Mencari malam al-qadar
ADA satu malam yang kedatangannya sangat dinantikan oleh umat Islam pada setiap bulan Ramadan. Malam itu disebut Lailatulqadar.
Al-Quran menyebutnya sebagai malam yang penuh berkat (al-Dukhan: 3)
dan malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan (al-Qadr: 3).
Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam kerana pada malam
tersebut turun rahmat dan kebaikan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya.
Biasanya, dalam menanti malam tersebut, umat Islam melakukan ibadat
seperti solat malam atau membaca al-Quran untuk memperoleh
Lailatulqadar.
Memperoleh Lailatulqadar
Mendapatkan Lailatulqadar merupakan pengalaman kerohanian dan individual.
Ulama mengatakan bahawa tidak semua orang berjaya mendapatkan malam
1,000 bulan ini. Dengan kata lain, Lailatulqadar tidak boleh ditemui
begitu sahaja iaitu dengan hanya berjaga pada malam-malam ganjil pada 10
malam terakhir bulan Ramadan.
Ini kerana berjumpa dengan Lailatulqadar merupakan kemuncak prestasi
dari segi kerohanian setelah melakukan banyak kegiatan kerohanian
sepanjang bulan Ramadan.
Nisfu Syaaban
Sebahagian ulama percaya bahawa malam Lailatulqadar tidak hanya ada pada bulan Ramadan tetapi juga pada bulan Syaaban.
Menurut mereka, Lailatulqadar turun pada malam Nisfu Syaaban
(pertengahan bulan Syaaban). Malam yang juga biasa dirayakan oleh
kebanyakan umat Islam di seluruh dunia.
Pada malam itu turun beberapa kebaikan daripada Allah SWT seperti syafaat, keampunan dan pembebasan daripada azab.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tatkala datang malam Nisfu
Syaaban, Allah SWT memberikan keampunan-Nya kepada penghuni bumi,
kecuali bagi orang yang syirik dan berpaling daripada-Nya."
(riwayat
Ahmad)
Waktu Lailatulqadar
Kebanyakan ulama dan orang Islam percaya bahawa Lailatulqadar berlaku
pada bulan Ramadan, khususnya dalam 10 malam terakhir pada bulan ini.
Tidak seorang pun yang tahu bila sebenarnya Lailatulqadar akan berlaku.
Namun, daripada beberapa riwayat diketahui bahawa Nabi Muhammad SAW
memberikan beberapa tanda mengenai akan terjadinya malam penuh berkat
itu. Seperti adanya hawa yang sejuk, suasana damai dan cuaca cerah.
Lailatulqadar dalam al-Quran
Al-Quran menyebut tentang Lailatulqadar dalam surah al-Dukhan ayat
3-4 dan surah al-Qadr ayat 1-5. Dalam surah al-Dukhan, al-Quran
menggunakan istilah malam yang penuh berkat, malam ketika semua urusan
manusia seperti hidup, mati, rezeki dan musibah dijelaskan Allah SWT
dengan penuh hikmah.
Sementara dalam surah al-Qadr pula Allah SWT menyebut Lailatulqadar
sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Malam ketika Jibril
dan para malaikat lain turun ke bumi dan malam yang penuh kesejahteraan
hingga ke pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan