Ramadan bulan ibadah
bukan pesta makanan
Alhamdulillah,
syukur ke
hadrat Ilahi
kerana memberi kesempatan
bertemu Ramadan yang penuh
keberkatan
ini.
Rasa syukur itu
sewajarnya digambarkan
dengan bertekad dan berazam
untuk
melaksanakan ibadah puasa
lebih baik berbanding
Ramadan yang lalu.
Realitinya
hari ini, walaupun sudah
hampir seminggu memasuki gerbang Ramadan,
masih ada kalangan kita yang tidak merasai keseronokan beribadah pada bulan
mulia ini. Bahkan, yang paling menyedihkan, ada yang langsung tidak ambil
peduli kehadirannya kerana sibuk melayan nafsu yang tak pernah puas di hati.
Beruntunglah
bagi mereka
yang terus beristiqamah merebut segala peluang yang Allah SWT sediakan pada
bulan Ramadan dengan menggandakan amal soleh.
Ramadan
jana kekuatan, jati diri .
Sesungguhnya saat kematian pasti akan tiba
menjemput kita. Oleh itu, marilah bersama jadikan Ramadan kali ini bulan yang
mampu menjana kekuatan dan jati diri seterusnya mendidik kita menjadi insan
lebih dekat serta bertakwa kepada Allah SWT.
Bukankah hasil takwa melalui ibadah puasa itu yang didambakan setiap orang beriman.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Kamu
diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu,
supaya kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah, ayat 183)
Ramadan
bulan sangat dirindui orang beriman. Kehadirannya dinanti, tibanya
disambut mesra. Jiwa orang yang beriman pasti tidak putus melafazkan syukur kerana
diberi peluang bertemu Ramadan. Mereka sudah tentu akan merebut sebanyak
ganjaran yang melimpah ruah pada bulan mulia ini.
Setiap
detik dan waktu
yang berlalu pasti dimanfaatkan dengan pelbagai ibadah
serta amal soleh. Namun, masih terdapat segelintir yang terus leka. Ramadan
yang sepatutnya menjadi bulan menahan nafsu syahwat dengan berpuasa bertukar
menjadi bulan berpesta makan secara berlebihan.
Lihatlah
ketika waktu berbuka nanti,
tidak cukup dengan juadah dimasak, segala
juadah dijual di bazar semuanya terasa ingin dibeli.
Akibat melayan nafsu
sehingga membawa kepada pembaziran rezeki kurniaan Ilahi.
Inilah kesan
apabila kita menganggap sambutan Ramadan itu lebih menjurus kepada
adat bukannya ibadah.
Ketika kita bersemangat
mengisi setiap waktu dengan amal kebajikan, masih
terdapat segelintir terus leka menyaksikan Piala Dunia hingga mengetepikan
tuntutan menggandakan amalan soleh.
Hidupkan malam dengan ibadah
Sanggup
berjaga malam bersengkang mata menyokong pasukan pilihan, tetapi berjaga
malam bermunajat kepada Ilahi belum tentu dapat dilaksanakan.
Bahkan,
solat sunat tahajud dua rakaat
pun terasa terlalu berat.
Memanglah
tidak menjadi kesalahan menonton perlawanan bola sepak sehingga lewat
pagi, tetapi alangkah baik jika ruang waktu itu diisi dengan perkara yang lebih
bermanfaat seperti bertadarus al-Quran, bertahajud serta bermunajat kepada
Ilahi.
Bukankah
kita dituntut untuk menghidupkan malam dengan beribadah kepada-Nya?
Jika Rasulullah SAW sanggup bangun menghidupkan malam melakukan ibadah, justeru
di manakah kita.
Selayaknya
kita yang sepatutnya berusaha bersungguh-sungguh berbanding Baginda
SAW yang pasti masuk ke syurga Allah SWT. Bahkan menyedihkan lagi, ada yang
terus lalai menonton perlawanan bola sehingga solat Subuh pun tidak ditunaikan.
Sepatutnya
pada waktu ini kita bersungguh-sungguh melaksanakan sebanyak mungkin
amal ibadah.
Manfaatkan
masa ini dengan sebaik mungkin. Hayatilah hadis riwayat Ibnu
Khuzaimah daripada Abi Mas’ud al-Ghifari, Nabi SAW bersabda:
“Kalaulah hamba
Allah
mengetahui apa yang ada
dalam bulan Ramadan,
nescaya mereka akan
bercita-cita supaya Ramadan
itu berlaku sepanjang tahun.”
Hari-hari
yang masih berbaki dalam bulan Ramadan ini marilah kita terus
beristiqamah melaksanakan ibadah puasa dengan mengetahui hukum sah dan
batalnya, syarat-syarat serta adab ditunjukkan Baginda SAW.
Ikutilah
sunah Rasulullah SAW antaranya menyegerakan berbuka puasa, melewatkan
makan sahur, meninggalkan percakapan sia-sia, kotor dan menipu, memberi makan
orang yang berpuasa serta memperbanyakkan bersedekah.
Ibadah
puasa bukan saja membentuk hubungan erat dengan Allah SWT tetapi juga
sesama manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan