Mencapai ketenangan dengan qana'ah
Keimanan berperanan kawal jiwa daripada menurut hawa nafsu
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Bukanlah yang dinamakan kaya itu
lantaran banyaknya harta benda,
tetapi kekayaan sebenarnya adalah kaya jiwa.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Buktinya ramai manusia yang berharta, menghuni di kediaman mewah dan tersergam indah, namun mereka tidak menemukan rasa bahagia. Sebaliknya, ramai yang tidak berharta, kehidupannya serba sederhana dan kurang tetapi jiwanya tenteram.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya jika kamu bersyukur,
pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu,
namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku,
sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim : 7)
Kekayaan tak jamin kebahagiaan
Ternyata kebahagiaan sejati tidak terletak pada harta.
Firman Allah bermaksud:
“...ingatlah
hanya dengan zikrullah (mengingati Allah),
hati menjadi tenteram”
(Surah ar-Ra’ad: 28)
Qana’ah, reda dan syukur adalah tiga gandingan sifat terpuji yang saling berhubungan. Individu Muslim perlu memilikinya kerana ia adalah kunci ketenangan jiwa yang menjadi unsur utama menggapai kebahagiaan hidup.
Menurut bahasa, qana’ah bererti berasa cukup. Dari segi istilah pula bermakna berasa cukup atau puas dengan apa yang dimiliki. Jelasnya, qana'ah bermaksud mencukupi dan reda atas segala rezeki dan kurniaan Allah SWT.
Allah SWT memandang mulia orang yang reda dengan kecukupan yang dikurniakan-Nya.
Walaupun ia memiliki sedikit harta, tidak menyebabkannya hidup mengemis. Kaya dan miskin adalah pemberian dan ketentuan Allah sekali gus sebagai ujian.
Mukmin sebenar apabila dikurniakan kekayaan dia bersyukur, jika ditakdirkan hidup miskin pula dia bersabar di samping berusaha memperbaiki taraf kehidupannya.
Kekayaan terkadang mengheret manusia menolak kebenaran seperti kemiskinan boleh menjerumuskan manusia ke dalam kehinaan.
Qana’ah beri ketenteraman jiwa
Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta dan Pengurnia nikmat kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya, tentulah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Mukmin yang bersifat qana’ah akan berasa tenteram kerana ia dapat mendidik jiwanya menerima segala pemberian dan ketentuan Allah di samping ia terus meningkatkan ketaatan dan keakraban hubungannya dengan Allah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“Sungguh beruntunglah
orang yang telah memeluk Islam
dan rezekinya memadai
serta Allah memberi kepuasan kepadanya
terhadap apa yang dikurniakan itu.”
(Hadis riwayat Muslim).
Namun, makna qana’ah jangan pula disalah fahami. Bukanlah qana’ah itu berasa senang dengan segala kekurangan dan kehidupan yang susah, hilang semangat atau kemahuan untuk mencipta kejayaan dan membina masa depan, tiada keinginan untuk meraih kemajuan baik moral mahupun material atau kelesuan untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kelaparan.
Dengan kata lain, orang yang bersifat qana’ah bukan bererti menerima nasib begitu saja tanpa ikhtiar.
Ia boleh saja memiliki harta yang banyak, namun bukan bertujuan menimbun atau menunjuk kekayaan.
Reda pemberian Allah
Mukmin sebenar akan reda dengan apa jua pemberian Allah dan berasakan bahawa pilihan Allah untuknya lebih baik daripada pilihannya sendiri, kerana Allah saja yang mengetahui semua kebaikan dan kepentingan hamba-Nya di dunia dan akhirat.
Segala nikmat kurniaan Allah hendaklah diterima dengan penuh rasa syukur, baik syukur secara lisan mahupun perbuatan. Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.
Orang yang bersyukur bererti ia mengenang pemberian Allah yang tidak pernah putus-putus.
Firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya
jika kamu bersyukur,
pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu,
namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku,
sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
(Surah Ibrahim : 7)
Syaqiq bin Ibrahim berkata:
“Saya telah menanyakan kepada 700 orang alim
mengenai lima masalah.
Semua mereka memberi jawapan yang sama.
“Satu, siapakah orang yang sempurna akal?
Mereka menjawab:
Orang yang tidak menyintai dunia
(mengambil dunia sekadar yang diperlukan).
Dua, siapakah orang yang cerdik?
Mereka menjawab:
Orang yang tidak tertipu oleh dunia.
Ketiga, siapakah orang yang kaya?
Mereka menjawab:
Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah.
Keempat, siapakah orang yang mengerti agama?
Mereka menjawab:
Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan
dan kelima, siapakah orang yang bakhil?
Mereka menjawab:
Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”
Iman mampu kawal hawa nafsu
Keimanan sebenarnya yang berperanan besar dalam mengawal atau membatasi jiwa manusia daripada menuruti hawa nafsu seperti bersifat rakus atau tamak haloba yang tiada berkesudahan, tidak cukup dengan yang sedikit dan tidak puas dengan yang banyak.
Hanya kepada Allah SWT sepatutnya manusia mengadu dan memohon pertolongan, kerana hanya Allah yang dapat memenuhi segala hajatnya.
Penulis ialah
Pegawai Hal Ehwal Islam
di Pusat Islam Universiti,
Universiti Putra Malaysia,
Serdang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan