KEHADIRAN bulan Safar al-Khair mengimbau kembali kisah kegeringan  Rasulullah SAW sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12  Rabiulawal. Jika Rasulullah SAW itu adalah kekasih dan keutamaan kita,  maka sudah tentu saat-saat yang memilukan itu menarik perhatian dan  perasaan kita.
 
Sesungguhnya kewafatan Rasulullah SAW adalah musibah terbesar bagi  umat Islam sehingga terdapat ulama yang menulis buku khusus mengenai  musibah kewafatan Rasulullah. Setelah kewafatan Baginda, ada yang masih  lemah imannya menjadi murtad, tidak mahu menunaikan zakat dan berpecah  belah. Sesungguhnya inilah musibah terbesar yang pernah menimpa  sahabat-sahabat Baginda. Hanya kekentalan iman menjadi penyelamat ketika  itu.
 
Hari ini, umat Islam ditimpa musibah yang tidak kurang besarnya iaitu  matinya hati. Pelbagai peringatan yang diberikan tetapi bak mencurah  air di daun keladi. Inilah penyakit hati yang dikhuatiri oleh Rasulullah  akan berlaku ke atas umatnya. Inilah kematian yang paling sukar untuk  dipastikan kerana tidak ditandai dengan kain kapan putih ataupun batu  nisan.
 
Apa pun, selaku insan yang sentiasa menginsafi diri, kita masih boleh  menghisab diri, apakah musibah ini telah mengenai diri kita atau kita  termasuk di kalangan mereka yang terselamat. Terdapat tiga tanda yang  digariskan oleh ulama iaitu, tidak merasa sedih apabila tidak  berkesempatan melakukan amal ketaatan, tidak menyesal apabila terlanjur  melakukan dosa dan suka bersahabat dengan orang-orang yang lalai dan  telah mati hatinya. Inilah alamat ringkas yang diletakkan oleh Syeikh  Ibnu ‘Atoillah dalam kalam hikmahnya.
 
Maka dapat difahami bahawa keriangan dan kegembiraan seseorang kerana  ketaatan yang dilakukannya dan kesedihan seseorang disebabkan maksiat  yang dilakukannya merupakan tanda hidupnya hati seseorang. Rasulullah  SAW telah bersabda: “Sesiapa yang digembirakan oleh kebaikannya dan  disedihkan oleh kejahatannya, maka dia adalah orang mukmin.” (riwayat  Imam Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim)
 
Namun, ini bukanlah kegembiraan yang bercampur dengan perasaan ‘ujub.  Orang yang bersifat ‘ujub hanya memandang kepada daya dan kekuatannya  dan lupa tentang anugerah Allah dalam mengurniakan taufik dan hidayah  kepadanya. Hendaklah kita menjauhi sifat ‘ujub kerana ia boleh  menghapuskan pahala amal-amal yang dilakukan. Begitu juga perasaan riak.
 
Amal kebaikan merupakan tanda keredaan Allah dan keredaan-Nya membawa  kepada kegembiraan. Manakala amal kejahatan merupakan tanda kemurkaan  Allah dan kemurkaan-Nya membawa kepada kesedihan. Sesiapa yang diredai  oleh Allah, maka Allah mengizinkannya untuk melakukan amal soleh.  Sesiapa yang dimurkai oleh Allah, maka Allah meninggalkannya dan  membiarkannya berada dalam kelalaian dan kehinaan.
 
Abdullah ibn Mas’ud RA berkata: “Orang mukmin melihat dosa-dosanya  seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu  akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti  seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya.”
 
Namun demikian, tidak sepatutnya pula seseorang hamba yang apabila  telah melakukan dosa, dikalahkan oleh kesalahan yang dilakukannya.  Dikalahkan dalam bentuk bersikap pesimis, tidak lagi mengharap keampunan  Tuhannya dan berprasangka buruk terhadap Tuhannya. Bagi orang yang  benar-benar beriman dan hidup hatinya, rasa khawf dan raja’ (takut dan  harap kepada Allah) mesti ada pada dirinya. Allah telah menyifatkan para  nabi dan rasul-Nya serta pengikut mereka dari kalangan kaum mukminin  yang solehin dengan kedua-dua sifat ini, sebagaimana firman-Nya dalam  surah al-Israa’ ayat 57.
 
Syeikh Ibnu ‘Atoillah RA menyatakan dalam Hikamnya: “Janganlah kerana  besarnya dosa di sisi kamu, menghalang kamu daripada berprasangka baik  dengan Allah kerana orang yang telah kenal Tuhannya, nescaya akan  menganggap dosanya kecil di sisi kemurahan Allah yang luas.”
 
Manakala sebab yang membawa kepada matinya hati ialah cintakan dunia,  lalai daripada mengingati Allah dan menggunakan anggota untuk melakukan  maksiat.
 
Di antara perosak yang terbesar ialah kasih terhadap dunia,  berkeinginan kepadanya, sangat tamak terhadapnya, berminat dengannya,  kasihkan pangkat dan harta dunia dan tamak terhadap keduanya, kikir dan  bakhil dengan harta dunia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 15-16.
 
Kecintaan kepada dunia adalah kepala segala kejahatan. Ia akan  menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan akibat hati yang telah  digelapi oleh perkara-perkara keduniaan. Justeru, Syeikh Ibnu ‘Atoillah  menyatakan “Bagaimana hati dapat bercahaya, sedangkan gambaran-gambaran  alam maya termeteri di cermin hati?”
 
Allah SWT menjadikan hati manusia itu seperti cermin yang memaparkan  dan memantulkan imej setiap benda yang dihadapkan kepadanya. Cermin itu  pula hanya mempunyai satu muka. Apabila Allah SWT hendak memberikan  inayah-Nya kepada seseorang hamba, maka Dia menyibukkan fikiran hamba  tersebut dengan cahaya-cahaya-Nya dan pelbagai kebaikan dan Dia tidak  membelenggu atau menambat hati hamba tersebut dengan suatu perkara dari  alam yang gelap dan khayalan yang meragukan. Maka terpaparlah di cermin  hatinya cahaya-cahaya iman dan ihsan, dan terpancarlah padanya cahaya  tauhid dan makrifah.
 
Begitulah sebaliknya, jika Allah mahu membiarkan seseorang hamba  (mengeluarkannya daripada inayah-Nya) dengan keadilan dan  kebijaksanaan-Nya, maka Dia akan menyibukkan pemikiran hamba tersebut  dengan kegelapan dunia dan syahwat. Maka kegelapan dunia ini akan  terpapar di cermin hatinya. Lalu hatinya akan terhijab daripada sinar  makrifah dan cahaya keimanan.
 
Semakin banyak gambaran dunia bertindih-tindih di cermin hatinya,  maka semakin pudar cahayanya dan semakin tebal hijabnya. Maka dia tidak  akan dapat melihat melainkan apa yang zahir sahaja dan dia tidak dapat  berfikir melainkan perkara lahiriah sahaja.
 
Ada di antara hijabnya sangat dahsyat hingga menutup seluruh hati dan  seluruh cahaya terpadam hingga dia menafikan terus kewujudan cahaya  dari asalnya. Semoga dilindungi oleh Allah.
 
Ada di antaranya pula, hanya sedikit karatnya dan nipis hijabnya,  maka dia mengakui kewujudan cahaya tersebut tetapi tidak dapat  melihatnya. Ini ialah makam (kedudukan) kaum Muslimin awam.
 
Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hati itu akan  berkarat sepertimana karatnya besi, dan sesungguhnya iman itu akan lusuh  seperti lusuhnya baju yang baru.”
 
Namun dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Setiap sesuatu  itu ada penggilapnya dan penggilap hati ialah zikrullah.”
 
Sabda Rasulullah SAW juga: “Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila  melakukan kesalahan, digores di dalam hatinya dengan bintik hitam.  Sekiranya dia menanggalkannya dan memohon keampunan, maka ia akan  berkilau. Sekiranya dia kembali melakukan kesalahan, ditambah pada  hatinya bintik hitam tersebut sehingga menyelubungi hatinya.” Maka  itulah selaput kegelapan yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah  al-Mutoffifin ayat 14.
 
Cahaya iman dan ihsan
 
Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu  hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu  hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan menggelap, kegelapan dan  cahaya itu tidak pernah bersatu, maka fahamilah pula kata-kata Syeikh  Ibnu ‘Atoillah yang menyebut: “Bagaimanakah hati itu boleh bersinar  dengan cahaya iman dan ihsan, sedangkan gambaran alam dan dunia yang  gelap terpapar di cermin hati?”
 
Sesungguhnya dua perkara yang berlawanan tidak mungkin akan bersatu  sebagaimana firman Allah SWT pada surah al Ahzaab ayat 4.
 
Sedarlah wahai insan! Kamu tidak memiliki dua hati tetapi hanya satu.  Apabila kamu hadapkan hati kamu itu kepada makhluk dan dunia ini, maka  ia akan membelakangkan Allah. Apabila kamu hadapkannya kepada Allah,  maka ia akan membelakangkan makhluk dan kamu akan mampu berjalan kepada  Allah. Selama kamu tertambat dengan syahwat dan keduniaan kamu di dalam  alam ini, maka kamu tidak akan mungkin dapat berjalan kepada Tuhan kamu,  tidak juga kepada apa yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibnu ‘Atoillah al  Sakandari RA.
 
Selama hati masih tertawan atau terpenjara di dalam penjara  kecenderungan atau keinginan kepada sesuatu yang akan binasa, dia masih  terikat dengannya. Orang yang mempunyai hati sedemikian, tidak akan  dapat berjalan menuju kepada keredaan Allah. Bahkan, tidak akan  terpancar ke atasnya cahaya makrifat. Keterikatan hatinya dengan syahwat  merupakan penghalang yang akan menegah dan menghalangnya daripada  menuju kepada Allah disebabkan kesibukan dan keasyikannya dengan  perkara-perkara yang memalingkannya daripada berjalan menuju kepada  Allah.
 
Sekalipun tidak dinafikan dia mungkin dapat berjalan bersama nafsu  syahwatnya, nafsunya akan melemahkan dan menghalangnya daripada dapat  berjalan dengan cepat kerana kecenderungannya terhadap nafsu syahwatnya.  Sekalipun dia mungkin dapat berjalan dengan cepat, dia tetap tidak akan  aman daripada perkara-perkara yang akan menggelincirkannya kerana  keseronokan dan kesenangannya dengan syahwat tersebut.
 
Sebab itu, para pembesar Sufi meninggalkan kelazatannya, sehingga  berkata sebahagian daripada mereka: “Sengatan tebuan atas badan yang  luka itu lebih ringan daripada sengatan syahwat atas hati orang yang  sedang bertawajjuh kepada Allah.” (Ibnu ‘Ajibah, Iqaz al-Himam, H: 44)
 
Justeru, wahai saudaraku! Putuskanlah dan lepaskanlah dirimu dari  perkara yang menghalang perjalanan kamu. Berjalan dan berhijrahlah kamu  kerana hijrah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Semenjak Nabi SAW  berhijrah, Baginda SAW tidak pernah menikmati masa untuk berehat  melainkan di dalam musafir untuk berjihad sehingga Allah membuka sebuah  negara untuknya.
 
Begitu juga para sahabat, hanya segelintir sahaja daripada mereka  yang tinggal tetap di negara mereka sehingga dengan tangan-tangan mereka  Allah membuka negara-negara yang lain dan memberikan petunjuk kepada  hamba-hamba Allah yang lain. Semoga Allah memanfaatkan kita dengan  keberkatan mereka, Amin.
 
Hidupkanlah hati kita dengan meninggalkan terlebih dahulu  perkara-perkara yang boleh menggelapkan dan mematikan hati. Selanjutnya  sinarilah ia dengan cahaya-cahaya ketaatan dan keikhlasan. Sesungguhnya  hati yang hidup akan sentiasa mendorong pemiliknya melakukan amal dan  ketaatan dan meninggalkan dosa dan kejahatan dengan hati yang gembira  tanpa rasa penat dan payah. Wallahu a’lam.
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN