Keberkatan rezeki
DALAM kehidupan manusia terutamanya umat Islam, mata pencarian dan hasil kerja dikenali sebagai rezeki. Dalam hal ini umat Islam mestilah mencari rezeki yang halal bagi diri dan keluarganya. Rezeki tersebut mestilah rezeki yang halal daripada hasil usaha tangannya sendiri.
Pada masa kini punca rezeki adalah berbagai-bagai. Pun begitu, punca rezeki daripada perniagaan lebih menampakkan hasilnya. Walau bagaimanapun keberkatan dalam mencari rezeki sewajarnya diberikan perhatian. Rezeki yang halal lagi berkat akan membawa manfaat sehingga ke akhirat.
Secara jelas, rezeki adalah bahan keperluan untuk hidup seperti makanan sehari-hari atau nafkah buat keluarga, pendapatan, penghasilan dan pencarian seseorang. Selama masih hidup manusia akan tetap diberikan rezeki oleh Allah SWT, sama ada sedikit ataupun banyak. Rahmat Allah amat luas, bersyukurlah dengan nikmat Allah dan carilah rezeki yang halal, jangan makan rezeki yang haram.
Rasulullah SAW bersabda:
"Mencari rezeki yang halal
adalah wajib
sesudah menunaikan
yang fardu
(seperti solat, puasa dan lain-lain)."
Jelaslah, rezeki yang halal amat penting kepada umat Islam. Selain itu, rezeki tersebut mestilah berkat dan diterima oleh Allah SWT.
Berkaitan dengan rezeki yang tidak lancar
dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya
seorang hamba diharamkan
daripada rezeki kerana maksiat
yang ia lakukan."
(Riwayat Ibn Majah dan Ahmad,
Ibn Hibbah dan Ibn al- Mubarak).
Oleh itu, ketakwaan kepada Allah akan mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan ketakwaan, tidak ada jalan yang paling baik untuk mendapat rezeki yang halal dan berkat selain meninggalkan maksiat.
Dalam peribahasa Melayu terdapat kata-kata,
'Rezeki secupak tidak akan jadi segantang'
bermaksud rezeki banyak atau sedikit sudah ditentukan Tuhan.
'Rezeki harimau' bermaksud, sewaktu ada makanan banyak dan berjenis-jenis.
'Rezeki jangan ditolak' bermaksud untung jangan dibuang (dibiarkan terlepas).
'Rezeki mahal' bermaksud susah mencari penghidupan, jarang mendapat keuntungan.
"Rezeki helang tidak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit), maksudnya semua orang ada kemujurannya masing-masing yang ditetapkan oleh Allah, keuntungan seseorang tidak boleh direbut oleh orang lain.
Begitulah dalam dan luasnya tafsiran rezeki daripada kaca mata dan budaya orang Melayu, dengan pandangan penuh bijaksana untuk direnungi oleh generasi akan datang sebagai panduan dalam kehidupan.
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Ruhul Qudus
(malaikat Jibrail) membisikkan
dalam benakku bahawa jiwa
tidak akan mati sebelum lengkap
dan sempurna rezekinya.
Kerana itu hendaklah kamu
bertakwa kepada Allah dan
memperbaiki mata pencarianmu.
Apabila datangnya rezeki itu terlambat,
janganlah kamu memburunya
dengan jalan maksiat kepada Allah
kerana apa yang ada di sisi Allah
hanya boleh diraih dengan
ketaatan kepada-Nya."
(Riwayat Abu Dzar dan Al-Hakim).
Rezeki yang berkat dapat diraih pada waktu pagi. Nabi SAW bersabda:
"Bangunlah
pada pagi hari
untuk mencari rezeki
dan keperluan-keperluanmu.
Sesungguhnya
pada pagi hari
terdapat berkat dan keuntungan."
(riwayat Ath-Thabrani dan Al-Bazzaar).
Dalam hadis yang lain Nabi SAW juga bersabda:
"Ya Allah,
berkatilah umatku
pada waktu
pagi hari mereka (waktu fajar)."
Ini dijelaskan lagi oleh Nabi SAW dalam sabdanya:
"Selesai solat fajar (Subuh)
janganlah kamu tidur sehingga
melalaikan kamu untuk mencari rezeki."
(riwayat Ath-Thabrani).
AMINUDIN MANSOR ialah
bekas pendidik berkelulusan
Ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan