:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Khamis, 1 Ogos 2013

Ramadan gembleng semangat bersatu


Ramadan gembleng semangat bersatu

 

 




 
Amalan berbuka, sahur dan
 bertarawih menyatupadukan
 umat Islam




Ramadan yang dianugerahkan Allah adalah bulan penuh kerahmatan, keampunan dan keredaan Allah buat hamba-Nya. Ibadah puasa yang dilakukan pada Ramadan adalah tonggak kepada keutuhan syiar Islam. 





Jika dibicarakan berhubung kelebihan Ramadan dari sudut yang tersurat, ia berkisar kepada wujudnya unsur ketaatan hamba kepada Penciptanya Allah SWT. Puasa Ramadan yang disyariatkan buat umat Islam adalah satu perintah daripada Allah. 




Ertinya, dengan menunaikan ibadah puasa ini, kelebihan tersurat yang dapat difahami dan dihayati ialah wujudnya unsur ketaatan dan kepatuhan kepada Allah. Malahan ia diperkukuhkan dengan matlamat akhir puasa untuk melahirkan insan bertakwa. 







Justeru, nikmat kepatuhan dan ketaatan kepada Allah perlu ada dalam diri seorang Muslim. Ia bertambah indah dan bermakna kerana ibadah ini dilakukan setiap individu Muslim pada Ramadan yang diraikan bersama. 





Inilah nilai atau titik persamaan yang dianjurkan oleh syariat Islam untuk dihayati dan difahami umat Islam. Jika ditinjau secara kasar, setiap ibadah yang dituntut syarak bertujuan mewujudkan persamaan antara setiap individu Muslim. 





Wujud persamaan sesama Muslim 





Masalahnya, sama ada kita perasan atau sebaliknya. Ia bermula daripada pengucapan kalimah syahadah hinggalah menunaikan ibadah haji di Baitullah. Semuanya berperanan mewujudkan persamaan sesama Muslim jika dihayati dengan mendalam.
Sebenarnya syariat Islam mendidik kita bersatu padu. 




Contohnya, amalan berbuka dan bersahur yang dilakukan mempunyai kelebihan dalam menyatupadukan umat Islam. Ini dibuktikan apabila azan Maghrib berkumandang, ia menandakan waktu berbuka umat Islam. 





Indahnya ia dilakukan serentak buat umat Islam yang berpuasa pada hari itu. Uniknya ia juga berlaku pada waktu sahur, apabila azan Subuh berkumandang menandakan bermulanya ibadah puasa dan diharamkan buat umat Islam melakukan perkara yang membatalkan puasa. 





Seperkara lagi, wujudnya unsur persamaan daripada rasa menahan lapar dan dahaga yang dialami setiap individu muslim yang berpuasa. Ia merangkumi orang kaya, golongan pertengahan apatah orang miskin dan fakir. 





Ia tidak berlaku pada bulan lain selain Ramadan kerana yang kaya dan berkemampuan menahan diri daripada makan minum, begitu juga golongan fakir serta miskin yang diumpamakan ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’. Ini unsur persamaan yang diterapkan namun tidak ramai menyedari hakikatnya. 





Solat sunat Tarawih dikhususkan sempena Ramadan al-Mubarak yang dilaksanakan secara berjemaah selepas solat Isyak mampu menjadi medium terbaik untuk membentuk perpaduan dan persamaan sesama Muslim. Ganjarannya 27 darjat berdasarkan hadis Rasulullah SAW. 






Perkasa ukhuwah ummah 




Inilah kekuatan dan keampuhan perpaduan yang dianjurkan syarak dalam memperkasakan ukhuwah Islam melalui pensyariatan ibadah tertentu. Menariknya ia banyak dapat dirungkai pada Ramadan yang mulia ini. 





Ini tidak termasuk tazkirah Ramadan yang disampaikan ilmuwan Islam untuk menjadi santapan rohani dan pengukuhan akhlak sempena meraikan kedatangan bulan penuh keberkatan. 




Benarlah seperti apa 
yang digambarkan Baginda
 dalam sabdanya:




 “Apabila datangnya bulan Ramadan,
 akan dibukakan pintu-pintu syurga,
 ditutupkan pintu-pintu neraka
 dan dibelenggu syaitan-syaitan.”


 (Riwayat Muslim) 






Inilah peluang terbaik buat umat Islam untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah memohon kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. 




Harapan yang diletakkan dalam meraikan kedatangan bulan mulia ini ialah tercapainya satu titik persamaan buat umat Islam secara menyeluruh melalui hikmah dan fadilat yang terkandung dalam setiap ibadat dianjurkan oleh syariat Islam sempena Ramadan. 




Penulis ialah Dekan,
 Akademi Pengajian Islam
 Kolej Universiti Islam Malaysia 
(KUIM) 





Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ramadangemblengsemangatbersatu/Article

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...