Berubah dengan niat ikhlas
umur kita semakin meningkat
sama ada memasuki
tahun baru atau tidak.
Apabila hayat bertambah singkat,
ajal semakin dekat.
Justeru,
kita disuruh berazam ke arah
yang lebih baik, sama ada
menjelang atau sebelum tahun baru.
Itulah kehidupan dan jiwa seorang Muslim.
Masa
tidak selalu menunggu kita.
Kebaikan jangan ditangguh,
keburukan pula jangan ditanggung.
Jangan menunggu tahun baru
untuk berubah kepada yang lebih baik.
Jangan menunggu tahun baru
untuk meninggalkan keburukan.
Itulah fenomena hidup kita seharian.
Hijrah sudah tidak jadi hebat
sehebat sejarahnya.
Baca sejarah,
tapi hilang ceritanya dan rohnya.
Apabila kefahaman mengecil
penghayatan pun makin menguncup.
Hasilnya, hijrah tinggal sejarah.
Hijrah Nabi bukan semata-mata
proses perpindahan
dari satu tempat ke satu tempat
yang lain atau satu keadaan ke satu
keadaan yang lain, sebagaimana
kebanyakan orang fahami.
Ia adalah manifestasi
perubahan masyarakat
mencapai kemuliaan dan kebahagiaan
dunia dan akhirat.
Sempena Maal Hijrah ini,
ramai yang berazam hendak berubah,
tetapi perubahan tak kunjung tiba.
Perangai masih macam itu juga,
yang tinggal hanya azam dan keinginan.
Lebih pelik lagi,
kita minta orang lain berubah,
minta anak-anak berubah,
marah pada pasangan
kenapa tidak berubah.
Memang tanggungjawab kita
menasihati sesama kita.
Cuma, jangan kita asyik
menyuruh orang saja.
Orang kena berubah,
tapi kita macam mana?
Semua kita nak berubah,
tetapi terkadang tak tahu
bagaimana dan dari mana nak bermula.
Kerana salah tak ikut kaedah,
ada juga yang berubah,
tetapi tak lama. Mari kita berkongsi
cara nak memulakan berubah dan berhijrah.
Hijrah adalah kalimah
yang sinonim dengan iman dan jihad.
Allah berfirman:
“Orang-orang yang beriman
dan berhijrah serta berjihad
di jalan Allah dengan harta
dan jiwa mereka, lebih besar
darjatnya di sisi Allah. Dan mereka
itulah orang-orang yang
mendapat kemenangan.
Tuhan menggembirakan mereka
dengan rahmat dan keredaan-Nya
dan syurga-syurga, mereka
memperoleh di dalamnya
kesenangan yang abadi,
mereka kekal di dalamnya.
Sesungguhnya
Allah pada sisi-Nya
pahala yang besar.”
(Surah At-Taubah ayat 20-22)
Ketiga-tiganya tidak boleh
dipisahkan sama sekali.
Hijrah itu dilaksanakan atas
dorongan iman dan berjihad
di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya
menuntut pengorbanan besar
termasuk harta (masa dan tenaga)
serta jiwa. Tidak ada
hijrah tanpa pengorbanan.
Pengorbanan itu
bukan untuk kepentingan diri
dan orang lain, tetapi semata-mata
untuk mendapat keredaan Allah.
Untuk itu
mari sama-sama kita berkongsi
cara bagaimana hendak
mulakan perubahan.
1. Mulalah dengan mengubah
diri sendiri supaya anda menjadi
lebih yakin dengan diri anda sendiri.
Orang lain juga akan
lebih yakin dengan diri anda.
Ini kerana mana mungkin
jika anda mahu mengajak
orang lain berubah sedangkan diri sendiri
masih berada pada takuk lama.
Nanti orang akan cakap
yang kita seorang yang cakap
tidak serupa bikin.
Cakap pandai,
tapi buat sendiri tak pandai.
2. Mula melakukan perubahan
secara perlahan-lahan.
Tidak dinafikan, sememangnya
sukar untuk terus berubah
dalam masa singkat atau dalam
tempoh sekelip mata saja.
Jika ia dilakukan
secara perlahan-lahan,
dengan izin Allah
kita akan dapat berubah seperti
apa yang diinginkan.
Walaupun perlahan,
kita akan dapat mengalami perubahan
yang besar dalam diri.
3. Lakukan perubahan
pada masa sekarang juga.
Jangan bertangguh untuk tempoh
yang lebih lama lagi. Ini kerana
semakin lama kita bertangguh
untuk berubah maka ia menjadi
semakin melarat dan susah
untuk melakukannya.
Perkara yang kecil
akan jadi lebih besar
jika ia terus dibiarkan.
Jadi, ambillah masa yang ada
sekarang untuk berubah dan mendapat
hasil yang baik pada masa akan datang.
4. Berusaha untuk berubah
dengan niat ikhlas dan lakukannya
dengan bersungguh-sungguh.
Kita perlu memaksa diri
untuk berubah sepenuh hati.
Jika diri dipaksa,
kita seolah-olah memanjakan diri
untuk berubah. Nafsu juga
akan menjadi semakin degil
jika tidak dipaksa.
Kawal nafsu dan jangan biarkan nafsu
mengawal diri kita.
5. Apabila kita melakukan
perubahan dalam diri, kita perlu
mengulangi perubahan itu sehingga
ia sebati dengan diri.
Jika perubahan itu
hanya dibiarkan begitu saja,
kita hanya berubah untuk seketika.
Selepas itu, kita akan kembali
semula ke takuk lama.
Oleh itu, jangan sia-siakan
perubahan yang dilakukan.
Kesimpulannya,
kita perlu berubah untuk menjadi
orang yang lebih baik kerana
ia sangat dituntut dalam Islam.
Tapi, jangan kita berubah
disebabkan orang lain.
Ikhlaskan untuk berubah
demi kebaikan diri. Selepas itu,
bolehlah mengajak orang lain
untuk berubah.
Jika ia dilakukan
dengan niat dan cara betul,
orang lain akan dapat berubah
seperti yang kita harapkan.
Kita juga mendapat ganjaran pahala
jika berjaya mengajak orang lain
berubah ke arah kebaikan.
Cuma, jangan jadikan
‘berubah’ sebagai acara bermusim,
tetapi perlu istiqamah sehingga menemui Allah.
p/s : Seorang ulama ahli hikmah pernah menasihatkan,
“ Perbaikilah amal perbuatanmu dengan ikhlas,
dan perbaikilah keikhlasanmu itu
dengan perasaan tidak ada kekuatan sendiri,
bahawa semua kejadian itu
hanya semata-mata kerama bantuan pertolongan Allah saja ”.
Justeru itu,
sungguh selesa sekali bergaul
dengan seorang hamba yang ikhlas.
Setiap kata-kata yang terucap dari lisannya
sekali-kali tidak akan bagai pisau yang menghiris-hiris hati.
Perilakunya pun tidak akan pernah membuat orang lain
merasa terusik dan sempit dada.
:)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan