Nilai diri sebelum letak sasaran
Umat Islam mesti bermuhasabah
dalam laksana ibadat, tugas seharian
Ketika
ini, umat Islam sedang mengerjakan ibadat dan pelbagai bentuk kebajikan
di Tanah Suci, maka kita yang berada di tanah air wajar mencontohi
mereka dengan berebut-berebut melakukan kebaikan dalam apa juga bentuk
yang termampu.
Perhimpunan raksasa umat Islam dari merata pelosok dunia untuk
mengerjakan ibadat haji ini bukan saja menjadi contoh dalam kalangan
umat Islam, juga masyarakat dunia. Justeru, pelbagai hikmah perjalanan
ibadat itu harus kita kutip, renungi dan contohi dalam segenap aspek
kehidupan.
Sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa muhasabah dirinya dan membuat bekalan amalan untuk selepas mati, dan orang yang bodoh ialah yang mengikut hawa nafsu dirinya dan bercita-cita kepada Allah dengan pelbagai cita-cita tanpa usaha.” (Riwayat Imam Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)
Ia mencetuskan lima inspirasi nilai dalam bekerja iaitu
mencemburui kebaikan dan kejayaan; mencari dan menginsafi kelemahan
diri; mensyukuri dan merebut peluang di hadapan mata; menekuni amalan
serta munajat dengan ketulusan dan keluhuran hati.
Hal ini
terangkum dalam pandangan Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-fiqh al-Islami
wa Adillatuhu bahawa antara hikmah mengerjakan haji adalah menguatkan
keazaman, melaksanakan pengorbanan dan menyucikan diri.
Mencemburui kebaikan yang dilakukan apatah lagi dalam menunaikan rukun
Islam adalah nilai perasaan yang baik serta dibenarkan dalam Islam.
Rasulullah bersabda, tiada hasad dengki kecuali pada dua perkara iaitu
ilmu apabila ia diajarkan dan harta apabila ia dibelanjakan pada jalan
kebaikan. Ini bermaksud hanya hasad atau cemburu pada hal kebaikan
dibenarkan agar kita mencontohinya dan menjadikan kebaikan sebagai
amalan.
Maknanya, kita di sini jangan lalai melaksanakan ibadat dan
tugas seharian. Ibarat berlumba dengan jemaah haji, kita boleh
meletakkan suatu sasaran yang ingin dicapai dalam musim ini sebagai
pembakar semangat.
Nilai diri terlebih dulu
Apatah lagi apabila berada pada penghujung tahun, tetapi masih ada
sasaran kerja atau azam tahun baru 2012 dan 1433 Hijriah yang belum
terlaksana. Oleh itu, dalam meletakkan sasaran kerja kita perlu menilai
diri terlebih dulu, apa kelemahan dan kekuatan.
Jemaah haji di
Tanah Suci meninggalkan segala-galanya semata-mata untuk mengabdikan
diri kepada Ilahi. Hari dan masa mereka dipenuhi dengan munajat dan
taubat. Justeru, kita di sini perlu merenungi dan menginsafi diri supaya
sentiasa mendapat hidayah Allah dalam urusan kerja seharian.
Sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang cerdik ialah
yang sentiasa muhasabah
dirinya
dan membuat bekalan amalan
untuk selepas mati,
dan orang yang
bodoh ialah
yang mengikut hawa nafsu dirinya
dan bercita-cita kepada
Allah
dengan pelbagai cita-cita
tanpa usaha.”
(Riwayat Imam Ahmad,
al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)
Dalam pengurusan atau
perkhidmatan, kelemahan diri boleh dikenal pasti melalui pelbagai kaedah
antaranya nasihat dan teguran pihak majikan, mesyuarat, perbincangan
rakan sejawat, aduan pelanggan serta pengurusan audit nilai.
Melalui audit nilai perkhidmatan, kita juga dapat mengukur tahap
pelaksanaan nilai di jabatan dan agensi. Ini membolehkan kita menyedari
dan memperbaiki kelemahan bekerja, menghasilkan kualiti untuk mencapai
standard piawaian yang ditetapkan.
Begitu juga dalam beribadat.
Allah SWT sentiasa menerima amalan hamba-Nya yang dikerjakan dengan
hati insaf dan tunduk kepadaNya. Menurut Imam al-Ghazzali dalam Riyadah
al-Nafs, usaha ini juga menjadi ‘senaman jiwa’ bagi umat Islam.
Inspirasi nilai yang ketiga ialah mensyukuri nikmat dan merebut peluang
di depan mata. Saidina Umar bin al-Khattab menyebut:
“Nikmat itu ibarat
binatang liar,
maka tambatlah ia dengan syukur.’
Jemaah yang
berada di Tanah Suci wajib mensyukuri serta merebut nikmat ‘jemputan’
daripada Allah dengan menekuni amalan semampu kudrat dan sepenuh hati.
Apatah lagi apabila ramai yang belum diizinkan untuk sampai walaupun
berkemampuan.
Rebut nikmat depan mata
Begitulah
juga dengan kita di sini, wajar merebut nikmat dan peluang di depan mata
dengan meningkatkan usaha dan ketakwaan. Justeru, nilai bersyukur
menjadi satu nilai teras dalam perkhidmatan awam.
Syukur mesti
diterjemahkan kepada ketekunan beramal dan berbuat kebaikan. Firman
Allah SWT:
“Dan
sesiapa yang datang kepada-Nya
sedang dia beriman, serta
dia
mengerjakan amal-amal yang salih,
maka mereka itu akan beroleh
tempat tinggal yang tinggi darjatnya.”
(Surah Taaha, ayat 75)
Inspirasi nilai terakhir, setiap usaha yang dipertingkatkan hendaklah
dengan munajat dan tawakal kepada Ilahi kerana tiada yang mampu memberi
kebaikan dan menghalang keburukan daripada berlaku melainkan dengan
Kuasa Allah SWT.
Penulis ialah
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya (UM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan