Masjid, solat asas kekuatan umat Islam
13 peristiwa Israk Mikraj bukti kekuasaan
Peristiwa Israk dan Mikraj meninggalkan kesan mendalam di hati sanubari umat
Islam. Dua perkara yang tidak dapat dipisahkan pada peristiwa ini ialah
hubungan antara masjid dan solat.
Ia adalah kekuatan sebenar umat Islam yang menjadi inti pati kepada peristiwa itu. Kedua-duanya akan membawa manusia ke syurga yang dilawati baginda SAW pada malam itu.
Marilah kita melihat azab
yang dipertontonkan kepada Baginda SAW pada malam itu dan sejauh manakah azab
ini dapat diselamatkan oleh dua asas utama iaitu masjid dan solat. Antara azab
yang diperlihatkan ialah :
Pertama, kaum yang sedang
bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah)
yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku
berulang-ulang. Jibrail memberitahu: “Itulah kaum yang berjihad fisabilillah
yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga
gandaan yang lebih banyak.” Perintah jihad hanya akan dilaksanakan oleh mereka
yang menunaikan solat kerana keyakinan terhadap perintah Allah SWT datang
daripada solat yang dilaksanakan.
Keteguhan iman
Kedua, tempat berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: “Itulah bau kubur Mashitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firaun kerana tetap dan teguh beriman kepada Allah SWT.
Ketiga, sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh semula, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: “Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang). Memang ada dalam kalangan kita yang berasakan bahawa kewajipan solat adalah umpama satu bebanan dan gangguan terhadap urusan seharian.”
Oleh sebab itulah mereka mendapat balasan sedemikian kerana mengabaikan kewajipan ini.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Mohonlah pertolongan dengan sabar
dan bersolat kerana solat itu amat berat
untuk dikerjakan melainkan orang yang
khusyuk (benar-benar ikhlas dan beristiqamah).”
(Surah al Baqarah ayat 45)
Keempat, sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu daripada neraka Jahanam. Kata Jibrail: “Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
Solat sempurna jika tunai zakat
Zakat dan solat diumpamakan seperti isi dan kuku kerana kesempurnaan solat mestilah dicernakan dengan menafkahkan harta ke jalan Allah SWT. Banyak ayat yang mengaitkan antara solat dan zakat. Antaranya, firman Allah SWT bermaksud:
“Mereka yang menunaikan solat
dan menafkahkan harta mereka
(sedekah dan
zakat).”
(Surah al-Anfal ayat 3)
Kelima, golongan lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah dan busuk, sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina, sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.”
Kemungkaran ini adalah kesan daripada mengabaikan solat yang juga benteng kepada kemaksiatan. Generasi yang mengabaikan solat dianggap musnah dan gagal dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Kemudian
datanglah generasi
yang mengabaikan solat dan mereka
akan kekal binasa berada
dalam kesesatan.”
(Surah Maryam ayat 59)
Keenam, lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba.”
Darah yang menjadi simbolik kepada memakan hasil titik peluh orang lain dan digambarkan penghinaan dengan lontaran batu. Darah adalah simbol kezaliman yang dahsyat sehingga Allah SWT mengisytiharkan perang terhadap orang yang memakan riba.
Firman Allah SWT bermaksud :
“Jika kamu tidak meninggalkan riba,
maka kamu
mengumumkan
peperangan terhadap
Allah SWT dan Rasulnya.”
(Surah al Baqarah ayat
279)
Ketujuh, lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tidak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tidak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
Kelapan, satu golongan yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
Firman Allah SWT bermaksud:
“Wahai orang yang beriman,
kenapa kamu tidak
kotakan
apa yang kamu ucapkan?
Allah SWT sangat benci
kepada mereka yang tidak
mengotakan apa yang diucap.”
(Surah Ash Shaff ayat 2 dan 3)
Kesembilan, kaum yang mencakar muka dan dada dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.” Jabir dan Abu Sa’id menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. Sesungguhnya seseorang itu berzina ia bertaubat, maka Allah SWT menerima taubatnya dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpat.”
(Hadis riwayat Ibn Abid Dunya)
Manusia sombong disisih
Kesepuluh, seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat masuk semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (takbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.” Sifat sombong atau takbur juga sebenarnya menyebabkan seseorang itu akan disisihkan oleh Allah SWT di dunia seperti firman-Nya yang bermaksud: “Nanti Aku palingkan daripada ayat-ayat-Ku orang yang sombong di muka bumi tanpa kebenaran.”
(Surah Al-A'raf
ayat 146)
Kesebelas, seorang perempuan dengan dulang yang penuh pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: “Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
Ini menunjukkan bahawa kaum wanita berpotensi terhadap kecenderungan dunia sehingga terkadang dapat merosakkan kaum lain dengan pelbagai propaganda. Orang yang menunaikan solat akan menganggap dunia sebagai jambatan untuk ke akhirat. Dia tidak akan kecewa jika tidak mendapat habuan dunia kerana matlamat hidupnya adalah hari akhirat.
Kedua belas, seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.” Rasulullah SAW menyimpulkan dalam dua kalimat iaitu: “Manusia paling baik ialah yang panjang umurnya dan baik amalnya. Manusia paling buruk ialah yang panjang umurnya dan buruk amalnya.”
Ketiga belas, seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
Gegaran dan bencana pada hari ini adalah disebabkan keuzuran dunia yang tidak disedari. Tanda dunia sudah tua dapat dirasakan dengan tanda kecil kiamat yang digambarkan oleh Baginda SAW.
Sabda Baginda SAW:
“Antara masa aku dibangkitkan
dan hari kiamat amatlah
hampir.
Lalu baginda SAW mengisyaratkan
kedua-dua jari tengah dan telunjuk.”
Isyarat kedua-dua jari Baginda SAW menunjukkan betapa dekatnya kita dengan hari
kiamat.
Maka, solat akan mengingatkan kita pada hari akhirat dengan bermunajat dan berdoa. Hasilnya, hati kita akan terus cenderung kepada kebaikan yang menyelamatkan kita di akhirat. Orang yang takut kepada Pencipta-Nya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apa saja yang diperintahkan dan disampaikan oleh Rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat yang difardukan.
Penulis ialah
Eksekutif Agama The New Straits Times
Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan