Ketika Abu Dzar Al-Ghifari meminta nasihat Rasulullah SAW,
kata Rasulullah SAW kepadanya:





“Saya wasiatkan kepadamu,

bertakwalah engkau kepada Allah

kerana takwa itu adalah

pokok dari segala perkara.”





Umumnya, ulama mendefinisikan takwa sebagai menjaga diri daripada perbuatan maksiat, meninggalkan dosa syirik, perbuatan keji dan dosa besar, serta berperi laku dengan adab syariah. Takwa adalah melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.




"Barang siapa yang menghiasi dirinya

dengan ketakwaan kepada Allah,

maka dia akan hidup

dengan penuh keyakinan dan kekuatan.

Dia pun akan berjalan di muka bumi ini

dengan penuh ketenangan dan kedamaian"

- Riwayat Abu Nu’aim






Firman Allah SWT:




“Wahai umat manusia!

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu

dari lelaki dan perempuan,

dan Kami telah menjadikan kamu

berbagai bangsa dan bersuku puak,

supaya kamu berkenal-kenalan

(dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah

ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu,

(bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui,

lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya

(akan keadaan dan amalan kamu).”


(Surah Al-Hujurat, ayat 13)









Firman-Nya lagi:






“Wahai anak Adam!

Sesungguhnya Kami

telah menurunkan kepada kamu

(bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu,

dan pakaian perhiasan;

dan pakaian yang berupa takwa itulah

yang sebaik-baiknya.

Yang demikian itu adalah

dari tanda (limpah kurnia) Allah

(dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya)

supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).”

(Surah Al-A’raf, ayat 26)





Tiada niat lakukan kejahatan





Orang yang bertakwa selalu memikirkan apa yang akan diucapkan dan berhati-hati ketika melakukan sesuatu perkara. Tidak ada niat di hati Muslim sama sekali untuk melakukan kejahatan yang boleh merugikan dan memudaratkan orang lain, apatah lagi merugikan masyarakat serta negara.






Orang yang menjadikan takwa sebagai hiasan hidupnya tidak mungkin mengkhianati amanah dan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga atau kroninya. Kuasa kepemimpinan adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan kepada masyarakat, bangsa dan terutama kepada Allah SWT.







Islam lahir ramai pemimpin bertakwa







Islam melahirkan ramai pemimpin bertakwa yang memimpin umat Islam dengan penuh keadilan. Contohnya, Saidina Ali bin Abi Talib yang bersifat tawaduk dan patuh terhadap keputusan Kadi, meskipun tuntutannya terhadap baju besi dimiliki seorang Yahudi, dibatalkan di sidang pengadilan.







Saidina Ali membawa saksi iaitu Saidina Hasan, puteranya sendiri dan Qanbar, pembantunya. Namun Kadi Syuraih sebagai seorang kadi yang jujur dan tegas telah menolak saksi dari kaum kerabat kerana dianggap boleh menimbulkan berat sebelah kepada Saidina Ali.







Akhirnya, Kadi telah memberikan keputusan yang adil dengan memberikan kemenangan kepada Yahudi dan Khalifah Ali menerimanya dengan ikhlas.








Sikap tawaduk yang lahir dari takwa ini telah membuka pintu hati Yahudi itu untuk menerima Islam sebagai pegangan hidupnya.









Yahudi berkata: “Wahai Amirul Mukminin, Tuan telah membuat aduan mengenai saya kepada Kadi yang juga orang bawahan tuan, tapi dia telah memberikan kemenangan kepada saya. Maka dengan ini, saya bersaksi bahawa ini adalah kebenaran dan saya bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah.”







Peroleh ketenangan di dunia, akhirat







Akhirnya, apabila takwa menjadi perhiasan hidup dalam setiap gerak gerinya, dia akan memperoleh ketenangan dan kedamaian yang hakiki di dunia serta akhirat nanti.








Maka benarlah Rasulullah SAW bersabda:







“Barang siapa yang menghiasi dirinya

dengan ketakwaan kepada Allah,

maka dia akan hidup dengan penuh

keyakinan dan kekuatan.

Dia pun akan berjalan di muka bumi ini

dengan penuh ketenangan dan kedamaian.”

(Hadis riwayat Abu Nu’aim)








Takwa adalah bekalan hidup paling berharga dalam diri seorang Muslim.
Tanpanya hidup menjadi tidak bermakna dan penuh kegelisahan.
Sebaliknya, seseorang akan merasai hakikat kebahagiaan hidup,
baik di dunia mahu pun akhirat apabila dia berhasil
menjadi seorang yang bertakwa.





https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgZPEJsss4rJU6RHcONLjCvRz4yqk0Mbyr79J85wrJwvIKycBGcmIbisAvf5jwaZYs6vBbux21ey_XbuSScfmdOSUU1kAAqlYc3I46S-nwakfzBFdV0KnzELYKrHb4qWQnH7TwKsAnrqMo/s1600/3891043648_0f86234df5_o.jpg