Salam Aidil Adha
Aidil Adha
Solat hari raya merupakan khususiat/keistimewaan umat ini seperti solat istisqa’ (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).
Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT:
Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)
Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.
Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban.
Ini sebagaimana sabdanya:
“Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami”.
Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.
Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.
Aidil Adha adalah Aidil Akbar (Raya Terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan dari neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.
Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya.
Sekiranya tidak, maka dia berada jauh dari rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.
Justeru, sementara kita masih diberi ruang dan kemampuan, marilah bersama-sama kita merebut peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya terhadap kita.
~~~~~~~
~~~~~~~~~~~~~~~
Di sebalik ibadah korban
Rata-rata umat Islam akan memperingati kehadiran bulan Zulhijjah yang cukup sinonim dengan sambutan perayaan yang disebut sebagai "Eid al Adha". Kendatipun begitu, Islam telah menawarkan kelebihan yang lebih besar dari keseronokan berhari raya iaitu aktiviti peribadatan haji dan pelaksanaan ibadah korban. Tercatat dalam kitab-kitab muktabar, Ibadah korban adalah satu sunnah yang menggambarkan peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim yang diarahkan oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya sepertimana firman Allah dalam surah Al-Saffat ayat 102 yang bermaksud Maka ketika Anaknya itu sampai (ke peringkat umur Yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi Bahawa Aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?.
Dalam menafsirkan ayat ini, para mufasirin membahaskan tentang siapakah si anak yang dikorbankan itu, adakah ia Nabi Ismail ataupun Nabi Ishak a.s. Al Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa yang dimaksudkan anak di dalam ayat ini ialah Nabi Ismail. Namun, bila diteliti pandangan yang dilontarkan oleh Al Imam Al-Tobari, beliau menukilkan bahawa yang dimaksudkan dengan anak itu ialah Nabi Ishak a.s. Saya meninggalkan percanggahan ini serta menyerahkannya kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui bagi mengajak para pembaca meneliti cerita seterusnya. Maka, Nabi Ibrahim a.s. pun diarahkan untuk menyempurnakan perintah untuk menyembelih anaknya sendiri yang ketika itu sudah meningkat umurnya.
Menurut Al Imam Jalaluddin As Sayuti dan Iman Jalaluddin Al Mahalli di dalam tafsir karangan mereka Tafsir Quran Al Az'im Lil Imamaini Al Jalilaini, umur anaknya ketika itu 7 tahun sementara sebahagian ulama' menyatakan 13 tahun. Maka, ketika itulah Nabi Ibrahim a.s. bermimpi menyembelih anaknya, dan sebahagian ulama' menyebut bahawa Malaikat Jibril datang mengingatkan perintah tersebut.
Kedua-dua mereka sama ada Nabi Ibrahim a.s. dan anaknya saling melafazkan taat setia untuk melaksanakan perintah Allah SWT itu. Malah, si anak yang masih muda remaja dengan penuh keyakinan seperti yang telah dirakamkan dalam surah al-Saffat ayat 102 yang bermaksud …Wahai ayah, jalankanlah (lakukanlah) apa Yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar. Pada ayat selanjutnya Allah S.W.T. menerangkan yang bermaksud Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - Dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami).
Al Imam Al-Tabari telah memperihalkan bagaimana detik-detik peristiwa itu berlaku, maka berkata anaknya: "Wahai bapaku kemaskan ikatan pada diriku, hingga aku tidak mampu bergerak". Maka, ketika Nabi Ibrahim a.s. meletakkan pisau di leher anaknya, maka menitiklah air matanya tanda kesedihan. Sifat kebapaan yang kasih kepada anaknya menyebabkan baginda gugup melakukannya. Ketika si anak melihat ayahandanya kelihatan gugup untuk meneruskan sembelihan tersebut, maka berkata si anak: "Pantaskan sembelihan ini, biar ia tepat dihalqumku, agar mudah maut untuk aku hadapi".
Maka, ketika itu Nabi Ibrahim a.s. mendapat kekuatan baru lalu dengan penuh tekad keyakinan dalam menjalankan suruhan Allah SWT itu, nabi Ibrahim menyembelih anaknya. Namun ketika itulah Allah SWT menukarkan anaknya itu dengan seekor kibas. Nyata anaknya masih hidup. Lalu Allah berfirman dalam ayat 104 dan 105 yang bermaksud serta Kami menyerunya wahai Ibrahim!. "Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi Yang Engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang Yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Pengorbanan yang tiada taranya ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. seringkali kedengaran oleh kita semua melalui pelbagai sumber. Persoalannya, berapa ramai di antara kita mampu berbicara tentang pengorbanan, namun pengamalannya masih ditahap yang tidak membanggakan. Saya dihubungi oleh salah seorang Pegawai Agama dari sebuah negeri bertanyakan adakah boleh untuk ia membenarkan keputusan mesyuarat ahli Jawatankuasa Masjid yang memutuskan untuk mengambil duit masjid bagi melaksanakan peribadatan korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin di kariah tersebut?
Saya terfikir, apakah tiada di kalangan mereka manusia yang berkemampuan melaksanakannya sehingga terpaksa mengambil wang kutipan dari institusi masjid. Seperti mana yang kita fahami peribadatan korban yang dimaklumi sebagai sunat muakkad tertanggung atas mereka yang hidup dan berkemampuan di kalangan mereka sahaja. Apakah sudah terdesak sehingga memerlukan tabungan wang dari masjid yang niat penyumbangnya adalah untuk masjid dan bukannya aktiviti korban.
Dewasa ini saya sering memerhati gelagat masyarakat yang mengambil berat dengan gesaan agama agar melakukan ibadat korban. Ini merupakan suatu titik tolak bahawa sifat penyanyang dan prihatin terhadap orang Islam yang lain masih wujud dalam hati sanubari masyarakat kita. Cuma, yang perlu diperingatkan ialah keperluan memperbetulkan niat dalam melaksanakannya agar tidak dicemari dengan kesombongan, bermegah-megah dengan kemampuan dan perkara mazmumah yang lain.
Suatu sikap yang perlu dikikis oleh sebahagian besar masyarakat kita ialah berlumba-lumba meramaikan majlis sembelihan korban dengan harapan membawa pulang bungkusan daging bukannya membawa pulang semangat dan ruh persaudaraan sesama Islam.
Pengorbanan akan membawa kesatuan.Bila yang kaya membantu yang miskin, yang kuat membantu yang lemah, yang mulia membantu yang hina, inilah pengorbanan yang kita perlukan dalam masyarakat hari ini. Pengorbanan yang menuntut kita membuang sikap individualistik terhadap diri sendiri bagi mengutamakan kepentingan orang lain. Jika ummah Melayu hari ini dapat melihat intipati pengorbanan dari sudut yang saya sebutkan ini, saya yakin kesatuan ummah yang kita impikan akan menjadi kenyataan.
Saya tertarik dengan laporan akhbar berkaitan kesediaan Menteri Besar Perak menghulurkan bantuan berupa air bersih kepada mangsa banjir di Kedah selepas perbincangan bersama Menteri Besar Kedah.
Motif utama kedua-dua pihak adalah membantu mangsa-mangsa banjir yang amat mengharapkan keprihatinan pemimpin atas musibah yang dihadapi. Sesuatu yang amat menarik bila mana kedua-dua pemimpin utama negeri sanggup mengenepikan kepentingan politik kepartian masing-masing demi meneruskan keselesaan ummah.
Maka hari ini, kita umat Islam perlulah meneruskan talian kisah sejarah penuh bermakna pengorbanan Nabi Ibrahim yang digelar Khalilullah bersama anaknya. Inilah manifestasi kehambaan kelas pertama yang membuktikan keimanan dan ketaqwaan mereka demi meletakkan Islam ke puncak mercu.
Semoga ibadah korban hari ini dapat memberikan erti yang mendalam pada diri kita semua…
Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha..
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm
Tiada ulasan:
Catat Ulasan