:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Jumaat, 5 April 2013

Ciri pemimpin adil, berwibawa


Ciri pemimpin adil, berwibawa



Miliki sikap belas kasihan,
 penyayang dan prihatin kebajikan rakyat 
bukti ketinggian iman.





Menentukan dan memilih pemimpin adalah perkara penting dan menjadi kewajipan. Sejarah Islam membuktikan apabila wafatnya Rasulullah SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi menggantikan baginda. 






Menurut pengkaji sains politik, kepemimpinan yang berwibawa dianggap paling berkesan kerana mampu membuat perubahan dan pembaharuan kepada rakyat. Dengan demikian, sebahagian besar tanggungjawab pemimpin untuk membawa perubahan dan pembaharuan positif kepada rakyat. 





Merasai denyut hati rakyat 






Pemimpin juga mampu mendengar, melihat dan merasai denyut hati rakyat terutama rakyat di luar bandar sebahagian besarnya terdiri daripada petani, nelayan, penarik beca, penoreh getah dan golongan pendapatan rendah yang mengharapkan pemimpin yang mampu mengubah nasib mereka. 






Allah SWT telah mengingatkan bahawa kepemimpinan paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan seperti dicontohi Rasulullah SAW. 






Firman Allah SWT:



 “Sesungguhnya telah datang kepada kamu
 seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri,
 yang menjadi sangat berat kepadanya 
sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan
 kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi
 penyayang kepada orang yang beriman.”

 (Surah at-Taubat, ayat 128) 






Ayat ini mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Nabi Muhammad SAW adalah contoh pemimpin berwibawa yang paling berjaya di dunia.
Baginda berupaya menukar gaya hidup masyarakat jahiliah daripada kufur kepada beriman, permusuhan kepada persaudaraan, kekejaman kepada kasih sayang, pemalas kepada bangsa yang rajin. 





Ciri pemimpin wibawa 





Terdapat beberapa ciri pemimpin berwibawa antaranya, seorang yang berupaya menjaga agama Islam dan mampu menegakkan syariat Allah SWT, bukan menjadikan agama sebagai istizha atau alat untuk dipermainkan seperti sanggup menggadaikan agama untuk mendapatkan kuasa dan menjatuhkan lawannya.

 



Firman Allah SWT: 


“Iaitu mereka yang jika Kami
 berikan mereka kekuasaan memerintah bumi
 nescaya mereka mendirikan sembahyang
 serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
 kebaikan serta melarang daripada melakukan
 perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi
 Allah jugalah kesudahan segala urusan.” 

(Surah al-Haj, ayat 41) 






Kedua, seseorang yang mempunyai al-Quwwah iaitu kekuatan sama ada dari segi jasmani, spiritual, emosi dan mental. Al-Quran telah menjelaskan kisah dua anak perempuan Nabi Syu’aib memintanya memilih pekerja mengembala kambing daripada kalangan yang kuat bekerja dan amanah. 






Inikan lagi soal memilih pemimpin yang sudah tentu skop menanggung kerjanya lebih luas dan amanahnya sangat besar memerlukan kekuatan semua sudut, bukannya hanya pada kehebatan pidatonya ataupun percakapannya saja. 






Ketiga, seseorang yang memiliki sifat takwa, kerana ciri inilah yang menjamin pemimpin berintegriti dan takutkan Allah SWT dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Keempat, pemimpin itu mestilah beramanah, adil dan tidak melakukan kezaliman atau diskriminasi kepada di bawah pimpinannya. 






Adil bukan sekadar kata-kata retorik, tetapi dibuktikan dengan perbuatan dan amalan. Sifat ini mesti dimiliki pemimpin dan menjadikan ia sebagai prinsip asas pentadbiran untuk menjamin kepemimpinannya dihormati, disegani dan disayangi. 





Kelima, pemimpin itu mestilah bertanggungjawab dan tidak sombong kepada mereka yang di bawah pimpinannya. Sabda Rasulullah SAW: “ 




Ingatlah bahawa setiap daripada kamu
 adalah penjaga dan setiap penjaga bertanggungjawab
 terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang
 pemimpin itu bertanggungjawab terhadap
 orang yang dipimpinnya.” 

(Riwayat al-Bukhari) 





Keenam, pemimpin hendaklah tegas dan berpegang teguh kepada prinsip dalam melaksanakan amanah termasuk mengambil tindakan sewajarnya dalam hal berkaitan penguatkuasaan undang-undang terhadap pihak bersalah, sekalipun membabitkan ahli keluarga, kawan atau lawan. 





Ketujuh, pemimpin hendaklah berakhlak, baik budi pekertinya, menjadi teladan baik dalam semua tindak tanduknya dan bebas daripada kerosakan moral. Kelapan, pemimpin hendaklah menunaikan janji kepada orang bawahannya. Pemimpin yang mengotakan janji adalah pemimpin yang disenangi dan dipercayai, bukannya berdusta, berjanji palsu dan menghampakan orang bawahannya. 





Adakah pemimpin yang bakal kita pilih memiliki ciri-ciri dinyatakan atau sebaliknya? Sedarlah, jika salah percaturan tergadailah agama dan negara dan kita yang bertanggungjawab.





Diharamkan syurga jika menipu rakyat

 



Sabda Nabi SAW yang bermaksud:




 “Sesiapa yang diamanahkan oleh Allah 
untuk memimpin rakyat, lalu dia mati. 
Pada hari dia mati dalam keadaan dia menipu rakyatnya,
 maka Allah telah mengharamkan syurga untuknya.” 

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

 



Saidina Abu Bakar as-Siddiq ketika menyampaikan ucapan perdana menggantikan Rasulullah SAW sebagai khalifah menyeru umat Islam: “Wahai manusia meskipun saya telah dilantik untuk memimpin kamu, tidak bererti bahawa aku yang terbaik di kalangan kamu semua. Jika kamu melihat aku berada dalam kebenaran, maka tolonglah aku. Seterusnya beliau berkata jika kamu melihat aku berada dalam kebatilan, maka luruskanlah aku, taatilah aku selama aku taat mematuhi perintah Allah. Jika aku menderhaka kepada perintah Allah, kamu semua tidak perlu lagi mematuhi perintah aku.” 


Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) 



Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...