“La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin.” Demikianlah doa atau zikir yang masyhur diajar
dan diamalkan oleh umat Islam. Ia bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri
sendiri.” Doa yang baik lagi mujarab ini diucapkan oleh Nabi Yunus sebagaimana dirakamkan oleh Allah:
"Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun Nun (gelaran bagi Nabi
Yunus), ketika dia pergi
(meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia
menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan;
maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita
dengan berkata: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha
Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya
diri sendiri.”
[al-Anbiya’
21:87]
Sedikit Latarbelakang Kisah Nabi Yunus.
"Nabi Yunus bin Matta ialah salah seorang Rasul Allah:
[al-Shaffat 37:139].
Ketika diutus kepada kaumnya, beliau marah
atas keengganan mereka untuk menerima dakwah tauhid yang disampaikannya.
Justeru dalam keadaan marah, beliau meninggalkan kaumnya
dan menaiki kapal. Sayang sekali dalam pelayaran, kapal tersebut
agak sarat dengan muatan sehingga hampir tenggelam. Para penumpang
melakukan undian, siapakah yang perlu dibuang ke laut bagi
meringankan bebanan kapal. Nabi Yunus turut mengundi lalu kalah,
maka beliau terpaksa terjun dari kapal itu ke lautan luas.
Di dalam lautan luas, Nabi Yunus ditelan pula oleh sebuah ikan yang
besar, kemungkinan salah satu dari spesis ikan paus. Dalam perut
ikan yang gelap-gelita itulah, Nabi Yunus menyedari kesalahannya
melarikan diri dari misi dakwahnya, lalu banyak berdoa dan
berzikir kepada Allah dengan kalimah “La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin.” Maka dengan doa ini, Allah berfirman:
“Maka
Kami kabulkan
permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang
menyelubunginya dan demikianlah kami selamatkan orang-orang yang beriman.”
[al-Anbiya’ 21:88]
Seandainya Nabi Yunus tidak mengingati Allah dengan doa tersebut, maka
Allah menyatakan:
“Maka kalaulah dia bukan dari
orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di
dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia
dibangkitkan keluar dari kubur.”
[al-Shaffat 37: 142-143]
Apakah rahsia di sebalik doa “La ilaha illa anta, Subhanaka,
inni kuntu minaz zhalimin” yang secara zahirnya seperti
ringan disebut, mudah dihafal? Bagaimana mungkin satu doa seperti ini
dapat menyelematkan seseorang dari musibah yang amat
besar, sebesar ditelan oleh ikan paus? Adakah doa ini khusus untuk
Nabi Yunus atau umum untuk semua umat Islam? Demikianlah beberapa
rahsia dan misteri yang ingin saya kongsikan
seterusnya.
Rahsia 1:
Rahsia
pertama, perhatikan bahawa doa ini dibuka dengan kalimah tauhid “Tiada
Tuhan melainkan Allah”. Kalimah
tauhid tidak sekadar bermaksud tiada tuhan yang berhak aku sembah
melainkan Allah, tetapi dalam konteks ini juga bermaksud tiada tuhan
yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan
menghajatkan keselamatan melainkan Allah. Pembukaan seperti ini
membuktikan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana beliau
tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa
jua melainkan kepada Allah sahaja.
Ini
merupakan manhaj para Rasul dan Nabi yang mesti kita ikuti. Perhatikan –
sebagai contoh lain – sikap Nabi Ayyub
ketika beliau ditimpa penyakit. Beliau tidak mengadu kepada para
doktor atau selainnya, tetapi mengadu kepada Allah sahaja:
"Dan
(sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika dia berdoa
merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa
penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala
(yang lain) yang
mengasihani.”
[al-Anbiya 21:83]
Rahsia 2:
Seterusnya
Nabi Yunus mengucapkan “Maha Suci Engkau (ya Allah)”, bererti
mensucikan Allah dari sebarang bentuk
kezaliman atau penganiayaan. Lebih mendalam, Nabi Yunus menyucikan
Allah bahawa apa yang menimpanya saat itu (ditelan oleh ikan paus)
bukanlah merupakan satu bentuk penganiayaan oleh Allah ke
atas dirinya.
Penyucian
ini penting ditegaskan kerana kadangkala apabila ditimpa kesusahan,
kita marah atau menyalahkan Allah. Malah kita
menuduh Allah sebagai konon sengaja menganiaya diri kita. Maha
Suci Allah dari menganiaya manusia, tetapi manusialah yang menganiaya
diri mereka sendiri:
“Dan tiadalah Kami
menganiaya mereka, tetapi
merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”
[al-Nahl 16:118]
Rahsia 3:
Tanpa
keberatan, tanpa alasan yang berlapik-lapik, Nabi Yunus terus mengaku
kesalahannya dengan berkata: “Sesungguhnya
aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Nabi
Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara
yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri, yakni
dengan mengakui kesalahan dirinya sendiri.
Selain
itu Nabi Yunus sedar bahawa kesusahan yang menimpanya saat itu, iaitu
ditelan oleh ikan paus, merupakan kesan dari
kesalahan dirinya sendiri yang melarikan diri dari tugas dakwah
yang Allah amanahkan kepadanya. Merupakan sesuatu yang sedia dimaklumi
bahawa salah satu faktor seseorang itu ditimpa kesusahan
dan kesulitan ialah kerana dosa-dosa hasil dari kesalahan yang
pernah dia lakukan sendiri. Allah menyatakan hakikat ini:
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari
perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”
[al-Shura 42:30]
Demikianlah tiga rahsia di sebalik kemujaraban doa Nabi Yunus. Ia bukan
sekadar
ucapan yang ringan di mulut lagi mudah dihafal, tetapi ucapan yang
memantapkan tauhid, mensucikan Allah dan mengakui kesalahan diri
sendiri sekaligus mengisyaratkan pemohonan ampun. Marilah
kita sama-sama mengamalkannya ketika susah dan senang sambil
memerhatikan rahsia-rahsia di sebaliknya.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan