Umat terdahulu amalkan cara berbeza ikut nabi masing-masing




Ramadan terkenal di seluruh dunia kerana umat Islam di negara Islam dan bukan Islam berpuasa serentak pada siang hari selama 29 atau 30 hari mengikut piawaian ditetapkan Allah SWT. Tempoh puasa wajib yang panjang itu terus diamalkan umat Islam sejak 1430 tahun lalu hingga kini dengan mengekalkan syarat dan rukunnya tanpa mengalami perubahan. Disebutkan dalam al-Quran, puasa adalah amalan diwajibkan sejak kemunculan Islam lagi.






Persoalan besar timbul ialah umat nabi manakah yang berpuasa mengikut syariat dikuatkuasakan pada masa itu?






Ahli tafsir Imam Qurtubi memetik pendapat As-Syaabi dan Qatadah menerangkan maksud umat terdahulu merujuk syariat amalan puasa diamalkan umat Nabi Musa dan Nabi Isa. Menurut sejarah, Nabi Musa bersama kaumnya berpuasa selama 40 hari semasa berada di Bukit Tursina, Mesir.






Nabi Isa dan pengikut setianya juga berpuasa seperti mana diamalkan Nabi Musa. Dalam surah Mariam dinyatakan Nabi Zakaria dan Mariam sering mengamalkan puasa. Manakala Nabi Daud diriwayatkan berpuasa berselang seli iaitu sehari berpuasa dan sehari berbuka sepanjang tahun.






Demikianlah antara amalan puasa nabi terdahulu yang dapat dikesan ahli tafsir dan sejarah. Walaupun amalan puasa nabi lain tidak dapat dikesan tetapi kita yakin amalan puasa menjadi sebahagian syariat nabi lain.





Menurut sejarah, Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum dilantik menjadi rasul mengamalkan puasa tiga hari setiap bulan selain mengamalkan puasa Asyura yang jatuh pada hari ke-10 Muharam. Puasa Asyura turut diamalkan masyarakat Quraisy dan Yahudi yang tinggal di Madinah.






Sebahagian 25 rasul yang wajib dipercayai dalam Islam dari keturunan Bani Israel. Bagaimanapun, ajaran Nabi Musa menjadi rujukan utama agama Yahudi.






Mengikut Encyclopedia of Religion, terdapat segolongan penganut Yahudi mengamalkan puasa mengikut syariat Nabi Musa, Nabi Yahya, Nabi Ilyas yang berpuasa 40 hari selain berpuasa hari Isnin dan Khamis secara sukarela.






Berdasarkan ensiklopedia itu juga, penganut Yahudi Ortodoks mengamalkan puasa wajib satu hari pada hari Yom Kipur (hari pembersihan dosa) seperti mana disuruh dalam Kitab Taurat Nabi Musa. Kemudian mereka menambah empat hari lagi satu hari pada bulan Ab, Tammuz, Tebeth dan Tisri mengikut kalendar Yahudi sebagai hari berkabung atas bencana menimpa bangsa Yahudi.






Manakala syariat Nabi Isa yang berasal dari Bani Israel pula menjadi rujukan utama penganut agama Kristian. Secara tradisinya agama Kristian menghendaki penganutnya berpuasa 40 hari mulai hari Ash Wednesday hingga hari perayaan ‘Easter’ iaitu sebelum sambutan Krismas.






Puasa ini diamalkan sebagai menghormati kesengsaraan Nabi Isa selama 40 hari. Puasa tradisi lain ialah puasa pada hari ‘Rogestion Days,’ ‘Ember Day,’ puasa mingguan pada hari Rabu dan Jumaat, puasa sempena perlantikan paderi serta hari Baptis.






Bagaimanapun, kedudukan puasa tradisi masyarakat moden Kristian hari ini sudahmengalami perubahan besar.






Persidangan gereja Vatican pada 1965 di Rom memutuskan mereka hanya berpuasa sebahagian atau berpantang tidak makan daging pada hari ‘Ash Wednesday’ dan ‘Good Friday.’ Kelonggaran peraturan dibuat sebagai usaha menggalakkan masyarakat Kristian berpuasa.






Secara perbandingan, ternyata piawaian puasa disyariatkan kepada umat Islam di zaman Nabi Muhammad masih kekal hingga kini. Ulama yang menjadi pewaris perjuangan nabi dan disokong kuat umat Islam terus memantapkan serta mengukuhkan ajaran Islam.






Manakala amalan puasa yang disyariatkan kepada pengikut Nabi Musa dan Nabi Isa mengalami banyak perubahan dan hampir pupus ditelan zaman. Kita yakin ajaran syariat Nabi Musa dan Nabi Isa pupus kerana ajarannya sesuai untuk umat pada waktu itu saja.






Pengikutnya membuat pengubahasuaian ajaran mengikut pemikiran mereka.






Masyarakat Kristian Ortodoks Greek dan Roman Katholik suatu ketika dulu kuat mengamalkan puasa tradisi kini hanya mengamalkan puasa dengan berpantang makanan tertentu pada ‘Ash Wednesday’ dan ‘Good Friday.’






Sebahagian besar gereja mazhab Kristian Protestant menganggap puasa adalah hak individu untuk mengamalkannya. Puasa juga diamalkan agama lain. Puasa dalam agama Buddha bersifat berpantang dengan tidak memakan makanan tertentu.






Manakala dalam agama Hindu, Confusios, Tao dan ajaran animisma juga berpuasa untuk pemujaan roh. Puasa yang diamalkan dalam agama ini bersifat berpantang tidak makan makanan tertentu.






Islam agama membawa rahmat. Ibadah puasa yang diamalkan umat Islam di seluruh dunia tidak membebankan umatnya. Pakar perubatan mengakui puasa amat baik untuk pencegahan dan rawatan penyakit.








Penulis ialah

Pengarah Penyelarasan Undang-Undang

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)