Saling memaafkan amalan mulia
HARI Raya patut menjadikan kita gembira kerana selama sebulan kita menjalani ujian untuk menjadikan diri kita insan bertakwa kepada Allah SWT.
Kini, tiba giliran Aidilfitri di mana kita pulang dalam keadaan fitrah iaitu bersih hati hasil didikan tarbiah Ramadan.
Ia membersihkan diri kita daripada sifat bakhil, individualistik kemudian menanamkan sifat pemurah, kasih sayang serta tolong menolong.
Amalan sunat yang dikerjakan di seperti solat tarawih, solat tahajud, membaca al-Quran, bersedekah dan berzakat adalah pembersih hati daripada sifat keji (mazmumah).
Sambutan hari raya tidak hanya dapat memakai baju baru, rumah baru, sofa baru, tetapi lebih penting menyambut raya dengan jiwa baru.
Tidak bermakna jika perangai masih tidak berubah, ego, malas, dan sering melanggar disiplin.
Sebab itu, ibadah puasa pada bulan Ramadan perlu berteraskan akidah, begitu juga dengan Aidilfitri. Perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita yang bukan mahram mesti dielakkan.
Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain memang dituntut dalam Islam sehingga ia dijanjikan sebagai ganjaran yang begitu besar sekali. Malang sekali apabila perbuatan memohon dan memberi hanya menjadi budaya dan bukannya dihayati semangatnya.
Dalam surah Ali-Imran, ayat 134-136, maksudnya:
“Iaitu
orang yang mendermakan hartanya
pada masa senang dan susah,
orang yang menahan kemarahannya,
dan orang yang memaafkan kesalahan orang.
Dan (ingatlah),
Allah mengasihi orang-orang
yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Dan
orang yang apabila melakukan perbuatan keji,
atau menganiayai diri sendiri,
mereka ingat kepada Allah lalu
memohon ampun akan dosa mereka dan
tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah,
dan mereka juga tidak meneruskan
perbuatan keji mereka itu,
sedangkan mereka mengetahui.
Mereka itu balasannya ialah
keampunan dari Tuhan mereka,
dan Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya;
dan yang demikian itulah sebaik-baik
balasan bagi orang yang beramal.”
Apakah makna memaafkan?
1. Melupakan hasrat membenci mereka.
2. Membatalkan niat membalas dendam.
3. Membatalkan hasrat menghukum mereka.
4. Membatalkan untuk menyimpan perasaan dendam.
Bagaimanakah cara sebenar memohon dan memberi maaf?
Bagi pemohon maaf, ungkapan memohon maaf itu hendaklah dilaksanakan dengan ikhlas, rendah hati dan penuh kekesalan serta berazam tidak mengulanginya lagi.
Pemberi maaf pula, kemaafan yang diberi perlulah diberi dengan tulus ikhlas, penuh sedar bagi melupakan kesalahan dan tidak lagi mengungkit-ungkit.
Ada yang mengatakan ketika memohon maaf, kita perlu menyenaraikan segala kesalahan yang kita lakukan supaya pihak satu lagi maklum mengenainya.
Namun, dalam semangat Aidilfitri ini, apabila meraikan kemenangan melawan hawa nafsu selama sebulan, mengapa kita tidak terbuka hati untuk memaafkan silap dan salah seseorang?
Sudah tentu kita juga ada melakukan kesilapan. Ingatlah perintah Allah dalam surah al-A’raaf, ayat 199 yang menuntut kita memilih untuk memaafkan.
Memohon maaf dan memberi maaf bukanlah sukar untuk dilaksanakan dalam bulan Syawal ini selepas kita melengkapkan ibadat puasa selama sebulan.
Apabila saling bermaafan, tiada lagi rasa benci dan dendam di hati.
Yang lahir dari hati ialah perasaan kasih sayang serta persefahaman sekiranya dijana dengan baik, dapat menghasilkan permuafakatan yang menguntungkan ummah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan