APAKAH
makna harta sebenarnya dan adakah Islam
memandang negatif kepada kekayaan?
Jawapan:
Harta
ataupun dipanggil dengan kalimah mal atau amwal dalam Bahasa Arab
merupakan sesuatu yang diperlukan oleh umat manusia. Sejak zaman dahulu kala
sehinggalah ke hari ini, harta menjadi alat untuk menyempurnakan kehidupan
manusia. Dengan harta, manusia mampu merealisasikan kebanyakan impiannya. Harta
ibarat kunci yang mampu membuka jendela dan membolehkan manusia menikmati
pelbagai keindahan dunia yang sebelum itu hanya mampu dinikmati dalam mimpi
sahaja.
Di
dalam al-Quran Allah SWT menukilkan kalimah harta pada 160 ayat. Ia
menunjukkan, isu harta bukanlah sesuatu yang ringan dan boleh diambil mudah.
Harta mampu menjebak pemiliknya kepada kederhakaan kepada Allah SWT lalu
akhirnya menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka Allah, wal'iyazubillah.
Contohnya: Qarun yang dilaknati-Nya.
Namun,
pada masa sama jika harta dapat diuruskan dengan sempurna dan baik menurut
garis panduan yang telah disediakan oleh Allah SWT, maka pastilah ganjarannya
juga adalah pahala yang berpanjangan dan pasti jugalah di akhirat nanti,
pemiliknya akan diberikan kedudukan yang mulia di syurga Allah SWT yang penuh
dengan pelbagai kenikmatan, insya-Allah. Contohnya: Abu Bakar as-Siddiq yang
dikasihi Allah.
Oleh
itu, apakah makna harta di sisi Islam? Ya, jika merujuk kepada makna mal
atau amwal secara bahasa, ia bermakna 'apa-apa yang dimiliki daripada
segala sesuatu.' Namun, semudah itu sahajakah? Mari, kita harus cuba melihat
perspektif harta pada sudut pandang fuqaha Islam khususnya imam mazhab dalam
jalur ahlus sunnah wal jamaah mengenai harta.
Jalur
Hanafiyah merumuskan, harta itu adalah sesuatu yang menjadikan manusia
cenderung kepadanya secara semula jadi, yakni kemahuan itu wujud tanpa perlu
dipaksa-paksa dan harta itu mampu disimpan, dikawal dan dimanfaatkan kembali
sama ada ketika mereka berada dalam keperluan atau tanpa keperluan.
Manakala,
di jalur Shafiiyah pula harta diistilahkan sebagai sesuatu yang bernilai dan
mesti dibayar ganti rugi jika berlaku kerosakan ke atasnya. Jalur Malikiyah
pula menyatakan, mal hanya dianggap harta bagi yang boleh dimanfaatkan
oleh pemiliknya sahaja jika ia diperoleh dengan kaedah yang betul di sisi
syarak.
Tetapi,
jangan kita pusingkan kepala dengan pelbagai definisi ini. Apa yang penting,
fuqaha menyatakan harta itu mestilah diperoleh dengan cara yang betul dan dapat
dimanfaatkan kembali oleh pemiliknya pada bila-bila masa, sama ada ketika dalam
keadaan biasa ataupun terdesak dan jika ditakdirkan berlaku kerosakan atas
harta itu bagi orang lain, wajarlah kita membayar ganti rugi ke atasnya.
Hak at-tasaruf
Sebab itu, di dalam ilmu fiqh adanya istilah hak at-tasaruf,
yakni kemampuan seseorang pemilik harta itu untuk memiliki dan memanfaatkan
hartanya tanpa sebarang halangan sesiapa pun. Dia boleh menjual hartanya,
menghadiahkan, menyedekahkan, mewakafkan, malah jika dia mahu merosakkan
hartanya sendiri pun, dia tidak akan dikenakan sebarang caj ganti rugi oleh
sesiapa, kerana ia memang hak miliknya sendiri.
Maka,
sebab itulah dalam perbahasan fiqh zakat, hak at-tasaruf adalah satu
aspek yang sangat penting, kerana harta yang dikatakan sempurna milik itu,
mestilah ia mempunyai hak at-tasaruf ke atasnya. Jika seseorang itu mendakwa
dia memiliki harta yang sempurna milik tetapi dalam masa yang sama dia tidak
boleh menjalankan sebarang transaksi ke atasnya, malah terikat pula dengan
pelbagai halangan, maka ia bukanlah harta yang sempurna milik dan tidaklah
harta itu tertakluk sebagai harta yang wajib zakat.
Contoh
mudah yang sering diberikan, seorang wanita yang bergaya dengan pelbagai
perhiasan emas yang mengerlip di seluruh badannya padahal semuanya adalah emas
yang dipinjam atau emas yang disewa sahaja, maka biarpun ia sudah melebihi uruf
emas perhiasan berkali-kali ganda, ia masih tidak wajib dizakatkan.
Persoalan
seterusnya, adakah agama Islam menolak kekayaan? Ini kerana, wujudnya
segelintir pandangan manusia bahawa dunia ini adalah daki-daki yang hendaklah
disingkirkan dari tubuh badan manusia. Untuk mendapatkan cinta Allah SWT dan
kenikmatan akhirat yang abadi, dunia adalah belenggu yang menghalanginya.
Benarkah semua yang bernama dunia bersifat demikian?
Jika
benarlah bahawa dengan menolak dunia dan isinya itu mampu mendekatkan diri
manusia kepada Allah SWT, maka apakah pula statusnya para nabi dan sahabat
Rasulullah SAW yang terkenal kaya-raya namun pada masa sama mereka diiktiraf
sebagai orang yang amat dekat dengan Allah SWT dan Rasul-Nya?
Maka,
Allah SWT tidak pernah sama sekali mengajar manusia yang beriman untuk menjadi
pesimis dengan kehidupan dunia. Sudah namanya dunia, di atasnya memang penuh
dengan perkara-perkara yang bersifat menghiburkan dan sudah pasti ia juga
diwarnai dengan pelbagai keindahan yang kadang kala bisa melalaikan. Namun, ia
bukanlah bermakna manusia seluruhnya perlu mengkesampingkan dunia dan hidup
dalam kesempitan yang disengajakan. (rujuk (al-An'am: 32)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan