Hijrah membina penghayatan Islam
AHAD ini umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.
Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.
Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.
Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.
Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud,
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.
(Yusuf: 111)
Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah.
Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan,
"Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".
Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.
Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).
Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.
Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.
Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.
Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan