Doa senjata Mukmin
Amalan diharuskan syarak
sama ada ketika senang atau susah
Doa
adalah amalan yang diharuskan syarak dan ibadat sangat dituntut selain
berperanan sebagai kunci utama memohon bantuan Allah SWT.
Berdoa juga
membolehkan hajat dimakbulkan, dibuka pintu kelapangan dan dihindarkan
musibah atau diselamatkan daripada kejadian tidak diingini.
Doa sewajarnya dilakukan sepanjang masa sama ada ketika susah
atau senang bagi membuktikan kita sentiasa bergantung kepada-Nya. Adalah
kurang enak seseorang hamba itu hanya berdoa kepada Tuhan ketika
ditimpa kesusahan sedangkan pada masa senang lupa kepada Allah.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sesiapa yang terbuka hatinya untuk berdoa, terbuka baginya pintu-pintu rahmat dari Allah dan sekiranya tidak meminta sesuatu dari Allah yang disukainya melebihi permintaannya supaya diberi akibat.”
(Riwayat at-Tarmizi)
Tak faham hakikat doa sebenar
Bagaimanapun, masih
ada dalam kalangan masyarakat Melayu tidak memahami hakikat doa yang
sebenarnya sehingga menganggap doa adalah adat diwarisi sejak zaman
berzaman. Oleh itu, tidak hairanlah masih ramai menjadikan doa sebagai
acara pembuka majlis.
Malah, ada yang tidak menyelidik terlebih
dulu bentuk majlis dianjurkan hingga terjadi perkata tidak sepatutnya.
Selepas doa dibacakan, majlis diserikan dengan tarian, lagu kugiran dan
pelbagai lagi anasir maksiat yang dibenci Allah.
Ada juga majlis yang tidak dimulakan dengan doa tetapi ditutup dengan bacaan doa sedangkan terdapat unsur maksiat dalamnya.
Ramai juga kalangan umat Islam khususnya jemaah surau dan
masjid yang mengabaikan doa dan bingkas bangun tanpa berdoa sebaik
solat. Begitu juga ketika solat Jumaat dengan deruman motosikal
kedengaran sebaik saja imam melafazkan salam kedua.
Mungkin
mereka tidak mengetahui fadilat berdoa atau mungkin ada urusan penting
yang perlu diutamakan. Mungkin juga mereka berpandangan solat itu adalah
doa kerana solat bermaksud doa yang menyaksikan hamba-Nya berkomunikasi
secara terus dengan Khaliq (Allah) lima kali sehari.
Contoh
doa yang dibaca dalam solat ialah bacaan ketika duduk antara dua sujud:
“Oh Tuhan,
ampunilah aku,
kasihanilah aku,
tutuplah aibku,
tinggilah
darjatku,
berilah rezeki kepadaku,
tunjuklah aku,
sejahteralah aku
dan
maafkanlah aku.”
Teras penting
Mengikut
kesepakatan Ahli Sunnah Wal Jamaah, doa adalah teras penting selepas
berusaha dan berikhtiar sebelum bertawakal kepada Allah. Begitupun,
janganlah disalahertikan kononnya dengan berdoa kita akan mendapat
segala-galanya tanpa perlu bersusah payah.
Rasulullah SAW
memperakukan:
“Doa
umpama senjata orang Mukmin
dan sendi kekuatan agama
juga
cahaya yang berkilauan
di langit dan bersinar di bumi.”
(Riwayat
al-Hakim)
Berdasarkan hadis itu dapatlah dibuat kesimpulan
bahawa seseorang yang tidak istiqamah dalam berdoa akan mengalami
kerugian antaranya kehidupan tanpa senjata, seni kekuatan agama menjadi
lemah dan luntur serta tiada berkat.
Allah menciptakan kita dan
Dia mengetahui betapa lemahnya makhluk bernama manusia. Oleh itu kita
diperintahkan supaya berdoa kepada-Nya.
Allah berfirman:
“Berdoalah kamu kepada-Ku
nescaya aku perkenankan doa
permohonan kamu
itu.
Sesungguhnya
orang yang sombong,
takbur daripada beriabadat
dan
berdoa kepada-Ku,
akan masuk neraka jahanam
dalam keadaan hina.”
(Surah
al-Mukminum, ayat 60)
Rasulullah SAW adalah antara hamba Allah
yang tidak jemu bermunajat kepada Allah sama ada ketika senang mahupun
susah, ketika aman mahupun di medan perang.
Nabi Muhammad SAW
bersabda:
“Sesiapa
yang terbuka hatinya untuk berdoa,
terbuka baginya
pintu-pintu rahmat
dari Allah dan sekiranya
tidak meminta sesuatu dari
Allah
yang disukainya melebihi
permintaannya supaya
diberi akibat.”
(Riwayat at-Tarmizi)
Adab tertentu
Doa juga
mempunyai adab tertentu antaranya perlu dimulakan dengan memuji Allah,
mengutamakan waktu yang mulia seperti pada hari Arafah, Ramadan, Jumaat
dan waktu sahur; menghadap kiblat; disunatkan mengangkat kedua-dua
tangan; merendahkan nada suara; tawaduk; berdoa dengan
bersungguh-sungguh iaitu yakin Allah memakbulkannya dan berulang-ulang.
Menurut riwayat, ketika Ibrahim Adham (ahli sufi) berada di
tengah-tengah bandar Basrah (bandar pelabuhan di selatan Iraq), beliau
dikerumuni khalayak. Ada seorang lelaki bertanya: “Kenapa doa mereka
tidak dimakbulkan Allah SWT, pada hal mereka selalu berdoa kepada-Nya.”
Ibrahim Adham menjawab
kerana hati buta disebabkan 10 perkara:
kamu mengenali Allah SWT, tetapi kamu tidak menunaikan suruhannya,
kamu menyatakan kamu cintakan Rasulullah SAW, tetapi kamu meninggalkan sunnahnya,
kamu membaca al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengan isi kandungannya,
kamu memakan nikmat Allah SWT, tetapi kamu tidak bersyukur,
kami berkata bahawa syaitan musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya,
kamu berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal dengannya,
kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak melarikan darinya,
kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya,
kamu bangun daripada tidur, lalu kamu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa akan keaiban diri sendiri,
kamu kebumikan mayat saudara kamu, tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan