:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Sabtu, 26 Mei 2012

Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat




Tiga peringatan penting


di sebalik doa Nabi Ibrahim


Oleh


Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi




Bimbang ditimpa kehinaan pada hari kiamat





SALAH satu doanya, Nabi Ibrahim memohon kepada Allah SWT supaya tidak ditimpakan kehinaan pada hari kiamat. Nabi Ibrahim berdoa:






“Dan

janganlah Engkau hinakan daku

pada hari makhluk dibangkitkan hidup semula.

Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak

tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,

kecuali (harta benda dan anak-pinak)

orang yang datang menghadap Allah

dengan hati yang selamat sejahtera

(dari syirik dan penyakit munafik).”

(Surah al-Syu'ara, ayat 87-89)







Berdasarkan doa diucapkan Nabi Ibrahim, terdapat tiga perkara yang menarik diberikan perhatian oleh setiap Muslim. Pertama, kebimbangan Nabi Ibrahim mengenai azab yang pedih pada hari akhirat.









Sebagai Nabi, bahkan bapa segala nabi dan rasul, juga bergelar Khalil Allah yang bermaksud kekasih Allah, Nabi Ibrahim masih bimbang serta takut jika ditimpakan kehinaan oleh Allah SWT pada hari kiamat. Inilah sifat mulia Nabi Ibrahim yang sewajarnya dicontohi.









Kedua, tiadanya nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan di sisi Allah SWT pada hari kiamat. Untuk neraca piawaian duniawi, harta dan anak termasuk pengikut adalah petunjuk utama menentukan status serta darjat sosial manusia.









Akan tetapi pada hari akhirat nanti, kesemua itu tidak menjadi perkara penting dan tidak ada harganya kerana kenikmatan di syurga tidak dapat dijual beli, apatah lagi malaikat sebagai barisan pelaksana perintah Allah tak mungkin dapat diminta kasihan untuk melepaskan diri daripada azab dan kesengsaraan.









Ketiga, kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat. Jaminan keselamatan dan kebahagiaan hanya diberikan kepada orang yang datang menghadap Allah dengan hati bersih dan sihat atau qalbun salim.







Dalam kata lain, hati memainkan peranan penting mencerminkan dan menentukan kemuliaan atau kehinaan peribadi seseorang. Malah, hati juga dianggap sebagai ejen penentu kepada hidup dan matinya jasad manusia.









Anggota tubuh badan manusia tidak berfungsi secara keseluruhannya kerana terlucutnya roh yang bertapak dalam hatinya. Hatilah tempat bertapaknya iman, takwa, sifat mahmudah, niat dan dalam ketika lain, di sinilah juga terletaknya kekufuran, nifaq serta sifat mazmumah.









Perlu ditegaskan, ada banyak pendapat daripada ulama tafsir berkaitan asal usul kalimah qalbun salim ini yang asasnya berkisar kepada tiga makna. Pertama, seperti dikemukakan Ibnu Katsir dan al-Alusi, qalbun salim bermaksud sejahteranya hati daripada penyakit syirik atau kepercayaan sesat.








Hati sihat bererti memiliki akidah yang benar, lurus, bebas daripada segala bentuk kemusyrikan dan kesesatan.









Kedua, qalbun salim bererti bersih daripada penyakit hati iaitu sifat mazmumah seperti riak, hasad dengki, sum’ah, sombong dan sebagainya. Permulaan surah al-Baqarah, dikemukakan tiga golongan manusia iaitu orang yang bertakwa (al-muttaqun), orang kafir (al-kafirun) dan orang munafik (al-munafiqun).









Golongan yang disebut terakhir ini adalah orang yang hatinya berpenyakit seperti ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud:






“Dalam hati mereka

(golongan yang munafik itu)

ada penyakit (syak dan hasad dengki),

maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka;

dan mereka pula akan beroleh azab seksa

yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab

mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).”

(Surah al-Baqarah, ayat 10)






Hati yang bersih dipenuhi dengan iman, hidayah petunjuk dan takwa. Di dalamnya, sarat gelora kerinduan, kecintaan, ketaatan dan ketundukan yang kudus kepada Allah. Justeru, hati adalah tempat bertapaknya nilai kebaikan seperti khusyuk, tawaduk, sabar, tawakal, syukur, istiqamah, pemaaf dan sifat mahmudah lain.






Ketiga, seperti badan yang sihat, hati sihat juga memiliki kesempurnaan dan kekuatan melakukan tugas sesuai dengan maksud penciptaannya sebagai hamba dan khalifah Allah. Fungsi hati yang utama adalah untuk mengenal Allah SWT, iaitu dengan iman dan takwa, seperti maksud sabda Rasulullah SAW:







“Takwa itu di sini,

dan baginda SAW menunjuk

ke dadanya sebanyak tiga kali.”

(Hadis riwayat Baihaqi)








Satu perkara tidak dapat disangkal adalah hati yang sihat sumber segala kebaikan dan pendorong amal salih. Di sini, hanya hati yang disebut sebagai sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat, bukannya anggota tubuh badan lain.







Hal ini, menurut imam al-Razi, kerana jika hati sihat, seluruh anggota badan yang lain ikut sihat. Jika baik hati, maka baiklah seluruh anggota tubuh yang lain dan begitulah sebaliknya.







Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:









“Sesungguhnya

dalam jasad itu ada segumpal daging.

Apabila dia baik,

maka baiklah seluruh jasad.

Tetapi, apabila dia rosak,

maka rosaklah seluruh jasadnya.

Ketahuilah bahawa dia itu ialah hati.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)







INFO





Tiga perkara menarik di sebalik doa Nabi Ibrahim





  • Bimbang ditimpa kehinaan dan azab pedih pada hari akhirat;




  • Nilai harta kekayaan, pangkat kedudukan, pengikut dan waris keturunan tiada nilai pada hari kiamat dan





  • Kebersihan hati adalah sumber keselamatan dan kebahagiaan pada hari akhirat.









Sumber


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...