Mungkinkah satu peringatan?
Oleh JUANI MUNIR ABU
BAKAR
DUNIA dikejutkan dengan berita hujan meteor
yang melanda bahagian tengah Rusia pada minggu lalu. Fenomena tersebut ditakuti
oleh para penduduk dunia kerana kejadian itu dikhuatiri boleh menyebabkan
kemusnahan total alam. Serpihan meteor seberat 10 tan itu akhirnya telah
mengakibatkan hampir 1,000 penduduk kawasan berkenaan tercedera.
Menerusi laporan berita AFP, satu
rakaman televisyen menunjukkan lalu lintas tergendala di bandar Urals,
Chelyabinsk kerana kejadian itu telah menyebabkan orang ramai bertempiaran lari
menyelamatkan diri untuk berlindung di dalam bangunan.
Dalam laporan itu lagi, Kementerian Bencana negara
itu pula mengesahkan perkhidmatan komunikasi telefon selular tergendala buat
sementara.
"Ketulan meteor tersebut bersepai di atas
kawasan pergunungan tengah Rusia, Urals, dengan separuh daripadanya terbakar
pada bahagian atmosfera. Serpihan meteor itu jatuh ke bumi di kawasan yang
kurang penduduk di wilayah Chelyabinsk," kata pejabat kementerian itu
melalui satu kenyataan.
Kejadian itu telah mengakibatkan
tingkap-tingkap bangunan pecah kesan daripada gegaran yang berlaku dengan
kira-kira 300 bangunan dilaporkan rosak, termasuk sekolah, hospital dan
bangunan kilang serta stadium hoki ais. Manakala sekolah-sekolah ditutup
selepas serpihan tersebut menyebabkan cermin bangunan pecah.
Berdasarkan fenomena alam tersebut, apakah
pengajaran yang sepatutnya diambil oleh manusia, khususnya umat Islam. Adakah
ia merupakan satu peringatan oleh Allah terhadap kelalaian umat Islam dengan
meninggalkan suruhannya dan melakukan larangannya?
Ketika menjelaskan persoalan itu, personaliti
agama, Fauzi Mustafa berkata, Allah mempunyai kekuasaan terhadap seluruh alam
termasuk apa yang berlaku di langit. Ujar beliau, penggerakan bintang, bulan,
matahari dan lain-lain lagi semua telah diatur oleh Allah.
Kekuasaan itu boleh dibuktikan melalui
firman
Allah dalam ayat lima surah al-Jaathiyah
yang bermaksud:
" Dan pertukaran
malam dan siang silih berganti,
dan juga rezeki yang diturunkan oleh Allah
dari
langit, lalu ia hidupkan dengannya
tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya,
serta peredaran angin, semuanya itu mengandung
i tanda-tanda yang membuktikan
keesaan Allah, kekuasaannya, kebijaksanaannya serta
keluasan rahmatnya) bagi
kaum yang mahu
menggunakan akal fikiran."
Oleh demikian, ujar Fauzi, kejadian hujan
meteor di Rusia dan terhempas di kawasan pergunungan Urals, tengah Rusia lalu
dikenali sebagai meteorit sebenarnya merupakan amaran Allah kepada manusia
supaya jangan lalai dan leka dengan kelazatan nikmat dunia.
"Peringatan itu tidak terjadi secara
berterusan tetapi secara berkadar. Maka kita boleh melihat ketika selepas
peristiwa tsunami suatu ketika dahulu, manusia mula-mulanya insaf. Tetapi tidak
lama kemudian, mereka kembali alpa.
"Sehubungan itu, sebagai umat Islam kita
jangan lupa tentang tugas di bumi ini iaitu melakukan segala yang Allah suruh
dan tinggalkan semua larangannya," ujar beliau.
Fauzi justeru itu mengingatkan umat Islam
jangan terlalu sibuk mengejar kelazatan dunia sehingga mengabaikan
tanggungjawab mereka sebenar di dunia ini khususnya dalam soal akhirat kerana
bila-bila masa Allah boleh mencabut nyawa dan menurunkan bala.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan agar umat
Islam supaya tidak mengaitkan kejadian yang berlaku di Rusia dengan dakwaan
kalendar Maya seperti mana pernah ditimbulkan oleh kaum dan tamadun Maya pada
hujung tahun lalu.
Menurut Fauzi, persoalan samiyat (ghaib)
termasuk hari kiamat merupakan urusan Allah. Selain Allah, tidak seorang pun
termasuk para malaikat hatta Nabi Muhammad SAW sebagai kekasih Allah tidak
mengetahui bilakah hari kiamat akan berlaku.
Perkara itu berdasarkan sebuah hadis riwayat
Bukhari dan Muslim apabila malaikat Jibrail bertanyakan kepada Nabi Muhammad
SAW berhubung tarikh hari Kiamat. Baginda pun menjawab dengan mengatakan
situasi orang bertanya itu menyamai keadaan orang ditanya.
"Umat Islam tidak wajar mempercayai
ramalan berkenaan kerana semuanya itu adalah suatu pembohongan sedangkan pada
tahun lalu mereka mendakwa akan berlaku hari kiamat. Tanggungjawab kita
memperkukuhkan akidah umat Islam dan menegakkan syariat manakala persoalan bila
tarikh kiamat, itu kerja Allah," kata beliau.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130222/ba_06/Mungkinkah-satu-peringatan#ixzz2LhreWwnv
© Utusan Melayu (M) Bhd
1 ulasan:
Assalamualaikum wbkt.
Petanda demi petanda diperlihatkan oleh-Nya. Memang ada lagi pelbagai petanda yang diberitahu kepada kita, tetapi kemungkinan besar kita tak akan berkesempatan menyaksikan tanda-tanda lain itu. Kerana kita telahpun pergi dahulu. Apa yang termampu kita lakukan, semoga Allah meredhainya dan semoga Dia mengampuni segala kekurangan dan dosa kita.
Catat Ulasan