:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Jumaat, 10 Februari 2012

Tiga pengajaran tunjukkan kelebihan manusia




Tiga pengajaran


tunjukkan kelebihan manusia



Oleh Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi








DALAM al-Quran, surah al-Fathir, ayat 10, Allah SWT berfirman yang bermaksud:






“Sesiapa yang mahukan kemuliaan

(maka hendaklah ia berusaha mencarinya

dengan jalan mematuhi perintah Allah),

kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan.

Kepada Allah juga naiknya segala perkataan yang baik

(yang menegaskan iman dan tauhid,

untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan),

dan amal yang salih pula diangkat naik

(sebagai amal yang makbul - yang memberi kemuliaan

kepada yang melakukannya).”








Dari ayat di atas, ada tiga pengajaran penting
sewajarnya menjadi renungan bagi setiap muslim.








Pertama, dalam realiti kehidupan semasa, ramai orang mempunyai persepsi salah mengenai hakikat kemuliaan hidup (izzah). Sehubungan itu, Ahmad Sonhadji Mohamad, seorang ulama terkenal di Singapura dan rantau ini menjelaskan bahawa kemuliaan yang dikurniakan kepada manusia iaitu seperti kata Ibnu Abbas:






“Mereka makan menggunakan tangan

sedangkan makhluk yang lain makan dengan mulut

yang dihadapkan ke tanah ataupun manusia itu

dimuliakan dengan sebab mereka dibekalkan akal,

diberikan kebolehan bertutur kata,

tahu memilih di antara yang baik dengan yang buruk,

tahu menulis dan melukis, seterusnya dikurniakan kefahaman.”












Di samping itu, kemuliaan itu mungkin bersandarkan kepada wajah yang cantik dan bentuk badannya yang molek ataupun kerana manusia dapat menguasai apa yang ada di muka bumi dan menggunakannya untuk maslahat hidup manusia itu sendiri atau dengan dikurniakan kepandaian dan kebijaksanaan untuk mentadbirkan urusan mereka dengan baik.









Jelas, dari maksud ayat suci dan tafsirannya bahawa di permulaan ayat ini, Allah SWT menyebut mengenai kemuliaan dan di akhir ayat pula mengenai kelebihan yang dikurniakan kepada manusia. Ringkasnya, maksud kemuliaan manusia itu ialah Allah menjadikan manusia lebih mulia daripada haiwan kerana diberi akal, boleh bertutur kata, pandai menulis dan melukis serta bagus pula rupa dan bentuk tubuh badannya. Dan maksud kelebihan pula ialah Allah menjadikan manusia kelainan kerana dengan akal dan kefahamannya, dapatlah dia memperbaiki kepercayaan atau iktikadnya dengan betul serta memperbaiki budi pekertinya menjadi mulia.











Yang kedua, segala amal perbuatan terpuji baik dalam bentuk ucapan mahu pun tindakan, sesungguhnya memiliki jalur langsung kepada Allah dan akan diangkat serta dilaporkan oleh malaikat ke hadrat Allah, Zat yang Maha Tinggi dan Maha Mulia.











Oleh itu, berbuat baik yang disertai keikhlasan dan kesungguhan harus menjadi gaya hidup orang beriman, termasuk berbuat baik kepada orang yang tidak pernah berbuat baik kepada kita sekali pun.
Dalam satu hadis sahih, Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya:










“Amalan yang paling afdal di sisi Allah ialah

menghubungkan silaturahim kepada orang

yang memutuskan kekeluargaan denganmu,

memberi kepada orang yang kikir kepadamu

dan memaafkan orang yang menganiaya dirimu."




(Riwayat Ahmad dan Dailami)








Dalam satu hadis yang lain,
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:







"Sesiapa yang inginkan dimurahkan rezeki

dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia

menjalinkan silaturahim."



(Riwayat Bukhari dan Muslim)








Begitu juga dengan rezeki Allah tidak akan turun terus dari langit melainkan dengan perantaraan hamba-Nya yang lain. Ini bermakna bahawa orang yang tidak menjalin silaturahim dengan manusia lain sumber rezekinya akan terputus. Bekerja, berniaga, bertani dan apa-apa pekerjaan pun di dunia ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian. Tidak dapat tidak semuanya membabitkan penyertaan dan bantuan daripada manusia lain.










Yang ketiga, jika kemuliaan yang hakiki diraih melalui tunduk dan patuh kepada Allah disertai dengan pelaksanaan amal salih yang berterusan, baik dengan ucapan mahupun tindakan yang berlandaskan keikhlasan, nescaya segala bentuk kejahatan daripada orang-orang berkelakuan jahat, pasti akan mengalami kehancuran dan kebinasaan.









Orang yang beriman mesti meyakini bahawa segala bentuk kezaliman dan keburukan akan hancur dengan sendirinya selama mana orang yang beriman tetap beristiqamah dalam menebarkan benih-benih kebaikan dan menanam pohon kebajikan.











Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...