dan bertakwa.”







    Makanan penting dalam pembentukan sifat janin. Cacat dan sengsara pada janin adalah yang cacat dan sengsara dalam perut ibunya. Bahagia atau sempurna janin adalah yang bahagia dan sempurna dalam perut ibunya. Justeru, kandungan ibu adalah faktor utama kesempurnaan atau cacatnya bayi. Dapat dilihat cacat fizikal dan mental bayi boleh jadi akibat daripada ibu bapanya ketika hubungan, mahupun ketika dalam kandungan. Dari sini kita dapat fahami mengapa Allah menggunakan perkataan “Kami” ketika mengkhabarkan mengenai keturunan manusia.
    Demikianlah, wallahualam.










    Sabtu, 24 Disember 2011

    10 Jarum syaitan dan 10 penawar









    10 Jarum Syaitan dan 10 penawar





    1- Tamak, rakus dan buruk sangka- Penawarnya adalah percaya dengan Janji Allah SWT dan memupuk sifat Qanaah dalam jiwa.




    2- Panjang angan-angan- Penawarnya adalah dengan menyedarkan jiwa dengan kematian yang pasti datang secara tiba-tiba dan kita tidak tahu di manakah kubur kita.




    3- Keinginan untuk beristirehat dan nikmat- Penawarnya adalah mengingati segala nikmat akan hilang sekelip mata dan akan dihisab di hadapan Allah SWT dengan amat berat.




    4- Ujub dan bangga diri- Penawarnya adalah kita tidak tahu siapakah diri kita sebenar, apakah Allah SWT menyenaraikan kita diantara mereka yang beruntung atau pun kita termasuk dalam golongan mereka yang rugi.




    5- Meremehkan kawan dan tidak menghargai mereka- Penawarnya adalah kita wajib menghormati mereka kerana Allah SWT dan Rasulullah SAW serta orang mukmin tidak pernah meremehkan sesiapa pun.




    6- Hasad dengki- Penawarnya adalah kita wajib berfahaman, sesungguhnya Allah SWT Amat Maha Adil dalam membahagi keperluan rezeki maka kita tidak boleh berdengki dengan harta yang Allah SWT telah kurniakan kepada seseorang dengan penuh keadilan.




    7- Riya’ dan pujian seseorang- Penawarnya adalah kita wajib bersifat dengan sifat Ikhlas dan tidak menerima pujian seseorang sehingga menimbulkan sifat yang boleh mensyirikkan Allah SWT kerana Allah SWT berfirman :


    “ Maka sesiapa yang mengharap

    akan bertemu dengan Allah SWT

    hendaklah beramal soleh dan tidak

    menyekutukan Allah SWT

    dengan sesuatu pun. "




    8- Sifat kikir atau bakhil- Penawarnya adalah dengan menyedarkan diri bahawa semua di tangan kita akan binasa dan akan hilang, maka hendaklah kita mengimfaqkan harta tersebut kepada Allah SWT yang tidak akan binasa dengan harapan harta atau pahala kita tidak akan binasa seperti mana binasanya semua makhluk. Allah SWT telah berfirman :


    " Apa yang ada padamu

    akan rosak binasa dan apa yang ada

    di sisi Allah SWT akan kekal. "




    9- Sifat Sombong- Penawarnya adalah sesungguhnya Allah SWT lah yang menjadikan kita dan semua yang kita miliki maka kenapa kita berbangga dihadapan Allah SWT atau di bumi Allah SWT dengan apa Allah SWT telah jadikan. Allah SWT telah berfirman :



    " Sesungguhnya kami jadikan kamu

    daripada lelaki dan perempuan dan kami jadikan

    kamu bersuku-suku serta berbangsa-bangsa

    supaya mereka kenal dan mengenali.

    Bahawa sesungguhnya

    orang yang paling mulia diantara kamu

    adalah mereka yang paling bertaqwa . "




    10- Sifat tamak- Penawarnya adalah kita tidak boleh menaruh harapan untuk mengambil sesuatu daripada tangan orang lain, tetapi wajiblah kita menaruh harapan kepada Allah SWT dengan sesuatu yang kita harapkan dan mengambilnya daripada Tangan Allah SWT , sesungguhnya Allah SWT telah berfirman :



    " Sesiapa bertawakkal kepada Allah SWT ,

    maka Allah SWT akan memberi kepada mereka

    jalan keluar dari segala kesempitan dan Allah SWT

    akan memberi rezeki kepadanya

    dari arah yang tidak disangka-sangka. "




    Kitab Tanbihul Ghafilin : Jilid 1 dan 2 m/s 967 dan 968


    Jumaat, 23 Disember 2011

    Khutbah Jumaat:: 23/12/2011



    Khutbah Jumaat:


    Masyarakat prihatin dapat


    hindari kemungkaran berleluasa



    MUTAKHIR ini hampir setiap hari dilaporkan media massa pelbagai fenomena gejala sosial melanda masyarakat negara kita.




    Perlakuan buruk ini bukan saja membabitkan remaja tetapi juga di kalangan dewasa. Antara fenomena gejala sosial yang amat membimbangkan kita seperti kes pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, kes bersekedudukan sehingga melahirkan zuriat tanpa nikah, kes dadah, arak, rogol, mencuri, pecah rumah dan sebagainya.







    Pada pemerhatian mimbar kebanyakan kes itu membabitkan masyarakat Melayu yang beragama Islam yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan besar timbul ialah kenapa ia berlaku? Adakah ia menggambarkan agama Islam itu sendiri gagal mendidik umatnya atau sikap masyarakat Islam yang tidak prihatin dan mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga ada mayat di sebelah rumah, anak kecil di dera atau jiran di rompak pun kita tidak mempedulikannya. Adakah ini ajaran Islam yang sebenar kepada umatnya?











    Mimbar berasa yakin sikap sebegini bersalahan daripada tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain seperti hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:













    “Seorang mukmin terhadap

    seorang mukmin yang lain

    seperti bangunan yang sebahagiannya

    menguatkan sebahagian yang lain.”

    (Hadis Riwayat Muslim )






    Manusia dijadikan Allah SWT seolah-olah satu badan, jika sakit satu bahagian anggota, maka anggota lain turut merasainya. Tidak beriman seseorang mukmin sekiranya mereka tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri. Alangkah ruginya sekiranya kita hanya berdoa ke hadrat Allah SWT untuk kebaikan diri kita saja sedangkan jiran dan masyarakat yang lain di biar dalam kemungkaran. Hadis Rasulullah SAW bermaksud:












    “Tidak beriman seseorang itu

    sehingga ia mengasihi saudaranya

    seperti ia mengasihi dirinya”

    (Hadis Riwayat Muslim)







    Ingatkah kita bagaimana suasana masyarakat dipupuk nenek moyang kita suatu ketika dulu. Jika kita kenang dan renung kembali amalan generasi terdahulu, kita akan sedar betapa murni dan bijaknya mereka menjaga kita. Sesuatu kesalahan dilakukan bila dilihat seseorang maka mereka segera menegur atau memarahi tanpa mengira siapa dan anak siapa.






    Lebih daripada itu ibu bapa juga akan dimaklumkan dan anak nakal itu akan mendapat habuan seperti dimarahi atau dipukul ibu bapa. Ini menyebabkan anak tidak berani melakukan kesalahan walaupun di belakang ibu bapa mereka kerana sedar semua orang mengambil berat terhadap mereka dan tidak timbul langsung perasaan takut untuk menegur.







    Berbeza sekali dengan pemikiran sesetengah ibu bapa pada zaman moden ini yang konsep tegur menegur seolah-olah tidak lagi relevan dalam kehidupan mereka. Masyarakat yang prihatin, saling tegur-menegur mampu menjamin keselamatan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial dengan cara muafakat, sama ada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen kesedaran. Pada masa sama dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlaku pekara yang ganjil dan meragukan dalam masyarakat. Justeru, membina ikatan yang kuat dan kerjasama sesama kita syarat utama bagi menjamin keselamatan dan keharmonian masyarakat. Kita bukan lagi hidup dalam gua seperti zaman purba. Kita hidup bermasyarakat, berkomuniti, berhubung antara satu sama lain, saling bergantungan ibarat pepatah ‘berat sama dipikul ringan sama dijinjing.’







    Masyarakat yang sentiasa mengambil berat antara satu sama lain menjadi elemen penting dalam usaha membangun negara. Mari kita bertanya kepada diri kita, apakah erti pembangunan yang kita bangunkan pada hari ini, jika pada masa sama akhlak manusiawi runtuh roboh. Mimbar percaya jika masyarakat bersikap prihatin, isu gejala sosial tidak akan berlaku kerana setiap masa dan tempat diperhatikan. Ingat gejala sosial isu yang melanda kehidupan manusia sepanjang zaman.







    Porak-peranda kehidupan masyarakat berpunca daripada wujudnya golongan rosak akhlak yang membelakangkan agama dengan mengutamakan hawa nafsu. Permasalahan ini tidak dapat di atasi selagi masyarakat mengamalkan sikap ‘keakuan’ dengan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya.







    Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan yang prihatin terlebih dulu. kita juga mesti menanam perasaan kasih sayang terhadap masyarakat dan negara. Renungi pepatah Melayu yang menyebut ‘bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat’.







    Pepatah ini amat sesuai dan selari dengan tuntutan Islam kerana ia dilihat menjadi suatu permulaan atau kunci ke arah membentuk masyarakat prihatin dan perpaduan sejagat, lebih-lebih lagi dalam keadaan dan suasana semasa serta sehaluan dengan apa yang diingatkan pihak pemerintah pada hari ini.







    Justeru, Islam menggalakkan umatnya sentiasa bekerjasama dan berpadu tenaga dalam semua perkara demi mencapai kebaikan sebagai usaha mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2, bermaksud:













    “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan

    untuk membuat kebajikan dan bertakwa,

    dan jangan kamu bertolong-tolongan

    pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

    Dan bertakwa kepada Allah,

    kerana sesungguhnya Allah Maha Berat

    azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
    "






    Sumbangan JAKIM








    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...