Persoalan Agama
oleh
Ustaz Zahazan
SAYA mempunyai anak yang masih kecil tetapi
kalau ustaz boleh terangkan bagaimana saya patut
mendidik anak untuk solat. Saya lihat anak saudara saya
yang sudah besar cukup liat untuk solat.
Puas emak dan bapa mereka paksa. Harap ustaz dapat bantu.
" Wahai anakku,
tegakkanlah solat dan suruhlah manusia
untuk berbuat kebajikan dan cegahlah
daripada perbuatan mungkar serta bersabarlah kamu
dalam menghadapi setiap musibah yang menimpamu.
Sesungguhnya
semua itu adalah masalah utama
(yang perlu diambil berat). "
- Surah Lukman, Ayat 17
Jawapan:
IBADAT solat hendaklah dimulai,
ditanam dan dibiasakan oleh ibu bapa
ke dalam jiwa anak-anak.
Maksudnya ibu bapa hendaklah memulakannya
dengan mengajak anaknya untuk melakukan solat berjemaah
bersama atau dibawa ke masjid. Kemudian hendaklah
berterusan memberi nasihat dan galakkan secara lisan kepada anaknya.
Kaedah ini boleh memberi kesan sekiranya disertai dengan
contoh ikutan atau uswah hasanah daripada ibu bapa,
terutama pada ibadat solat dan puasa.
Ibu dan bapa yang bertakwa dan tekun melakukan ibadah
akan mempengaruhi kehidupan anak sehari-hari.
Ketetapan untuk mendidik anak agar melakukan ibadah khusus ini
disebut dalam ayat 17 surah Lukman yang bermaksud:
“Wahai anakku,
tegakkanlah solat dan suruhlah manusia
untuk berbuat kebajikan dan cegahlah
daripada perbuatan mungkar serta bersabarlah kamu
dalam menghadapi setiap musibah yang menimpamu.
Sesungguhnya semua itu adalah
masalah utama (yang perlu diambil berat).”
Dalam tempoh permulaan
hendaklah mengajak dan menasihati anak
untuk melakukan ibadah dalam bentuk yang lembut.
Jika anak itu enggan atau malas melakukan solat, maka
ajakan dan nasihat hendaklah bersifat keras dan jika perlu
hendaklah dengan pukulan ringan sebagai usaha untuk menakutkannya.
Metod ini digariskan Nabi Muhammad SAW
dalam hadis riwayat Daud yang berbunyi:
“Perintahkan
anak-anakmu untuk mengerjakan solat
ketika umurnya meningkat tujuh tahun
dan pukullah dia apabila enggan mengerjakannya
pada waktu usianya meningkat 10 tahun. "
Apabila menyebut mengenai ibadat khusus,
sudah pasti ia meliputi masalah taharah (bersuci),
solat, zakat, puasa dan haji. Membiasakan anak
untuk melakukan taharah (bersuci) sebagai syarat
melakukan solat adalah perkara yang sangat baik.
Hikmahnya agar membiasakan anak untuk selalu bersih dan sihat.
Membiasakan anak untuk melakukan solat lima waktu iaitu
solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak bererti
menanam kesedaran pada mereka untuk berdisiplin terhadap
waktu sehingga mereka tidak mudah mensia-siakan waktu.
Anak yang sudah terbiasa dengan solat, pasti akan segera
menunaikan solatnya apabila tiba waktu solat walaupun
kemudiannya akan disambung dengan bermain.
Dalam tempoh ini hingga anak berumur 12 tahun,
pertumbuhan dan perkembangan fizikal dan pemikirannya
semakin matang. Namun pada masa remaja iaitu
masa peralihan antara masa kanak-kanak dan masa dewasa,
mereka akan mengalami pertumbuhan yang cepat segala bidang.
Mereka bukanlah lagi kanak-kanak, baik bentuk badan, sikap,
cara berfikir dan bertindaknya. Tetapi mereka juga bukanlah
orang dewasa yang sudah matang.
Masa ini dinamakan zaman remaja iaitu
bermula kira-kira umur 13 tahun
sehinggalah berakhir kira-kira umur 21 tahun.
Dalam tempoh sembilan tahun ini
anak-anak itu sebenarnya tidak ubah
sebagai jambatan penghubung antara masa tenang
yang selalu bergantung kepada pertolongan dan perlindungan ibu bapa
dengan masa berdikari, bertanggungjawab dan berfikiran matang.
Justeru dalam tempoh berkenaan
perlu mendekati mereka, mengambil peduli hal mereka
dan peka terhadap perubahan yang berlaku ke atas mereka.
Jangan mengambil remeh persoalan iman yang patut ditanam
dalam jiwa mereka agar mereka mudah melaksanakan ketaatan
kepada Allah dan menjauhi larangan Allah SWT. Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan