Sentiasa bersyukur menerima nikmat, sabar ketika ditimpa musibah




Kemeriahan berhari raya yang masih terasa di negara ini, banyak hikmah boleh dikutip serta disyukuri khasnya oleh umat Islam sesuai dengan maksudnya sebagai hari kemenangan. Walaupun syariat tidak menetapkan tempoh sebulan berhari raya, itu kebiasaan kita meraikannya.





Ia budaya hidup yang mampu menerap pelbagai nilai murni jika diraikan dengan adab dan tatasusila termasuklah saling bermaafan, bertegur sapa, bertanya khabar, beramah-mesra, bergurau-senda, tolong- menolong, bekerjasama serta hormat-menghormati.






Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah:




“Sesungguhnya Allah Taala itu

tidak melihat kepada tubuhmu,

tidak pula kepada bentuk rupamu,

tetapi Dia melihat kepada hatimu sekalian.”

(Riwayat Muslim)




Amalan baik jadi sedekah






Bahkan ramai juga yang memilih kemeriahan bulan ini untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Nilai ini bukan saja mengeratkan hubungan dan membina suasana harmoni sesama manusia, bahkan dalam Islam ia menjadi suatu sedekah.







Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah bersabda:




“Tiap-tiap perkara yang baik menjadi sedekah.

Di antara perkara yang baik itu

hendaklah ketika kamu bertemu

dengan saudaramu

biarlah dengan wajah yang manis,

dan (jika ada yang meminta air)

hendaklah kamu tuangkan timbamu

ke dalam bekas air yang dibawanya.”

(Riwayat Imam Ahmad)






Nilai baik ini adalah akhlak yang boleh terhasil dengan mudah dan secara semula jadi rentetan pengetahuan diri, semangat, ‘iklim’ meraikan kemeriahan hari raya setelah sebulan menjalani penyucian hati sepanjang Ramadan.




Tapak sesuatu niat





Imam al-Ghazzali berkata:




" Hati yang bersih

akan dengan spontan memancarkan wajah

dan tindakan yang baik. "






Dalam apa juga yang dipamerkan serta dilaksanakan, Islam amat menitikberatkan keikhlasan serta menilainya berdasarkan hati yang menjadi tapak sesuatu niat.






Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah:





“Sesungguhnya Allah Taala itu

tidak melihat kepada tubuhmu,

tidak pula kepada bentuk rupamu,

tetapi

Dia melihat kepada hatimu sekalian.”

(Riwayat Muslim)







Namun, bagi mereka yang tidak dapat meraikan hari raya dengan kemeriahan dan kegembiraan disebabkan sesuatu musibah atau kesusahan, ia juga mengandungi hikmah dalam memupuk nilai murni seperti sabar, tabah yang menjadi kebaikan pula baginya.





Allah SWT berfirman:





“Orang yang bersabar dan suka memaafkan,

sesungguhnya hal demikian itu

termasuk pekerjaan dilakukan

dengan hati yang teguh.”

(Surah as-Syura, ayat 43)







Rasulullah SAW menerangkan kebaikannya dengan sabda:





“Amat menghairankan sekali

keadaan orang mukmin itu,

sesungguhnya semua keadaannya

adalah kebaikan baginya dan

kebaikan yang sedemikian itu

tidak akan ada lagi seseorang pun

melainkan hanya untuk orang mukmin,

iaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup,

ia bersyukur, maka hal itu

adalah kebaikan baginya,

sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran

– yakni bencana –

ia bersabar dan hal ini pun

adalah kebaikan baginya.”

(Riwayat Muslim)






Lebih menarik lagi, nilai yang dibajai sepanjang Ramadan dan Syawal bukan hanya untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT tetapi juga ‘hubungan kemanusiaan’ serta amalan kemasyarakatan iaitu tanggungjawab sosial sesama insan.






Latihan bangunkan insaniah






Justeru, Rasulullah diriwayatkan berjalan pergi dan balik dari masjid pada Aidilfitri dengan menggunakan jalan berbeza. Tujuan Baginda adalah untuk bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza.






Semua amalan baik ini jika diteruskan dengan adab antaranya suci hati akan menjadi suatu latihan membangunkan kemahiran insaniah dan kemampuan dalam diri individu.






Kemahiran insaniah merujuk kepada ciri-ciri keperibadian, daya tarikan sosial, kemampuan berkomunikasi, sikap kepekaan atau kepedulian khasnya dalam menerima kekurangan dan kelebihan orang lain serta bersikap optimis.






Nilai ini penting dan berguna dalam apa juga situasi termasuklah alam pekerjaan kerana kemahiran insaniah mencakupi kualiti peribadi yang bertanggungjawab, mempunyai kepercayaan, pengendalian diri, kemampuan berinteraksi serta kejujuran.






Hidup budaya murni







Semua ini terangkum dalam maksud integriti yang menjadi asas kepada kerja berkualiti yang mengundang keberkatan dunia dan akhirat.






Bersempena Syawal yang masih ada, marilah bersama menyemarakkan budaya hidup harmoni bagi menanamkan kemahiran insaniah secara berterusan selaras tuntutan berakhlak dan ciri Mukmin yang diumpamakan Rasulullah seperti binaan, saling menguat dan menyokong antara satu sama lain.










Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail

Penulis Prof Madya

di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)