Nazar tak digalak
Secara umumnya hukum nazar adalah harus. Harus bermaksud ia boleh
dilakukan tetapi bukanlah digalakkan seperti amalan sunat yang lain.
Jika seseorang bernazar untuk melakukan sesuatu, maka amalan itu menjadi
wajib bagi dirinya, sedangkan pada asalnya amalan itu tidak wajib.
Beliau wajib menunaikan nazar itu dan jika tidak dapat menunaikan nazar pula akan dikenakan kafarah nazar.
Melafazkan nazar memang mudah tetapi ketika hendak menyempurnakan nazar
kadang-kadang berlaku kekangan tertentu seperti lupa, kesempitan wang,
kesibukan dan sebagainya. Tuntutan menunaikan nazar itu tidak akan
hilang begitu saja, sebaliknya kekal dan terus berlanjutan selagi tidak
dipenuhi atau ditebus dengan kafarah nazar.
Oleh itu adalah lebih baik tidak bernazar. Justeru, ada ulama
yang menghukum makruh bernazar kerana kemungkinan nazar yang tidak
dapat dipenuhi.
Mengikut pandangan ulama, antara sebab nazar tidak digalakkan ialah
kerana mengaitkan amal ibadah dengan keberhasilan sesuatu hajat atau
permohonan.
Contohnya, mengaitkan ibadat puasa dengan kejayaan cemerlang
dalam peperiksaan. Orang yang bernazar hanya akan berpuasa apabila
lulus dalam peperiksaan itu. Jika gagal, dia tidak akan berpuasa
sedangkan ibadah puasa dituntut untuk dibuat sama ada orang yang
bernazar tersebut lulus atau gagal. Ibadat hendaklah dilakukan dengan
penuh tulus ikhlas kepada Allah.
Nazar bukanlah sokongan yang menyebabkan doa dimakbulkan atau
sesuatu hajat akan mendapat perhatian daripada Allah SWT sehingga
seorang perlu meletakkan syarat terlebih dulu untuk membuat permohonan.
Nazar tidak akan mengubah apa-apa, atau dengan kata lain bukanlah
memberi satu nilai tambah dalam berdoa atau berharap. Ini dapat dilihat
daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Janganlah kamu bernazar,
sesungguhnya nazar tidak akan
mengubah sedikitpun ketentuan Allah,
hanya
dapat mengeluarkan seseorang
dari sifat bakhil.”
- HR Muslim.
Seseorang yang bernazar berkaitan harta seperti membuat kenduri dan
sebagainya tentulah akan mengeluarkan belanja untuk tujuan tersebut dan
ini akan mendidiknya untuk mengikis sifat bakhil.
Jika seseorang ingin beramal jariah seperti mengadakan kenduri dan
sebagainya, sebaiknya menggunakan lafaz yang tidak menunjukkan nazar
seperti: “Jika saya berjaya dalam temu duga ini dan ada kelapangan saya
ingin buat kenduri”. Ulama juga sepakat bahawa jika seseorang berniat
saja untuk melakukan sesuatu tanpa melafazkannya, maka ia tidak dikira
sebagai nazar.
Walaupun begitu jika seseorang bernazar dan kemudian menunaikan
nazarnya dengan sempurna maka dia termasuk dalam golongan yang dipuji
oleh Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan