Judi
rosakkan jiwa,
terdedah perbuatan syirik
Menjelang Piala Dunia 2014 yang sedang
berlangsung, dibimbangi ejen-ejen judi bola kembali aktif membuat pertaruhan
judi bola.
Mereka menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan demi menarik minat ramai orang. Dengan bermatlamatkan mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, ia menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai perkara yang ditegah syarak.
Dalam al-Quran jelas larangan berjudi. Allah
SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, arak, judi,
pemujaan berhala dan menilik nasib dengan batang anak panah adalah semuanya
kotor, keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya,
moga-moga kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah, ayat ke-90).
Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Ia sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad serta merosakkan perangai mahupun budi pekerti seseorang.
Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka
sesungguhnya ia seolah-olah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah
babi.”
(Riwayat Muslim).
Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada ia sedikit atau banyak dan kecil atau besar.
Judi diberi nama yang bermacam-macam seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dosa besar. Islam awal-awal lagi mengharamkan judi, tapi masih ada dalam kalangan orang Islam yang terbabit dalam kegiatan judi.
Ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, melakukan pemujaan di kubur lama, pokok besar serta sebagainya.
Allah SWT menerangkan judi adalah suatu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa. Ia perbuatan menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus.
Ia boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT.
Penulis berkhidmat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan