:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Jumaat, 11 Jun 2010

~:::::Murabbi Cinta, Seorang Nabi.:::::~





MASIHKAH ADA CINTA?

Bertepukkah tanganmu menyambut cinta yang agung itu?

Cintakah kamu kepada Pencinta yang agung itu?

Hati kecil itu tidak mampu berbohong.

Engkau tahu di mana cinta itu di hatimu….

"Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku

lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya

dan anak bahkan sekalian manusia"

[riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]



========




MURABBI CINTA, SEORANG NABI



"Kepalaku!" kata Aisyah.

Baginda
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
dan
Aisyah radhiyallaahu ‘anha
baru sahaja pulang
daripada menziarahi
perkuburan al-Baqi’
lewat malam tadi.

Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.

Baginda menyedarinya.

"Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah.
Oh kepalaku!"
kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Jika suami pening,
tangan isteri yang memicit
banyak mendatangkan rasa lega.

Jika isteri yang sakit,
belaian seorang suami
adalah penyembuh paling berharga.

Tetapi
di malam itu kedua-duanya sakit.
Kepala mereka berat.

"Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah.
Seandainya engkau mati sebelumku,
nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu.
Aku akan mandikan dikau,
kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat
buatmu serta engkau akan kukebumikan!!",
usik sang suami.

"Demi Allah,
aku rasa kalau begitulah kisahnya
pasti selepas itu engkau akan pulang
ke rumahku dan berpesta gembira
dengan isteri-isterimu yang masih hidup!"
si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.

Merajuk.

Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.

Dalam sakit yang luar biasa itu,
baginda masih suami yang hangat
dengan mawaddah.
Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah.
Sempat pula mengusik isteri
yang tidak tentu rasa.



SAKIT YANG BERTAMBAH


Malam itu berlalu
dengan sakit yang tidak
beransur kurang.

Kesakitan itu memuncak
semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam
memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya,
Maimunah radhiyallaahu ‘anha.
Bukan sakit yang sembarangan.
Ia sakit yang menjadi
kemabukan sebuah kematian.
Sakaraat al-Maut!

"Esok aku di mana?
Esok aku di mana?"
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

Dalam sakit yang bersangatan,
Baginda masih ’sedar’
akan tanggungjawab dirinya
berlaku adil
kepada para isteri.

Itulah
ukuran adil seorang mukmin
terhadap isteri-isterinya.
Mengusahakan segala tenaga
yang berbaki untuk tidak
memalit zalim dalam melunaskan
amanah sebagai seorang suami.
Tidak mengambil mudah
hanya dengan alasan
yang remeh temeh untuk
melebihkan seorang isteri
berbanding yang lain.

Itulah juga
ukiran makna bagi sebuah Mawaddah.
Cinta yang bertambah
hasil kesungguhan mengatasi
ujian dan musibah.

Namun
di situlah terselitnya Rahmah.
Sifat belas ihsan
yang terbit daripada hati
yang mengasihi.

"Izinkan aku berhenti bergilir
dengan menetap di rumah Aisyah"
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
meminta izin daripada
para isterinya.

Siapakah
yang pernah membantah
permintaan seorang Rasul.
Namun
Baginda tetap meminta izin
kerana keizinan itu
hakikatnya kekal
bagian seorang isteri.
Tiada isteri yang dipinggirkan.
Hak masing-masing dihormati.
Andaikata
seorang Rasul
boleh meminta izin
menahan giliran
daripada isteri Baginda,
bagaimana mungkin
seorang suami menjadi angkuh
mempertahankan haknya
di hadapan isteri
atau
isteri-isterinya?




HARI-HARI TERAKHIR


Masruq meriwayatkan
daripada
Aisyah radhiyallahu ‘anha:

Tatkala
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering,
kesemua isteri Baginda
berada di sisi.
Tiada seorang pun
yang tercicir antara mereka.
Ketika mereka berhimpun,
anakanda kesayangan
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam,
Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan.
Demi sesungguhnya
cara berjalan Fatimah
tidak ubah seperti ayahandanya,
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

"Selamat datang wahai anakandaku,"
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
dengan suara yang lemah
menjemput Fatimah
duduk di sisinya.

Baginda membisikkan
sesuatu ke telinga Fatimah.

Anakanda itu menangis.

Kemudian
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
membisikkan sesuatu lagi
ke telinga
anak kesayangannya.

Fatimah ketawa.

Apabila
Fatimah bangun
dari sisi ayahandanya,
Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya,
"Apakah yang diperkatakan
oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
hingga menyebabkan
engkau menangis dan engkau ketawa?"

Fatimah menjawab,
"Aku tidak akan
mendedahkan rahsia
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!"

Demi sesungguhnya,
selepas wafatnya
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam,
Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali
soalan yang sama kepada Fatimah,
"Aku bertanyakan engkau
soalan yang engkau berhak
untuk menjawab atau tidak menjawabnya.
Aku ingin sekali
engkau memberitahuku,
apakah rahsia yang dikhabarkan
oleh
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?"

Kata Fatimah,
"Ada pun sekarang,
maka ya,
aku bisa memberitahunya!

"Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
berbisik kepadaku dengan berkata:
Sesungguhnya Jibril selalunya
mendatangiku untuk
mengulang semakan al-Quran
sekali dalam setahun.
Namun
di tahun ini
beliau mendatangiku dua kali.
Tidaklah aku melihat
kelainan itu
melainkan ia adalah petanda
ketibaan ajalku.
Justeru…
bertaqwalah kepada Allah
dan
bersabarlah kamu dengan ketentuan ini.
Atas segala
yang telah ditempuh
dalam kehidupan ini,
sesungguhnya
aku adalah untukmu
Wahai Fatimah!

Aku menangis…

Kemudian
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
berbisik lagi kepadaku dengan berkata:
Apakah engkau gembira
kalau aku khabarkan kepadamu
bahawa
engkau adalah
penghulu sekalian wanita di Syurga?
Dan
sesungguhnya engkau adalah
insan pertama yang akan
menurutiku daripada
kalangan ahli keluargaku!

Aku ketawa"

Sesungguhnya…

Fatimah radhiyallahu ‘anha
benar-benar kembali kepada Allah,
menuruti pemergian ayahandanya
enam bulan selepas kewafatan
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Benarlah
beliau ahli keluarga pertama
Baginda yang pergi.
Dan
benarlah kalam utusan Allah…
sallallaahu ‘alayhi wa sallam!





DETIK SEMAKIN HAMPIR


Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.

Senyuman
yang dilemparkan
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
kepada Abu Bakr dan sahabat
semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi,
benar-benar mengubat rindu mereka.
Namun
para sahabat tidak tahu
bahawa
kerinduan mereka hanya terubat seketika,
dan
mereka akan kembali merindui wajah itu,
buat selamanya.
Senyuman itu
bukan senyuman kesembuhan.
Ia adalah
senyuman perpisahan.

Badan
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
semakin panas.
Sesekali
ada dengusan yang keras
dari nafas kekasih Allah itu
mendepani mabuknya kesakitan
sebuah kematian.

"Laknat Allah
ke atas Yahudi dan Nasrani,
mereka menjadikan
kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!"
bibir Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
masih tidak berhenti
menuturkan pesan-pesan
yang penting buat umat
yang bakal dilambai
perpisahan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha
meneruskan catatannya:

Aku melihat sendiri
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mendepani kematian Baginda.

Kami ketika itu
berbicara sesama kami bahawa
sesungguhnya
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam
tidak akan meninggal dunia
sehinggalah Baginda membuat pilihan
antara Dunia dan Akhirat.
Tatkala
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
semakin gering mendepani kematian,
dalam suara yang serak
aku mendengar
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata:
Aku bersama dengan orang
yang diberikan nikmat oleh Allah
ke atas mereka
daripada kalangan para Nabi,
Siddiqin,
Syuhada’ dan Solihin,
dan
itulah sebaik-baik peneman
yang menemankan aku!

Dan
tahulah kami,
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
telah menyempurnakan
pilihannya itu.

Dalam kegeringan itu,
aku sandarkan tubuh
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
rapat ke dadaku.
Telingaku menangkap bicara lemah
di ambang kematian,
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara:
Allahumma,
ampunkanlah diriku,
rahmatilah aku,
dan
temukanlah aku dengan-Mu,
Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
bersandar di dadaku,
datang adikku,
Abdul Rahman bin Abi Bakr
dengan siwak yang basah di tangannya.
Aku menyedari
yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
merenung siwak itu,
sebagai isyarat yang
Baginda menggemarinya.
Apabila ditanya,
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mengangguk tanda mahukan siwak itu.
Lalu
kulembutkan siwak itu
untuk Baginda dan kuberikan kepadanya.
Baginda cuba untuk
melakukannya sendiri tetapi
ketika siwak yang telah kulembutkan itu
kena ke mulut Baginda,
ia terlepas daripada tangan dan terjatuh…
air liurku bersatu dengan air liur
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam
di detik akhirnya di Dunia ini,
dan
detik pertamanya di
Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air.
Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mencelupkan tangannya dan kemudian
menyapu wajahnya dengan air itu
lalu berkata:
Laa Ilaaha Illallaah!
Sesungguhnya
kematian ini
kesakitannya amat sakit
hingga memabukkan!
Allahumma,
bantulah aku
mendepani
Sakaraat al-Maut ini!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
mengangkat jari kirinya
ke Langit lalu berkata:
Kembalilah
aku kepada Teman yang Maha Tinggi!
Kembalilah aku
kepada Teman yang Maha Tinggi!"

Tangan itu layu.
Jatuh ke dalam bejana.

Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam
terkulai di dada Aisyah.

Pencinta Ilahi
yang rebah di pelukan isteri tercinta.
Melambai pergi ummah yang dirindui.
Pencinta yang agung itu telah mati.
Tetapi
cintanya harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.

Sesungguhnya
Allah dan malaikat-Nya
berselawat kepada Nabi.
Wahai orang-orang yang beriman
berselawatlah kamu kepadanya
serta
ucapkanlah salam sejahtera
dengan penghormatan yang sepenuhnya.
[Al-Ahzaab 33: 56]



Kami rindukanmu.

Murabbi cinta!
Dipetik dari: www.saifulislam.com




Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...