:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Isnin, 20 Januari 2014

Zakat formula Ilahi

Zakat formula Ilahi




SAYA pernah terdengar bahawa ada orang yang menyatakan, bahawa zakat itu adalah formula untuk menggandakan harta, yang dijamin Allah SWT. Saya kurang memahami apakah maksudnya dan mohon pencerahan ustaz? 








Jawapan: 







Izinkan saya memulakan jawapan dengan mengemukakan sebuah firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempitkan dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.



 (al-Baqarah: 245)






Syariat zakat yang difardukan pada tahun dua hijrah, adalah suatu manifestasi unggul dalam konteks keseimbangan harta dan kekayaan dalam Islam. Ini kerana, tiada larangan dalam Islam terhadap keterujaan kita mengumpulkan harta kekayaan. Sebaliknya Allah SWT menggalakkan pula, seperti mana gesaan Allah: Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki, kekayaan) Allah. 



(al-Jumu’ah: 10)






Memiliki harta kekayaan juga mampu memotivasikan kita untuk terus hidup. Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: 





" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga). "


(ali Imran: 14)









Kekayaan







Kita tidak perlu risau, kerana kekayaan umat Islam akan diimbangi oleh Allah SWT dengan perintah berzakat. Perintah yang bersifat rukun ini, jika dipatuhi maka akan melahirkan si kaya yang taat dan terpuji akhlaknya. Memiliki harta yang suci, berkat, berkembang dan paling penting akhlak yang terpuji. Iaitu, sesuai dengan makna zakat daripada sudut bahasa (literasi) yang bermaksud bersih, suci, berkembang dan terpuji.








Saya ingin bertanya, siapakah yang menentukan 2.5 peratus daripada jumlah harta kekayaan kita, yang perlu dizakatkan? Siapakah yang menetapkan nilai 85 gram emas sebagai takaran bandingan nisab kekayaan umat Islam? Siapakah pula yang mensyaratkan genap masa setahun (haul) sebagai julat masa minimum kekayaan umat? Siapakah yang suka-suka menyatakan apabila haiwan ternakan kita sudah cukup 40 ekor, maka seekor daripadanya wajib dizakatkan? Siapa pula yang pandai-pandai menetapkan berat biji-bijian 1,306 tan metrik adalah nilai wajib zakat?








Semua persoalan di atas, jawapannya Allah SWT yang tetapkan. Melalui lidah yang amat fasih lagi barakah Rasulullah SAW, maka digariskan formula demi formula bagi tujuan keseimbangan kita dalam berharta. Formula yang menatijahkan keberkatan yang lestari sifatnya. Maka, tidak salah lagi bagi kita menyatakan, inilah dia formula bestari kurniaan Ilahi kerana matematik Allah SWT ini bersifat mapan atau established kata orang zaman ini. Ia valid sepanjang zaman, setiap keadaan dan di mana jua.








Formula matematik Ilahi ini memang terkadang tidak nampak rasionalnya pada mata kasar. Jika matematik duniawi, 6 – 1 = 5. Tapi matematik Ilahi, enam rukun iman jika salah satu daripadanya diragui, maka jawapannya kosong. 6 – 1= 0. Begitu juga, lima rukun Islam tapi satu ditolak, misalnya pada zaman Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a, ada yang mengingkari fardu zakat, maka jawapannya kosong. 5 – 1 = 0. Inilah matematik Ilahi. Ia bercanggah dengan logik akal. Ia mencabar pemikiran lateral yang terasuh sejak kecil.






Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS). 





Sebarang kemusykilan sila emelkan 
kepada hamizul@e-zakat.com.my atau
 jika perlukan informasi dan jawapan
 lanjut sila layari www.e-zakat.com.my 
atau http://blog.e-zakat.cmy dan facebook.com/lembagazakatselangor.MAIS





Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...