Dari Syaqiq Al-Balkhi berkata : Suatu hari Ibrahim Bin Adham (Abu Ishak) berjalan di pasar Basrah, lalu dia dikelilingi oleh orang ramai lantas mereka bertanya kepadanya, “Ya Aba Ishak, ALLAH telah berfirman: -
Mintalah olehmu sekalian kepada KU, nescaya AKU kabulkan.
“Akan tetapi mengapakah masih terdapat permintaan kami yang tidak ditunaikan ALLAH?”
Lantas Ibrahim Bin Adham menjawab, “Bagaimanakah ALLAH hendak mengkabulkan doa kamu sedangkan hati kamu tertutup oleh 10 perkara: -
(1) Kamu mengetahui akan hak-hak ALLAH, tetapi kamu tidak pernah menunaikannya.
(2) Kamu mengaku menyintai Rasulullah SAW, tetapi kamu tidak mengamalkan sunnah-sunnah baginda.
(3) Kamu selalu membaca Al-Qur’an, tetapi kamu tidak pernah mengamalkan kandungannya.
(4) ALLAH memberitahu bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu masih bersahabat dengannya.
(5) Kamu mengatakan takutkan mati, tetapi kamu tidak bersiap sedia menghadapinya.
(6) Kamu mengaku takutkan azab seksa neraka, tetapi kamu masih melakukan sesuatu yang menyebabkan kamu dicampakkan ke dalamnya.
(7) Kamu mengaku suka dimasukkan ke dalam syurga, tetapi kamu tidak berusaha melalui amal-amal solehmu yang membolehkan kamu dimasukkan ke dalamnya.
(8) Setiap hari kamu berusaha untuk menutup aib dan cela diri sendiri, sedangkan pada waktu yang sama kamu tidak pernah bosan mendedahkan aib dan cela saudara kamu.
(9) Setiap hari kamu makan rezeki ALLAH, tetapi kamu tidak pernah mensyukurinya.
(10) Kamu mengiringi orang ke kuburan, tetapi kamu tidak pernah mengambil pengajaran darinya.
Itulah 10 penyakit hati yang menghalang doa-doa kita dimakbulkan ALLAH. Seringkali kita menyalahkan ALLAH yang seolah-oleh tidak mendengar keluhan dan rintihan hati kita yang memerlukan belas ihsan dari NYA Yang Maha Agung. Tanpa pernah kita sedari bahawa semua itu berpunca dari salah kita sendiri. Moga sama-sama kita berusaha memperbaiki diri kita. InsyaALLAH.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan