Allah
tenggelamkan kaum Nabi Nuh
FIRMAN Allah SWT:
Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka,
mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka,
maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka
selain dari Allah.
Nuh berkata:
Ya Tuhanku,
janganlah Engkau biarkan seorangpun
di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi.
Sesungguhnya
jika Engkau biarkan mereka tinggal,
nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu,
dan mereka tidak akan melahirkan selain anak
yang berbuat maksiat lagi sangat kafir.
Ya Tuhanku! ampunilah aku, ibu bapaku,
orang yang masuk ke rumahKu dengan beriman
dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan.
dan janganlah Engkau tambahkan
bagi orang-orang yang zalim itu
selain kebinasaan.
(Nuh: 25-28)
Mukadimah
Sesudah Allah SWT menerima laporan dan pengaduan Nabi Nuh a.s,
Allah menimpakan mereka dengan peristiwa
banjir besar dan azab sebagai balasan.
Ketika itu mereka tidak menemui sesiapa pun
yang mampu mencegah kedua-duanya itu daripada mereka.
Kemudian, Allah SWT memberitahu doa Nabi Nuh a.s
terhadap kaumnya dan memberi alasan terhadap doa ini
bahawa mereka telah menyesatkan manusia dan jika mereka
berketurunan tentu mereka akan melahirkan orang yang kafir dan derhaka.
Lalu Nabi Nuh a.s berdoa untuk dirinya,
untuk ibu bapanya dan juga untuk orang mukmin lelaki dan perempuan
yang menaiki kapalnya supaya diberi keampunan. Baginda kemudiannya
mendoakan kaumnya agar ditimpa celaka dan kebinasaan.
Firman Allah SWT:
" Disebabkan kesalahan-kesalahan mereka,
mereka ditenggelamkan lalu dimasukkan ke neraka,
maka mereka tidak mendapat penolong-penolong bagi mereka
selain daripada Allah. "
Ibn Kathir berkata:
" Disebabkan banyaknya dosa yang mereka lakukan,
penolakan, serta sikap kekufuran yang berterusan dan juga
penentangan mereka terhadap rasul mereka, maka mereka
dipindahkan daripada aliran laut ke api neraka yang sangat panas.
Dan tiada siapa pun yang dapat menolong mereka
daripada azab Allah SWT. "
Syed Qutub berkata:
"Dengan sebab kesalahan, dosa dan maksiat
mereka ditenggelamkan dalam banjir dan kemudian
dimasukkan ke dalam neraka. "
Kata-kata kemudian di sini ada tujuannya kerana
masuknya mereka ke dalam neraka adalah bersambung
dengan tenggelamnya mereka di dunia hanya dipisahkan
oleh satu masa yang pendek dan tidak wujud dalam perhitungan Allah SWT.
Ia juga memberi maksud azab kubur dalam tempoh pendek
antara dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT:
"Nuh berkata:
Ya Tuhanku,
janganlah Engkau biarkan seorangpun
di antara orang-orang kafir itu tinggal di atas bumi. "
Ad-Dahak berkata:
" Ia suatu tempat tinggal."
As-Suddi berkata:
" Beberapa tempat tinggal. "
Al-Mawardi berkata:
"Ulama berselisih pendapat berkenaan
dengan sebab kenapa Nabi Nuh berdoa
terhadap kaumnya sendiri kepada dua pendapat:
Tatkala turunnya ayat kepadanya firman Allah yang bermaksud:
Tidak beriman dari kaummu kecuali mereka
yang telah ditakdirkan beriman menyebabkan beliau berdoa
ke atas mereka. Inilah pendapat Qatadah.
Seorang lelaki daripada kaumnya mendukung anak kecilnya
dan lalu berhampiran Nabi Nuh, kemudian mewasiatkan
kepada anaknya seraya berkata:
Jaga-jaga kamu dari lelaki ini kerana ia menyesatkan kamu.
Sebaliknya budak tersebut berkata:
Wahai ayahku, turunkanku di sini.
Selepas itu ia membaling batu kepada Nabi Nuh
sehingga luka mukanya. Ini menyebabkan Nabi Nuh cukup marah
dan berdoa terhadap mereka.
Firman Allah SWT:
" Sesungguhnya
jika Engkau biarkan mereka tinggal,
nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hamba-Mu
dan mereka tidak akan melahirkan selain anak
yang berbuat maksiat lagi sangat kafir. "
Ibnu Kathir berkata:
"Sesungguhnya jika Engkau
membiarkan seseorang daripada mereka hidup,
nescaya dia akan menyesatkan hamba-hamba-Mu
pada generasi yang akan datang. "
Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan,
seorang lelaki dari mereka berjalan
bersama anaknya menuju Nabi Nuh a.s.
Lalu dia mengatakan kepada anaknya:
"Hati-hatilah dengan orang ini,
kerana dia seorang pendusta.
Dan ayahku pun pernah memberikan wasiat
seperti ini kepadaku."
Kemudian yang tua mati dan digantikan oleh yang muda
yang juga hidup dalam keadaan seperti itu.
Selepas Nabi Nuh a.s mendoakan terhadap orang kafir itu,
kemudian dia pun berdoa untuk dirinya,
ibu bapanya dan untuk orang yang beriman lelaki dan perempuan
agar mereka dikurniakan pengampunan.
Firman Allah SWT:
" Ya Tuhanku!
ampunilah aku, ibu bapaku,
orang yang masuk ke rumahku dengan beriman
dan semua orang yang beriman laki-laki dan perempuan.
dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang yang zalim itu
selain kebinasaan. "
Ad-Dahak berkata:
" Iaitu Nabi Nuh a.s. selalu mendoakan
setiap orang yang masuk ke dalam rumahnya. "
As-Suddi berkata: Iaitu hancur dan binasa.
Mujahid berkata: Benar-benar rugi dunia dan akhirat.
Syed Qutub berkata:
Doa Nabi Nuh a.s. memohon Allah SWT
mengampunkan dosanya merupakan adab sopan kenabian
yang mulia di hadapan Allah SWT.
Seorang hamba atau manusia tidak sempurna
dan selalu melakukan kesilapan.
Kesedaran yang tidak memungkinkan masuk ke syurga
kecuali jika mendapat limpah kurnia-Nya
seperti yang ditegaskan oleh Nabi SAW.
Itulah istighfar Nabi Nuh a.s. yang telah berdakwah kepada kaumnya
yang derhaka dan berdosa dan menolak ajarannya dengan penuh keangkuhan.
Baginda memohon keampunan setelah beliau berjuang
dan menempuh kesulitan sekian lama.
Beliau memohon keampunan untuk ibu bapanya
yang merupakan kebaktian kepada orang tuanya
yang mukmin mengikut apa yang kami faham daripada doa tersebut.
Ini kerana andainya kedua orang tua itu
bukan orang mukmin tentulah Allah SWT menegurnya ketika Allah
menegur saat ia merayu tentang anaknya yang kafir tenggelam
bersama keegoannya sewaktu peristiwa banjir besar
seperti yang telah diperjelaskan (dalam surah Hud).
Doanya memohon keampunan kepada mereka
yang masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan beriman
merupakan kebaktian seorang mukmin terhadap mukmin yang lain.
Tujuan mengkhususkan pengampunan itu
kepada orang-orang yang masuk ke dalam rumah baginda
dengan keadaan beriman supaya mereka bersama
dalam bahtera yang dibina oleh baginda.
Doa baginda yang meliputi sekalian orang mukmin lelaki dan perempuan
merupakan kebaktian seorang mukmin terhadap seluruhnya
meliputi semua zaman dan tempat.
Inilah rahsia yang mengkagumkan terdapat dalam akidah Islam
iaitu ikatan kukuh walaupun mereka dipisahkan oleh zaman dan tempat.
Inilah rahsia yang disampaikan Allah
dalam akidah hati seorang muslim.
Penutup
Seruan Nabi Nuh a.s terhadap kaumnya
agar beriman dan merangkumi:
Mereka diminta agar meninggalkan dosa.
Jika mereka melakukan yang demikian,
sudah tentu Allah SWT akan memperbanyakkan
harta dan anak-anak mereka.
Memerhatikan penciptaan langit, bumi, sungai dan lautan.
Memerhatikan penciptaan manusia bahawa
dia diciptakan di bumi sebagaimana diciptakannya
tumbuh-tumbuhan dan bumi itu ditundukkannya
sehingga dia boleh bertindak di bumi ini apa yang dia sukai.
Kekafiran kaum Nabi Nuh a.s
dan hukuman yang dikenakan kepada mereka
semasa di dunia dan di akhirat.
Marilah kita mengambil suri teladan kisah Nabi Nuh
dan perjuangannya dalam menyebarkan risalah Allah SWT
walaupun dipukul badai kemarahan dan kemurkaan kaumnya
tetapi beliau tetap istiqamah dalam menjunjung titah perintah Allah SWT.
Semoga semangat Nabi Nuh dapat dijelmakan
dalam jiwa pendakwah Islam untuk menyebarkan agamanya. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan