Mencari rezeki
halal dan wujudkan keadilan
antara majikan, pekerja
Bersama Ustaz Zaman
Ini bertujuan mewujudkan dua hubungan iaitu antara makhluk dan penciptanya. Oleh itu, semua urusan berkaitan adalah termasuk dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada urusan ibadat yang diperintah Allah dan akan mendapat ganjaran.
Semua perkara haram dan halal telah digariskan melainkan perkara ragu-ragu yang memerlukan pencerahan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya
perkara halal dan haram itu
adalah jelas dan di antaranya adalah
perkara musyhtabihat (samar-samar).”
(Al-Hadis)
Antara pekerjaan yang dimuliakan Allah SWT ialah memakmurkan bumi dengan menghidupkan sektor pertanian supaya dapat dimanfaatkan oleh orang lain. Hakikatnya, bumi yang dimakmurkan akan sentiasa mendoakan pemiliknya dengan kerahmatan dan kesejahteraan.
Diriwayatkan daripada Jabir, sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Jika kamu
mempunyai tanah
hendaklah diusahakan
dan
jika kamu tidak berkesempatan,
maka hendaklah dipinjamkan
kepada saudara Muslim untuk diusahakan.”
(Hadis riwayat Muslim)
Kita hendaklah bersungguh dalam melakukan apa juga bidang yang diceburi. Baginda SAW adalah orang yang paling bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Ketekunan Baginda disaksikan sahabat dan diterjemahkan dalam urusan pekerjaan mereka.
Diriwayatkan oleh Aisyah, Rasulullah SAW beribadat di waktu malam sehingga bengkak tumitnya. Begitu juga dalam masa peperangan Khandak, Rasulullah SAW memunggah pasir dari kubu sehingga tertutup kulit perut Baginda, bahkan Baginda sanggup mengikat dengan batu untuk menahan lapar.
Islam terus mempertahankan konsep keadilan dalam menangani sebarang permasalahan dalam semua bidang pekerjaan dan melarang keras terhadap penindasan dilakukan terhadap orang lain dengan memerah keringat mereka tanpa balasan setimpal.
Islam juga mempunyai mekanisme jelas bagi mencapai tujuan itu yang diukir melalui kisah Nabi Musa yang bekerja di rumah Nabi Syu’ib. Nabi Syu’ib berkata:
“Aku tidak hendak memberati kamu.
Dan kamu InsyaAllah
akan mendapatiku termasuk orang yang baik.”
(Surah Al-Qasas, ayat 27)
Kewujudan kesatuan sekerja contohnya adalah satu tuntutan dalam agama Islam supaya masing-masing mendapat hak saksama dan tiada pihak yang teraniaya. Sesungguhnya peranan pihak berwajib diperlukan untuk memastikan semua pihak mendapat keadilan.
Pimpinan mestilah prihatin terhadap orang bawahan dan begitu juga antara majikan dan pekerja. Sabda Baginda SAW yang bermaksud:
“Setiap individu
adalah pemimpin dan kamu
akan ditanya mengenai mereka
yang di bawah pimpinannya.”
Saidina Umar ketika memimpin Madinah pernah menyebut dalam kata-katanya yang masyhur:
“Jika
seekor kaldai sekalipun
tersesat di negeri Iraq sana,
nescaya aku akan ditanya
kenapa kamu tidak selamatkan dia
wahai Umar.”
Pekerja adalah jentera dalam merealisasikan impian majikan menambahkan produktiviti. Proses perbincangan mestilah sentiasa berjalan antara kedua-dua pihak.
Kewajaran menambahkan pendapatan mereka adalah satu keperluan, khususnya apabila berlaku peningkatan taraf hidup dan kenaikan barang keperluan semasa mestilah diperhatikan pihak berwajib.
Ibnul Qayyim dalam dalam mengupas persoalan ini menyebut, diharuskan bagi pihak berwajib untuk campur tangan jika berlaku kenaikan harga barang bagi meringankan bebanan pengguna.
Anas meriwayatkan, telah berlaku kenaikan harga barang disebabkan manipulasi daripada pihak tertentu semasa itu, maka aduan sampai kepada Baginda SAW dan jawab Baginda SAW:
“Sesungguhnya
Allah SWT adalah pencipta
yang amat berkuasa,
yang menghidup dan mematikan,
yang menyulitkan dan memudahkan segala urusan.
Saya harap tiada di antara kamu
yang berusaha untuk menzalimi saudaranya
pada darah dan harta.”
Ingatlah, pekerja adalah saudara seagama yang berhak mendapat keadilan yang sewajarnya dari majikan masing-masing. Mewujudkan suasana yang adil adalah kemuncak kepada matlamat agama Islam mewujudkan keharmonian dalam masyarakat.
Janganlah kita menjadi orang paling kecewa pada hari kiamat melihat hasil yang kita usahakan. Firman Allah SWT:
“Orang yang paling kecewa (rugi)
pada hari kiamat kelak ialah
orang yang mencari harta
secara tidak halal lalu ia masuk
ke neraka bersama hartanya.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan