Khutbah Jumaat:
Kepemimpinan berkesan
jana semangat juang ATM
Komitmen kami keyakinan anda yang menjadi tema Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) adalah satu perlambangan bagi membuktikan ATM akan
sentiasa menentukan keamanan dan kedaulatan negara tercinta tetap
terpelihara dengan penuh tanggungjawab.
Menangkis segala bentuk pencerobohan dengan segala kekuatan yang ada biarpun hingga ke titisan darah terakhir. Oleh itu, ATM akan memastikan aspek kesiapsiagaan sentiasa berada di tahap maksimum.
“Dan sediakanlah
untuk menentang mereka
(musuh yang menceroboh)
segala jenis kekuatan
yang dapat kamu sediakan
dan dari pasukan-pasukan berkuda
yang lengkap sedia,
untuk menggerunkan
dengan persediaan itu musuh Allah
dan musuh kamu serta
musuh-musuh yang lain dari mereka
yang kamu tidak mengetahuinya,
sedang Allah mengetahuinya.”
(Surah al-Anfal, ayat 60)
Keberkesanan ATM tidak diukur dari sudut kecanggihan persenjataan semata-mata, tetapi ia juga bergantung kepada tahap penerimaan masyarakat terhadap perkhidmatan diberi. Penerimaan masyarakat penting, antara lain mampu mengekalkan kesinambungan pelaksanaan operasi ketenteraan.
Dengan sokongan, kerjasama serta pengorbanan semua masyarakat, ATM akan berupaya menempa kejayaan berterusan ke arah memartabatkan integriti demi mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara.
Pertahanan menyeluruh adalah dasar kerajaan bertujuan mempertahankan negara dari musuh sama ada musuh luaran mahupun dalaman. Semua anggota masyarakat bertanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara.
Pada masa sama, ATM dan pihak keselamatan lain akan bekerjasama dengan masyarakat untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran dinikmati pada masa sekarang akan terus dikecapi.
Allah SWT berfirman :
“Sesungguhnya Allah
amat suka orang yang berperang
untuk membela agamanya
dalam barisan yang teratur rapi
seolah-olah mereka sebuah bangunan
yang tersusun kukuh.”
(Surah as-Soff, ayat 4)
Transformasi dilalui ATM antaranya melalui kepimpinan berwibawa bagi menentukan perubahan yang berlaku menjana impak positif. Kepimpinan berwibawa dalam pengurusan akan dapat menentukan pencapaian yang tinggi dan sistematik.
Malah pendekatan kepimpinan yang berkesan akan mampu memberi kepuasan serta memperkasa semangat juang warga ATM untuk berkorban demi agama dan negara.
Sejarah Islam telah membuktikan, generasi terdahulu, walaupun daripada kumpulan minoriti, berjaya menghancurkan dua kuasa gergasi iaitu empayar Rom dan Parsi. Semua bertunjangkan kekuatan rohani atau spiritual melebihi dan mendasari persiapan fizikal serta teknologi.
Walaupun tentera Islam tidak punya kekuatan material yang menggerunkan berbanding musuh, namun di medan Badar tentera Islam beroleh kemenangan besar, lantaran mereka mempunyai kekuatan rohani sarat dengan iman dan takwa yang memangkin semangat juang tinggi kerana Allah.
Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka dengan suasana hari ini, malah hendaklah sentiasa bersedia menghadapi apa juga cabaran yang mungkin berlaku.
Cabaran sama ada berbentuk fizikal mahupun mental jika tidak dibendung boleh melemahkan dan menggoyahkan kredibiliti ATM.
Marilah kita bersama berganding bahu dengan ATM untuk memastikan negara selamat, sejahtera dan sentiasa di bawah keampunan Allah.
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan