Syaaban ruang perbaiki diri,
pertingkat amalan menyambut Ramadan
Ustaz Zaman
Apakah kita sudah bersedia bertemu Ramadan yang sangat ditunggu-tunggu sekalian umat Islam? Syaaban adalah masa untuk kita mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai persediaan dan latihan menyambut Ramadan.
Sesungguhnya Syaaban ruang kesempatan untuk memperbaiki diri menjelang tibanya Ramadan, medan untuk karnival ibadat sedunia. Jika Rejab mencatatkan sejarah istimewa iaitu Israk dan Mikraj, Syaaban melakarkan peristiwa pertukaran arah kiblat ketika permulaan kewajipan solat.
" Sesiapa
yang menyebarkan fitnah
dan permusuhan tidak akan ke syurga."
( Riwayat Muslim dari Huzaifah )
Ketika Rasullah SAW berkiblatkan Baitulmaqdis (Masjidil Aqsa), kaum Yahudi menyebarkan propaganda bahawa kebenaran berada di pihak mereka kerana umat Islam sudah meniru agama mereka berkiblatkan Baitulmaqdis.
Ini menyebabkan Baginda SAW merenung jauh bagi memikirkan perkara itu maka turun firman Allah yang bermaksud:
“Sering kali
Kami melihat engkau (wahai Muhammad)
mendongak ke langit memikirkannya,
maka Kami benarkan engkau berpaling
mengadap kiblat yang engkau sukai.
Oleh itu berpalinglah
mengadap Masjidilharam (Makkah)
dan di mana saja kamu berada,
maka hadapkanlah wajahmu ke arahnya.
Sesungguhnya
orang Yahudi dan Nasrani
mengetahui benar akan
kisah perpindahan kiblat ini
adalah perintah dari Allah
dan Allah sekali-kali tidak akan lalai
terhadap apa yang mereka lakukan.”
(Surah al-Baqarah, ayat 44)
Baginda SAW paling banyak mengerjakan puasa sunat pada Syaaban berbanding bulan lain. Walaupun banyak hadis kedudukannya lemah dalam menyatakan fadilat Syaaban, hakikatnya, amalan Baginda SAW menunjukkan Syaaban antara bulan dimuliakan Allah SWT. Jika tiada bulan baik di sisi Allah SWT, masakan ada bulan diharamkan Allah SWT untuk berperang.
Syaaban juga terdapat satu malam yang penting iaitu malam Nisfu Syaaban. Allah SWT sudah memberikan kelebihan dengan keampunan kepada hamba-Nya. Sabda Rasul SAW daripada Abu Hurairah:
“Allah SWT
mengamati makhluk-Nya
pada malam Nisfu Syaaban seterusnya
mengampunkan mereka kecuali
mereka yang syirik dan melakukan permusuhan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Kesempatan yang terhidang pada Syaaban ini haruslah dimanfaatkan sebagai satu usaha untuk melakukan ibadat kepada Allah SWT termasuk puasa dan qiamullail.
Ini ibadat yang diberi keutamaan Baginda SAW. Baginda juga memfokuskan kepada 15 terakhir Syaaban untuk berpuasa sunat. Solat tahajud dan solat taubat haruslah ditekankan khususnya pada malam nisfu.
Ikatan silaturahim mesti disegarkan semula kerana sikap permusuhan akan mengundang sia-sia kepada ibadat kita. Hati mestilah disucikan daripada perasaan benci dan dendam serta melakukan fitnah supaya dapat merasai kemanisan beribadat di bulan Ramadan yang dipenuhi keberkatan.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang menyebarkan fitnah
dan
permusuhan tidak akan ke syurga.”
(Hadis riwayat Muslim dari Huzaifah)
Beristiqamah dalam ibadat juga mestilah dipelihara kerana ia dapat melonjakkan kualiti ibadat walaupun kuantiti ibadat dilakukan dengan kadar sedikit. Munajat keampunan juga haruslah diperbanyakkan kerana dosa dan kesalahan kita semakin bertambah disebabkan semua pancaindera dipergunakan pada setiap masa.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Dan
hendaklah kamu memohon keampunan
kepada Tuhanmu dan hendaklah
kembali taat pada-Nya supaya kamu
mendapat nikmat dan rahmat
di dunia dan akhirat.”
(Surah Hud, ayat 3)
Syaaban bulan tarbiyah untuk mendidik jiwa dengan melakukan ibadat penuh ketaatan dan keikhlasan. Kekuatan yang dijana pada Syaaban akan menghasilkan kesan positif terhadap ibadat Ramadan.
Segala dosa akan terampun jika terdapat unsur kesungguhan dan istiqamah dalam melakukan ibadat. Sifat mazmumah seperti dengki dan khianat akan terhakis dengan amalan kebajikan yang semakin bertambah. Rebutlah peluang Syaaban untuk merealisasikan Ramadan.
Penulis ialah Eksekutif Agama , The New Straits Times Press (NSTP)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan