Bina budaya keluarga cintakan al-Quran
ANTARA ciri mukmin yang beruntung di dunia dan di akhirat ialah orang mempelajari al-Quran dan aktif membacanya. Kadar keberuntungannya akan berlimpah kali ganda seandainya si penuntut dan pembaca al-Quran bergiat cergas menggali inti pati maknanya serta mengamalkannya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Orang yang paling baik di antara kamu
adalah yang mempelajari al-Quran
dan mengajarkannya.”
(Hadis riwayat Bukhari, Abdu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Bina satu slogan peribadi,
‘Tak Sempurna Hari Tanpa Membaca Al-Quran’.
Tampal dalam rumah supaya kita dan seluruh ahli keluarga
dapat menatapnya setiap masa.
Keuntungan seseorang pembaca al-Quran ketika di akhirat kerana dijamin akan diberikan syafaat ketika kita sangat-sangat memerlukan pertolongan ketika berhimpun di padang Mahsyar nanti.
Rasulullah SAW ada menyebut akan hal ini dalam sabda yang bermaksud:
“Bacalah al-Quran.
Kerana ia pada hari kiamat nanti
akan datang untuk memberikan syafaat
kepada para pembacanya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Seperkara lagi yang harus kita sedari bahawa amalan membaca al-Quran adalah metodologi dalam penyembuhan penyakit jiwa atau hati. Dalam meniti arus kehidupan, fikiran dan jiwa sentiasa diselubungi pelbagai emosi.
Justeru, bagi mukmin yang menjadikan al-Quran sebagai teman rapatnya, perasaan berkecamuk itu pasti akan terungkai apabila membaca al-Quran.
Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tidak ada orang yang berkumpul
di salah satu rumah Allah untuk
membaca dan mempelajari al-Quran,
kecuali mereka akan memperoleh ketenteraman,
diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan nama mereka
disebut Allah dalam kalangan malaikat.”
(Hadis riwayat Muslim, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud)
Berdasarkan apa dikemukakan Rasulullah SAW itu, nyatalah seseorang mukmin yang selalu mempelajari dan membaca al-Quran tergolong dalam kalangan mukmin yang dicintai Allah.
Malah, Rasulullah SAW mengiktiraf amalan membaca al-Quran sebagai amalan ibadah terbaik untuk umatnya. Kata Rasulullah SAW:
“Yang paling utama dari ibadah umatku
adalah membaca al-Quran.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)
Membina keluarga budaya mempelajari dan membaca al-Quran perlu diutamakan kerana itulah acuan sebuah keluarga bahagia yang sentiasa dipayungi rahmat Allah. Anak membesar dalam ruang lingkup emosi berpaksikan cahaya al-Quran akan muncul sebagai anak salih dengan jiwa kebal.
Membentuk jiwa anak dengan budaya cintakan al-Quran akan menjadi tembok paling ampuh dan satu bekalan teragung apabila mereka meningkat dewasa. Jangan biarkan jiwa kita dan anak ketandusan keberkatan al-Quran kerana kesannya amat buruk.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya orang yang di dalam dadanya
tidak ada al-Quran sama sekali,
tidak ubahnya seperti rumah yang rosak.”
(Hadis at-Tirmidzi, Ahmad , Hakim dan al-Darimi)
Mempelajari dan membaca al-Quran umpama baja yang akan menyuburkan hati dan jiwa sekali gus mengukuhkan akar iman serta takwa seseorang.
Kesungguhan kita mendidik hati serta keluarga dalam aspek mempelajari dan membaca al-Quran akan menjadi suatu usaha jihad yang menjanjikan pahala di sisi Allah. Inilah rumah tangga yang berspektrumkan keharuman cahaya kerahmatan Allah.
Baca dan renunglah dengan bersungguh peringatan Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda, Abu Dzar, katanya:
“Wahai Abu Dzar,
kamu pergi untuk mempelajari satu ayat al-Quran itu
lebih baik daripada kamu solat seratus rakaat.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Justeru, dari sini dapatlah kita mengerti betapa hebatnya amalan mempelajari dan membaca al-Quran sehingga pesanan berbuat demikian sentiasa saja diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat Baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan