Kongsi kenikmatan korban
HARI ini umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha iaitu antara perayaan terbesar dan penting dalam kalendar Islam. Aidiladha adalah perayaan istimewa kerana ia hari memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS dalam melaksanakan perintah Allah SWT.
Jadi, sempena nikmat umur yang dianugerahkan Allah SWT, mari kita mengambil iktibar dan semangat sirah pengorbanan Rasul.
Bagi saya, sambutan Aidiladha kali ini lebih bermakna kerana sudah dua minggu berada di Tanah Suci mengerjakan ibadat haji dengan perasaan bercampur baur.
Namun yang nyata, perasaan gembira bercampur teruja mengatasi segala-galanya kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda.
Namun, usia bukan faktor yang dapat menyekat perasaan saya kerana terselit juga perasaan terharu dan hiba, apabila mengenangkan keinginan mengerjakan haji dimakbulkan Allah SWT.
Dalam masa sama, terselit persoalan sama ada saya mampu membalas segala nikmat dianugerahkan Allah.
Malah, sepanjang ‘menumpang’ di tanah suci, ada ketikanya saya kagum melihat betapa teguh dan kukuhnya keadaan Kaabah daripada ancaman manusia yang menyekutukan Allah sejak ribuan tahun lamanya.
Saya juga selalu bermuhasabah apabila melihat jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia, tidak kira muda mahupun tua, berkumpul dan bersesak di tanah suci hanya untuk memenuhi tuntutan Islam ini.
Ada yang berjalan, ada juga yang berlari, malah ada juga yang disorong dengan kerusi roda, sekali gus memberikan saya gambaran kecil suasana di Padang Mahsyar kelak. Entah bagaimana nasib kita di sana nanti.
Situasi ini mengingatkan saya kepada firman Allah SWT surah Al-Hajj, ayat 27 bermaksud:
“Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
Berbeza waktu dihidupkan di Padang Mahsyar, hanya darjat keimanan serta takwa akan menentukan keadaan seseorang itu sewaktu menemui Allah sama ada dalam keadaan berlari, berjalan, merangkak atau dengan keadaan mengaibkan di sana nanti. Nauzubillah! Saya ingin mengingatkan diri saya dan pembaca supaya sentiasa bermuhasabah terhadap sesuatu perkara yang kita lakukan di atas muka bumi Allah ini. Jangan asyik menongkat langit mengejar kehidupan dunia dan melupakan kehidupan akhirat.
Kerana sesungguhnya kehidupan akhirat adalah kehidupan sebenar dan tiada pengakhiran. Itu adalah pasti.
Walaupun sebelum ini banyak kali saya ke luar negara atas urusan tertentu, sebenarnya ini pengalaman pertama saya menyambut Aidiladha di luar tradisi rakyat negara kita.
Yang pasti, cara sambutannya memang berbeza tetapi kekal dengan semangat ibadah Qurban yang sama.
Maha suci Allah yang mencipta manusia dalam keadaan rupa paras dan taraf kehidupan yang berbeza-beza.
Allah juga mencipta haiwan dan tumbuh-tumbuhan sebagai rezeki untuk manusia. Jika kita buka minda, tidak ada satu pun kejadian ciptaan Allah itu diwujudkan dengan sia-sia tanpa manfaat.
Jika manusia mempunyai asas keimanan kukuh, mereka akan menjadikan ciptaan Allah ini sebagai wasilah untuk sampai kepada-Nya.
Ini sebagaimana dinyatakan dalam surah Ali-Imran, ayat 191 bermaksud:
“(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” Allah menentukan takdir sebahagian manusia yang mempunyai harta banyak, tetapi sebahagiannya lagi kurang berharta. Namun, Allah ciptakan ibadah korban ke atas haiwan ternakan seperti lembu dan unta sebagai ‘bonus’ bagi mereka yang mahu mencari jaminan kehidupan akhirat.
Ini kerana dengan melaksanakan ibadah korban, ia menjadi petunjuk Allah SWT mahu hamba-Nya berkongsi kenikmatan dunia supaya dapat dinikmati bersama-sama mereka yang kurang bernasib baik.
Ini disokong firman Allah SWT menerusi surah al-Hajj, ayat 36, bermaksud:
“Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”
Begitu indah Islam memelihara hak setiap penganutnya. Diciptakan manusia daripada pelbagai jenis dan rupa, namun akhirnya keimanan dan ketakwaan yang menjamin kehidupan bahagia di akhirat. Apalah guna kaya di dunia sementara tetapi muflis di dunia abadi.
Namun begitu, tidak ramai menyedari betapa besarnya fadilat ibadah korban. Namun, saya yakin kita sekurang-kurangnya pernah mendengar kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Nabi Ibrahim mendapat wahyu daripada Allah untuk melakukan penyembelihan terhadap Nabi Ismail melalui beberapa siri mimpi ketika di Mina. Hinggalah terakam dialog di antara Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam surah As-Saffat ayat 102, bermaksud:
“Maka ketika anaknya itu sampai (pada umur yang mencukupi) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka berikanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar.”
Lantas dengan hati dan perasaan yang tidak berbelah bagi kerana keimanan dan ketakwaan tinggi pada Allah, Nabi Ibrahim melaksanakan perintah korban terhadap Nabi Ismail hinggalah pada saat akhir Allah menukarkan Nabi Ismail kepada kibas sebagai ganjaran ketaatan melaksanakan tuntutan Allah.
Alhamdulillah, pada kali ini saya diberi kesempatan untuk berada di tempat berlakunya kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Di Tanah Suci ini jugalah berlakunya kisah terjadinya telaga air zam zam.
Semangat inilah yang ingin saya kongsi bersama jemaah yang bakal menyertai rombongan umrah saya tahun depan. Insya-Allah, bersama Persada Oasis Travel & Tours, peserta akan mendapat lebih daripada sekadar umrah.
Mohd Hassan Adli Yahaya
Kalam Imam Muda
Tiada ulasan:
Catat Ulasan