Pada  awal abad yang ketujuh Masehi, masyarakat dunia berada di pintu   kehancuran. Kuasa dunia pada abad tersebut yang terdiri dari Kerajaan   Empayar Rom (509SM-453M) dan Kerajaan Empayar Farsi (700SM-641M) telah   menjunam jatuh akibat rebutan kuasa dan perpecahan di sana sini.   Masyarakat Arab yang menghuni Semenanjung Tanah Arab lebih teruk   menghadapi keruntuhan akibat daripada keruntuhan moral dan sifat taksub   kepada kabilah dan puak. Dunia dalam bahaya kerana keadaan  masyarakatnya  tidak stabil lantaran kehilangan tonggak pegangan dan  moral. Allah Maha  Adil dan Maha Penyayang kerana tidak membiarkan  masyarakat manusia  terus hancur dan musnah. Allah s.w.t mengutuskan  seorang rasul-Nya yang  terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
 
 
 
  Dalam mengimbau kembali peristiwa tersebut, Allah s.w.t menjelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
 
 
 
  'Dan  berpegang teguhlah kepada Tali Allah (agama  Islam) dan janganlah kamu  bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah  kepada kamu ketika kamu  bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu) lalu  Allah menyatukan antara  hati kamu (hingga kamu bersatu padu dengan  nikmat Islam), maka  menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang  Islam yang  bersaudara. Kamu dahulu berada di tepi jurang neraka  (disebabkan  kekufuran) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu  (melalui Islam).  Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat  keterangan-Nya  supaya kamu mendapat petunjuk hidayat-Nya' 
 (Ali ‘Imran:103)
 
 
 
  Ayat  tersebut antara lain menjelaskan bahawa keadaan manusia yang   hampir-hampir rosak binasa dan akan menerima akibat yang lebih buruk di   akhirat telah diselamatkan menerusi pengutusan rasul untuk memandu   mereka ke jalan yang benar dan akhirnya mereka terselamat. Bagi mengubah  masyarakat supaya berada dalam keadaan selamat, Rasulullah  s.a.w telah  berhempas pulas mengorbankan segala apa yang ada dan ini  diikuti pula  oleh sahabat-sahabat baginda yang setia. Dalam tempoh 23  tahun, usaha  tersebut dicurahkan oleh baginda dan akhirnya mencapai  matlamat iaitu  berjaya mengubah dan menyelamatkan masyarakat dunia dari  kehancuran dan  kerosakan.
 
 
 
 
   Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w membuat perbandingan tentang usahanya itu yang bermaksud:
 
 
 
  'Antara  aku dan kamu diumpamakan seperti seorang  lelaki yang menyalakan api.  Maka datanglah segala unggas dan  binatang-binatang kecil yang  berterbangan lalu jatuh ke dalamnya,  sedangkan lelaki itu berusaha  untuk menahan benda-benda tersebut dari  jatuh ke dalamnya. Aku memegang  dengan kuat ikatan pinggang kamu supaya  tidak jatuh ke dalam api,  sedangkan kamu terlepas dari peganganku.'
 
 
 
  Hadith  ini menggambarkan keadaan manusia yang menuju kepada  kebinasaan  sedangkan mereka tidak mengetahuinya. Manakala Rasulullah  s.a.w pula  berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka agar  terlepas dari  kebinasaan itu. Akhirnya masyarakat Islam di Semenanjung  Tanah Arab  telah dapat mencabar kuasa dunia iaitu Rom dan Farsi  seterusnya muncul  selepas itu sebagai sebuah masyarakat yang mengambil  alih kuasa dunia.
 
 
 
  Rasulullah  s.a.w dan para sahabat r.a berjaya mengubah masyarakat  dari sudut  kepercayaan, sikap, moral, cara berfikir dan segala-galanya,  termasuk  perubahan pengorbanan daripada tertumpu kepada sesama manusia  kepada  tertumpu kepada Allah. Masyarakat manusia berjaya dipindahkan  dari dua  keadaan yang perbezaannya sangat jauh.
 
 
 
  Dalam  menyusuri perkembangan sejarah, selepas kejayaan kali pertama  maka  masyarakat Islam mengharungi jatuh bangun dalam pentas pergolakan  dunia  dan ia berkait rapat dengan komitmen mereka terhadap agama Islam  yang  suci. Era kemalapan umat Islam kali terakhir berlaku pada awal abad   ke-20. Sejak kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki pada tahun 1924,   masyarakat Islam semakin terumbang-ambing di gelanggang dunia. Kini   masyarakat Islam masuk ke era kelemahan dan keruntuhan yang menyeluruh.   Masyarakat Islam yang berpecah-pecah berdasarkan kawasan dan negara,   menjadi sebuah masyarakat yang sentiasa dicabar dan dihina di mana-mana.   Menjelang abad ke-21, masyarakat Islam diganyang di merata-rata  seperti  di Yugoslavia, Iraq, Palestin, Kosovo dan di seluruh pelosok  dunia.
 
 
 
 Apa  yang berlaku sekarang jelas sebagaimana yang diceritakan dalam sebuah  hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud:
 
 
 
  'Hampir-hampir  seluruh umat mengeliling kamu  sepertimana orang-orang yang kelaparan  mengelilingi hidangan mereka.'  Ada yang bertanya, 'Apakah itu  disebabkan bilangan kita kurang?' Nabi  s.a.w menjawab: 'Bilangan kamu  pada ketika itu ramai tetapi seperti  buih. Allah mencabut dalam hati  seteru kamu perasaan gerun terhadap kamu  dan meletakkan perasaan  al-wahn dalam hati kamu.' Ada yang bertanya:  'Apa al-wahn itu wahai  Rasulullah?' Jawab Baginda: 'Cintakan dunia dan  bencikan mati.'
 
 
 
  Hadith  ini jelas menunjukkan bahawa sampai suatu masa orang-orang  Islam  samalah seperti satu hidangan yang dikelilingi oleh sekumpulan  orang  yang lapar lagi gelojoh makan. Tiada sedikitpun perasaan bimbang  dalam  hati orang bukan Islam untuk melakukan apa sahaja yang disukai  terhadap  orang-orang Islam kerana mereka sangat lemah.
 
 
 
  Ada  bermacam-macam jawapan apabila ditanya sebab kelemahan masyarakat   Islam sekarang. Ada yang berpendapat ia berpunca dari kelemahan politik   dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Ada yang berpendapat   kerana kelemahan ekonomi, kelemahan pendidikan dan pencapaian ilmu   ataupun kerana kelemahan dalam pencapaian sains dan teknologi. Ada yang   memberikan alasan kerana kelemahan iman atau kerana tidak mengikut   arahan agama dan bermacam-macam lagi.
 Namun  berdasarkan hadith itu tadi, jelas menunjukkan bahawa sebab  kelemahan  masyarakat Islam ialah hilangnya semangat berkorban dari dalam  diri  mereka. Umat Islam sudah tidak sanggup berkorban untuk tidak  cintakan  dunia atau berkorban untuk tidak takut mati. Mereka cintakan  dunia  sehingga sanggup memilihnya dengan membelakangkan kepentingan  agama.  Mereka juga takutkan mati apabila dituntut oleh agama bangun   memperjuangkan sesuatu kebenaran. Inilah sifat-sifat negatif yang   menjangkiti umat Islam.
 
 
 
  Roh  Ma’al Hijrah memerlukan setiap umat Islam berkorban untuk  berpindah  daripada bentuk negatif yang ada dalam diri mereka kepada  bentuk-bentuk  positif yang selaras dengan Islam. Berkorban ataupun jihad  perlu  tersemai di dalam jiwa masyarakat Islam sama ada dari sudut  pengertian  mahupun sikap.
 
 
 
  Masyarakat  Islam kini agak jauh terpesong dari landasan agamanya.  Sebagai contoh,  sungguhpun agama menuntut agar umatnya menuntut ilmu,  tetapi kenyataan  yang ada, sehingga kini sebahagian besar masyarakat  Islam adalah buta  huruf. Islam juga menuntut umatnya bersatu padu. Namun  realiti masa  kini umat Islamlah yang paling ramai berpecah belah.  Demikianlah juga,  Islam menuntut umatnya supaya rajin, berdisiplin dan  menjaga masa  tetapi orang Islamlah yang kurang berusaha, tidak  berperaturan dan suka  membuang masa.
 
 
 
  Jika  dilihat kepada dasar-dasar ajaran Islam itu sendiri, peluang  orang  Islam untuk maju dan mulia dalam dunia masa kini amatlah cerah.  Ini  kerana orang Islam mempunyai aset yang mencukupi dalam rangka untuk   menempah kemajuan iaitu dorongan dari ajaran Islam dan aset material.
 
 
 
  Aset  galakan dan dorongan agama ini dapat dilihat dengan jelas di  mana  Islam sangat mementingkan ilmu dan mewajibkan ke atas setiap  umatnya  menuntut ilmu. Agama juga menuntut orang Islam sentiasa membina   kekuatan dan kemuliaan. Kewajipan ini mendorong kuat umat Islam berusaha   mencapai kekuatan dan kemuliaan pada setiap masa dan ketika. Ajaran   Islam juga sangat mementingkan pegangan hidup yang mantap dan akhlak   mulia. Islam juga mewajipkan umatnya menjalankan aktiviti kehidupan   dengan bersih, ikhlas dan amanah.
 
 
 
  Oleh  itu, galakan-galakan seperti ini sangat penting dan menjadi  modal yang  besar kepada masyarakat Islam dalam mengembalikan keagungan  dan  kegemilangan zaman emas umat Islam.
 
 
 
  Di  samping itu, umat Islam memiliki aset material yang besar dan  utama  yang tidak dimiliki oleh kuasa kuffar. Petroleum, gas asli, bahan   galian, sumber air, hasil hutan, bahan makanan, bilangan penganut dan   banyak lagi adalah sumber kekuatan umat yang sentiasa menjadi bahan   rebutan dan eksploitasi oleh golongan kuffar. Dengan adanya aset-aset   tersebut dan manfaat secukupnya maka tidak mustahil masyarakat Islam   menjadi satu masyarakat yang kuat dan maju sebagaimana yang pernah   ditempa pada suatu ketika dahulu.
 
 
 
  Perpindahan  Rasulullah s.a.w dan para sahabat r.a dari kota Mekah ke  Madinah dan  sebelumnya perpindahan sesetengah sahabat dari Mekah ke  Habsyah,  merupakan pembinaan langkah baru sebagai persiapan menghadapi  cabaran  yang bakal tiba secara terus menerus. Hijrah bukanlah asing  dalam Islam  dan ia adalah sebahagian daripada Islam. Hijrah kerana  menuntut ilmu,  mencari kebenaran, berjihad, berdakwah, mencari nafkah,  kerana  perniagaan dan bermacam-macam hijrah lagi adalah tuntutan dan  asas  ajaran Islam itu sendiri. Untuk terus maju dan mencapai kemuliaan,  masyarakat Islam tidak boleh  berpeluk tubuh dan hanya menyerah kepada  takdir. Umat Islam dahulu telah  berjihad secara habis-habisan, maka  sebab itulah mereka berjaya  meletakkan Islam di tempat yang mulia dan  sepatutnya. Kini giliran kita  memberi sumbangan kepada agama yang suci  ini agar ia terus berkembang  dan dihormati. Sesungguhnya bumi ini dan  segala apa yang ada padanya  adalah hak kepunyaan umat Islam. Di tangan  orang Islamlah selayaknya ia  harus ditadbirkan.
 
 
 
 Firman Allah s.w.t yang maksudnya:
 
 
 
  'Dan  demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam  kitab-kitab yang Kami  turunkan sesudah ada tulisannya pada Luh Mahfuz,  bahawasanya bumi ini  akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh' 
 (al-Anbiya’:105)
 
 
 
  Ayat  tersebut menjelaskan kepada orang Islam tentang hak mereka  mewarisi  pentadbiran bumi ini, tetapi dengan syarat bahawa mereka  terdiri dari  golongan orang-orang yang soleh. Jika syarat tersebut  luput, maka  mereka tidak berhak apatah lagi layak mendapatkannya. Bagi melepaskan  diri dari kongkongan kelemahan dan kehinaan, maka umat  Islam perlu  melihat hijrah dalam pengertiannya yang luas iaitu perubahan  diri  menuju kepada kegemilangan di dunia dan di akhirat. Untuk itu maka   langkah yang perlu diatur mestilah mengandungi kefahaman yang jelas dan   gerak kerja yang teratur dan betul.
 
 
 
  Perubahan  ke arah kemajuan dan kemuliaan ummah bermula dengan  pengisian  kefahaman bahawa Islam adalah agama yang agung dan mulia maka  umatnya  juga jelas adalah umat yang agung dan mulia. Namun ia hanya  dapat  dicapai menerusi kekuatan spiritual, moral, fizikal, dan daya  cipta  serta kesatuan umat itu sendiri. Masyarakat Islam juga wajib  memahami  bahawa segala ilmu yang baik dan berfaedah kepada manusia  adalah  termasuk ke dalam ilmu yang disukai dan dituntut oleh Islam. Oleh  itu,  menuntut ilmu yang bermanfaat adalah satu kewajipan dan dikira  berdosa  mereka yang mengabaikannya. Masyarakat juga perlu memahami  bahawa  mereka merupakan pewaris yang sah kepada kepimpinan bumi ini.  Tanpa  pertunjuk dan panduan hidup dari Allah Tuhan semesta alam,  mustahil  kaum lain yang mensyirikkan Allah s.w.t layak mentadbir bumi  yang  diciptakan-Nya.
 
 
 
  Di  samping kefahaman, beberapa gerak kerja juga harus diatur oleh   masyarakat Islam untuk tujuan kemajuan dan kemuliaan Islam iaitu   menceburkan diri dalam pelbagai kajian dan penemuan dengan lebih kuat   daripada masyarakat lain, asalkan ianya berfaedah dan tidak bercanggah   dengan batas-batas syarak. Masyarakat Islam juga perlu bergerak dan   bekerja secara terbuka tanpa terikat dengan kongkongan pemikiran yang   sempit dan merugikan. Dan juga perlu menghidupkan dan menghayati   semangat jihad iaitu bersungguh-sungguh dan berkorban dalam mencapai   cita-cita murni yang bertepatan dengan Islam. Umat Islam tidak dapat   tidak mesti memperkukuhkan tonggak kekuatan yang terdiri dari kekuatan   akidah, fizikal dan material. Mereka juga perlu mempertingkatkan usaha   melahirkan masyarakat yang soleh dan seimbang dari segi rohani dan   jasmani kerana ia menjadi syarat mewarisi teraju kepimpinan bumi ini.
 
 
 
  Masyarakat  Islam yang kian pudar dan kian hilang kekuatan tidak boleh  dibiarkan  terus berada dalam keadaan seperti ini. Masyarakat Islam pada   hakikatnya mempunyai aset dan sumber kekuatan yang perlu digerakkan dan   dimanfaatkan demi kemajuan dan kemuliaan umat. Kita mampu berbuat   demikian jika kita mahu kerana bekalan sudah tersedia. Jika generasi   awal umat Islam boleh melakukannya maka mengapa kita tidak boleh.   Sesungguhnya Ma’al Hijrah merupakan titik tolak yang paling sesuai ke   arah itu.