ALLAH SWT berfirman (maksudnya):
“Sesungguhnya bilangan bulan di sisi ALLAH adalah 12 bulan sebagaimana
ketetapan ALLAH ketika DIA menciptakan langit dan bumi. Di antaranya ada empat
bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya
diri kamu dalam bulan yang empat itu.”
(Surah at-Taubah, 9: 36)
Nabi SAW bersabda, “Waktu itu telah
berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun
ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu
Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara
Jamadilakhir dan Syaaban.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Muharam ialah bulan yang mulia dan
ia memiliki keutamaannya tersendiri. Nabi SAW menyatakan Muharam ialah bulan
ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharam.
Kata Nabi SAW, “Puasa yang paling
afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharam. Solat yang
paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan
kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut
ditegaskan lagi akan larangan menganiaya diri. Ini menunjukkan perbuatan
maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya,
amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.
Hikmah bulan haram
Di antara hikmah dijadikan empat
bulan haram di mana tiga bulan secara berturut-turut dan satu bulan lagi dengan
menyendiri adalah bagi memberi ketenangan kepada umat Islam yang melaksanakan
ibadah haji. Iaitu Zulkaedah merupakan satu bulan pertama sebelum bermulanya
bulan haji. Seterusnya bulan Zulhijah di mana umat Islam disibukkan dengan
ibadah haji dan melaksanakan manasiknya. Kemudian dijadikan bulan yang
seterusnya juga sebagai bulan haram, iaitu Muharam supaya pada bulan tersebut
mereka dapat kembali ke wilayah atau negara mereka masing-masing yang saling
berjauhan secara aman.
Manakala Rejab yang berada di
pertengahan tahun pula adalah supaya pada bulan tersebut umat Islam di sekitar
Jazirah Arab dapat mengunjungi Kaabah dan melaksanakan umrah dengan aman.
(Lihat: Tafsir Ibnu Katsir, 4/148)
Ini adalah kerana dalam bulan-bulan
haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam
lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam lebih dahulu
diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri serta membuat serangan
balas.
Amalan sunnah Muharam
Di antara amalan sunnah yang
disebutkan secara khusus pada Muharam adalah berpuasa sunnah.
Sebagaimana disebutkan dalam hadis
di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharam.
Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunnah secara umum.
Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini (Muharam) terutamanya pada hari
ke-10 Muharam adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.
‘Abdullah B ‘Abbas r.a berkata,
“Nabi tiba di Madinah dan beliau mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa
‘Asyura (hari ke-10 Muharam).” Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini
adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel
daripada kejahatan musuhnya, maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau
kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.
” Nabi SAW pun berkata:
“Kami lebih
berhak terhadap
Musa daripada kamu semua.”
Akhirnya Nabi pun berpuasa dan
memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sejarah penetapan puasa ‘Asyura
mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa ‘Asyura
tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah,
beliau tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar
turut berpuasa.
Tetapi setelah perintah kewajiban
berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak
diwajibkan.
Rasulullah mengatakan:
“Sesiapa yang hendak berpuasa
(pada hari
Asyura), silakan berpuasa,
bagi yang tidak berpuasa,
juga tidak mengapa.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Kemudian ketika di penghujung
hayatnya, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura
(hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.
Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika
Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk
turut berpuasa, para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah
hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika
begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke
sembilannya.” Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan,
beliau telah wafat terlebih dahulu.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Dari hadis ini, umat Islam tidak
hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai
hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan
Muharam.
Rasulullah mengisyaratkan tentang
kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya, “Adapun puasa di hari Asyura, aku
memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.”
(Hadis
Riwayat Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan