
Cendiakawan berpendirian sederhana
 
  
KETENANGAN pagi Rabu 10 Mac lalu telah menyaksikan pemergian ulama  terkenal Mesir, Sheikh Al-Azhar Prof. Dr. Muhammad Sayed Tantawi buat  selama-lamanya. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya kerana serangan  jantung pada usia 82 tahun.
 
Ketika itu beliau sedang menaiki sebuah pesawat dalam perjalanan  pulang ke Mesir selepas menghadiri majlis Anugerah Antarabangsa Raja  Faisal di Arab Saudi.
 
Jenazah Tantawi dikebumikan di Jannatul Baqee, Madinah yang  menempatkan makam saudara-mara dan sahabat Nabi Muhammad S.A.W.
 
Pemergian figura tersohor itu bukan sahaja meninggalkan rasa sedih  dan kehilangan bagi seluruh ahli keluarga beliau. Ketiadaan Tantawi kini  amat dirindui segenap lapisan masyarakat global yang mengingati  ketokohan, kebijaksanaan dan keluasan spektrum pandangan minda Tantawi  yang sering mengajak pendengar beliau berfikir.
 
"Perwatakannya sederhana, lemah-lembut apabila berbicara namun amat  tegas apabila membincangkan berhubung isu dan masalah umat Islam di  seluruh dunia," demikian ulasan Penasihat Agama Negeri Johor, Datuk Nooh  Gadut mengenai keperibadian Allahyarham Tantawi. 
 
Berbeza dengan ulama-ulama tradisional yang lain, Tantawi, 82,  merupakan seorang cendekiawan berpendirian sederhana dan lebih  bertoleransi dalam menyampaikan pendapat dan hujahnya.
 
Menurut Nooh, secara peribadi beliau mengenali Tantawi sebagai  seorang yang mudah didekati tanpa protokol atau temu janji.
 
Nooh pernah menjalani kursus Pengurusan Fatwa di Darul Al-Iftak,  Kementerian Keadilan Mesir kira-kira sedekad lalu di bawah seliaan  Tantawi.
 
Malah hampir semua kos perbelanjaan Nooh ditanggung oleh bekas  gurunya itu.
 
|  
 | 
| BEKAS Perdana Menteri Tun  Dr. Mahathir Mohamad menyambut  kedatangan Allahyarham Tantawi yang  melawat Malaysia pada Julai 2003.  
 | 
  
"Kerana sifat tawaduknya itu, beliau disanjungi oleh pelajar-pelajar  Al-Azhar dan umat Islam di seluruh dunia selain dikagumi  pemimpin-pemimpin bukan Islam," katanya kepada Kosmo!
 
Biarpun sibuk dengan tugasan seharian, Tantawi komited semasa  mengajar malah menganggap para pelajar Universiti Al-Azhar sebagai  anak-anaknya sendiri.
 
Nooh memberitahu, adakalanya jika berkesempatan gurunya itu akan  mengimamkan mereka menunaikan solat di masjid selain tidak lokek  membekalkan buku-bukunya sebagai panduan kepada pelajar-pelajar  universiti.
 
Tantawi juga mewakafkan beberapa kawasan di sekitar Al-Azhar untuk  dijadikan asrama pelajar di samping memberi bantuan biasiswa bulanan  kepada mereka yang memerlukan.
 
Dilahirkan pada 28 Oktober 1928 di perkampungan Salim As-Syarqiyyah  di daerah Tama, Soohaj kira-kira 290 kilometer ke selatan bandar raya  Kaherah, Mesir, Tantawi merupakan anak sulung daripada enam beradik.
 
Minatnya dalam bidang agama terserlah apabila mula menghafal al-Quran  pada usia 13 tahun sebelum melanjutkan pelajaran di Institut Agama  Iskandariah.
 
Beliau dianugerahkan ijazah doktor falsafah dalam pengajian Hadis dan  Tafsir dari Universiti Al-Azhar sebelum menjadi ahli fakulti Bahasa  Arab dan Pengajian Islam di Universiti Islam Libya pada 1972.
 
Beliau kemudian berpindah ke Arab Saudi pada 1980 untuk menjadi Ketua  Jabatan Tafsir, Universiti Madinah, Arab Saudi sebelum kembali ke Mesir  lima tahun kemudian. Pada 1985 beliau menjadi dekan di salah sebuah  fakulti di Institut Agama Iskandariah. 
 
Tahun 1986 semasa ulang tahun kelahirannya ke-56, beliau telah  dilantik sebagai Imam Besar Mesir dan memegang jawatan itu selama  sepuluh tahun.
 
Kerana ketokohannya, Presiden Mesir, Hosni Mubarak telah memilihnya  sebagai Imam Besar Masjid Al-Azhar dan Sheikh Al-Azhar pada 1996.
 
Sebagai peneraju di universiti pertama dunia itu, beliau berjaya  mengemudi Al-Azhar sama seperti tokoh-tokoh sebelumnya iaitu Mahmud  Shaltut dan Prof. Dr. Abdul Halim Mahmoud lakukan iaitu melahirkan  ribuan ilmuan Islam dalam pelbagai bidang.
 
Tantawi juga menghasilkan beberapa kitab yang kini menjadi sumber  rujukan masyarakat Islam di seluruh dunia seperti tafsir al-Quran  setebal 7,000 muka surat yang dikenali sebagai al-tafser al-waset  yang dihasilkannya dalam tempoh sedekad.
 
Kontroversi
 
Sepanjang memegang jawatan Sheikh Al-Azhar, Tantawi dikenali sebagai  seorang ulama berpandangan liberal terutama berhubung isu hak asasi  wanita.
 
Tetapi pendapatnya sering dikritik oleh Ahli Parlimen Mesir, akhbar  pro pembangkang dan pertubuhan Islam Mesir kerana dilihat terlalu  menurut dasar yang ditetapkan kerajaan Mesir. 
 
Antara isu berbangkit ialah apabila beliau menentang amalan berkhatan  pada wanita sekali gus mencetuskan kritikan kumpulan hak asasi kerana  tidak menurut cara Islam.
 
 DELEGASI Mashitah (kiri)  dan  rombongan pegawai kerajaan Malaysia melawat Tantawi di Mesir pada  penghujung Januari  lalu bagi membincangkan isu-isu semasa dan hubungan  dua hala di antara kedua-dua negara. 
 
  
Tujuh tahun lalu, ketika Perancis dikritik oleh dunia Islam kerana  mengharamkan tudung di sekolah-sekolah di negara itu, Tantawi menyatakan  menutup aurat adalah tanggungjawab semua wanita beragama Islam.  Bagaimanapun, negara bukan Islam berhak menentukan undang-undang mereka  sendiri.
 
Tahun lalu, sekali lagi kontroversi tercetus apabila beliau melarang  purdah di semua sekolah dan kediaman yang bersekutu dengan Universiti  Al-Azhar kecuali di kelas yang mempunyai guru lelaki.
 
Tantawi pernah didesak meletak jawatan kerana bersalaman dengan  Presiden Israel, Shimon Peres pada persidangan antarabangsa di New York  dua tahun lalu.
 
Kepada Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid, biarpun  sering dikritik, Tantawi sentiasa tenang dan tidak mudah melenting malah  bersedia menerima pandangan orang lain.
 
"Sebagai seorang yang mahir dalam bidang akidah dan falsafah Islam,  Tantawi tidak gentar menyatakan kebenaran dan pendapat.
 
"Beliau melihat konteks Islam dalam skop yang lebih luas dan sesuai  dengan perkembangan zaman," ujarnya yang juga pernah berguru bersama  Tantawi selama tiga bulan di Mesir tujuh tahun lalu.
 
Mengambil contoh isu purdah, Mohd. Tamyes berkata, ulama itu tidak  sewenang-wenang mengharamkan pemakaiannya tanpa mempunyai alasan yang  kukuh serta dirasakan wajar.
 
Katanya, Islam tidak melihat pemakaian purdah sebagai sesuatu yang  wajib kepada seseorang wanita kecuali ia boleh menimbulkan pelbagai  fitnah kepada dirinya.
 
Beliau menjelaskan, ketika ini kerajaan Arab Saudi turut melarang  pemakaian purdah dalam kalangan wanita semasa memasuki Masjidil Haram  atas faktor keselamatan.
 
Apakah pandangan Mohd. Tamyes berhubung isu Tantawi bersalaman dengan  Presiden Israel dan pemimpin-pemimpin asing wanita? Mohd. Tamyes  menjelaskan, ia hanya sekadar menunjukkan perasaan hormat ulama itu  kepada orang bukan Islam selain mengelakkan perasaan aib individu  terbabit.
 
"Kita semua tahu sekali pun berjabat tangan dengan wanita ajnabi  (dibolehkan berkahwin) hukumnya makruh sekiranya tiada sebab tertentu,  ia dibolehkan dalam keadaan tertentu.
 
"Sebagai orang Islam kita dikehendaki menghormati dan sentiasa  menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan orang lain selagi ia tidak  menyakitinya," katanya.
 
Tantawi juga menolak pendekatan yang ekstrem seperti yang dilakukan  oleh kumpulan Taliban dan Al-Qaeda semata-mata mahu menunjukkan  permusuhan mereka terhadap bukan Islam.
 
Beliau menyifatkan tindakan Osama Bin Laden yang memanggil pengebom  berani mati semasa serangan 11 September pada 2001 sebagai jihad tidak  sah dan tidak terkandung dalam ajaran Islam.
 
Tantawi menggelar pengebom berani mati sebagai musuh-musuh Islam dan  memberitahu mereka yang berlainan agama harus bekerjasama dan seharusnya  tidak bermusuh atau terlibat dalam konflik.
 
Menurut Tantawi, unsur ekstremisme adalah musuh Islam sedangkan jihad  dibenarkan untuk membela dan membantu mereka yang tertindas, perbezaan  di antara kedua-dua tindakan itu ibarat langit dan bumi.
 
Dalam satu kenyatannya semasa Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di  Kuala Lumpur dua tahun lalu, Tantawi menjelaskan terdapat perbezaan  antara meletupkan diri di tempat awam dengan di tengah-tengah musuh.
 
"Mereka yang meletupkan dirinya dalam kalangan musuh yang cuba untuk  membunuh dan memusnahkan negara mereka, maka pembunuhan diri seperti itu  adalah syahid.
 
"Tetapi mereka yang meletupkan diri dalam kalangan wanita,  kanak-kanak dan di pasar awam, tindakan itu bertentangan dengan ajaran  Islam," katanya. 
 
 TANTAWI menerima kunjungan pewaris  takhta Britain, Putera Charles dan isterinya Camilla yang mengadakan  kunjungan ke Masjid Al-Azhar di Kaherah pada Mac 2006. 
 
  
Sementara itu, Presiden Perancis Nicolas Sarkozy berkata, Tantawi  bekerja tanpa kenal penat lelah untuk mempromosikan pemahaman antara  bangsa dan agama.
 
Malaysia negara Islam
 
Keluasan ilmu agama Tantawi turut diiktiraf apabila beliau sering  kali dijemput untuk menyampaikan ceramah pada seminar dan majlis ilmiah.
 
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah  Ibrahim berkata, Tantawi kagum dengan pembangunan dan kemakmuran  Malaysia yang dilihatnya berpotensi untuk menjadi sebuah negara Islam  yang maju satu hari nanti.
 
Mashitah berkata, semasa pertemuannya dengan ulama itu di Mesir pada  penghujung Januari lalu, ulama itu melahirkan rasa bangganya terhadap  rakyat Malaysia yang disifatkannya mempunyai akhlak yang baik. 
 
"Tantawi menjelaskan, untuk mewujudkan sebuah negara Islam seperti  Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa namun tetap hidup dalam  keadaan harmoni bukannya sesuatu yang mudah.
 
"Beliau menjelaskan kepada saya, sedangkan di beberapa negara Islam  yang telah lama wujud sebelum Malaysia, masyarakatnya masih  berpecah-belah dan bersengketa disebabkan perbezaan mazhab dan agama,  tetapi ia tidak berlaku di Malaysia," katanya terharu kerana mendapat  pujian daripada Tantawi sehingga di gelar Ummul Azhar yang  bermaksud anak didik Al-Azhar atas kejayaannya dalam kerjaya dan  politik.
 
Sepanjang hayat Allahyarham Tantawi, beliau berhadapan dengan zaman  cabaran paling hebat buat umat Islam dan pemahaman global mengenai agama  suci itu. Kini, beliau sudah tiada. Beliau sudah melaksanakan bahagian  dan tanggungjawabnya.
Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm